Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aril ganti Jimmy


TREK Selebriti dan Jimmy Shanley umpama satu kerana orang ramai tidak akan membayangkan wajah lain bagi program itu.

Selama enam musim Jimmy dengan 'tagline'nya Yeszaa mengacarakan Trek Selebriti secara santai di Astro Ria (Saluran 104 ) dan rancangan itu sudah sinonim dengannya.

Bagaimanapun apabila Jimmy menjadi pengacara Konsert Akademi Fantasia (AF8) bersama-sama Sarimah Ibrahim serta mengendalikan Diari AF8, ramai tertanya-tanya siapa penggantinya untuk mengendalikan rancangan yang sudah agak sebati dengannya.

Ada khabar angin kononnya rancangan yang membawa penonton lebih dekat dengan artis-artis kegemaran mereka akan berkubur begitu sahaja memandangkan pengacara asalnya sibuk dengan AF8.

Namun, program popular yang berkonsepkan majalah hiburan santai itu kini kembali dengan pengisian yang lebih segar dan mantap dengan pengacara baru, naib juara AF7 iaitu Aril.

Trek Selebriti musim ketujuh ini akan menemui penonton pada setiap hari Sabtu pada pukul 10.30 malam bermula 20 Mac ini di saluran yang sama.

Aril yang cukup popular dengan lagu Menatap Matamu itu berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggung-jawab baru itu namun agak takut jika dibandingkan dengan Jimmy.

"Saya yakin bayangan Jimmy masih menebal dalam Trek Selebriti kerana selama enam tahun dia mengendalikan rancangan itu.

"Namun saya mohon agar peminat rancangan ini tidak membandingkan cara kami berdua kerana saya dan Jimmy agak berbeza. Saya dengan cara sendiri dan sedaya mungkin agar tidak dibayangi Jimmy," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar memperkenalkan pengacara baru Trek Selebriti di The Gardens baru-baru ini.

Jika Jimmy diingati di dalam rancangan itu dengan 'tagline' Yeszaa, Aril yang hebat menari shuffle ini pula akan mengekalkan tagline ketika dia berada di dalam AF7 iaitu Terbaik Wok.

Tambahnya, sebagai persediaan sebelum mengendalikan rancangan ini, dia sudah duduk berbincang bersama penerbit dan krew produksi untuk penambah-baikan program ini serta menjadikannya lebih menarik.

Namun, formatnya tetap sama kerana Trek Selebriti digemari ramai serta mempunyai pengikut setia.

Menganggap peluang yang diberikan oleh pihak Astro sebagai rezeki, Aril masih meletakkan nyanyian sebagai keutamaan dalam dirinya selain bidang lakonan dan pengacaraan.

Bagi Aril, dia sentiasa ingin melihat sejauh mana kemampuannya dan akan berusaha untuk cemerlang dalam apa yang dia lakukan.

"Buat masa, saya dalam proses menyiapkan single ketiga saya iaitu Biar Begini yang dijangka siap hujung bulan ini.

"Konsep single kali ini agak berbeza dengan Menatap Matamu kerana ia berkonsepkan rock, sesuatu yang saya minat.

"Liriknya dicipta oleh saya sendiri dan melodinya oleh ahli kumpulan saya sebelum ini iaitu Sky Band," tambah Aril.

Menurut Aril, walaupun sibuk dengan Trek Selebriti tetapi ia tidak menganggu kerjaya nyanyianya kerana jadual kerjanya telah disusun oleh Astro Entertainment Sdn. Bhd.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, Aril mengatasi calon-calon lain untuk menggantikan Jimmy kerana dia menepati ciri-ciri rancangan itu.

"Aril seorang yang santai, muda, mempunyai idea dan pendapat sendiri selain mempunyai ramai pengikut.

"Selain itu, dia juga berpengalaman menjadi pengacara sebelum dia menyertai AF membuatkan krew produksi mudah bekerja dengannya," ujarnya.

Berdurasi selama 30 minit, Trek Selebriti ialah sebuah program yang berkonsepkan majalah hiburan santai yang memaparkan latar belakang dan perjalanan hidup selebriti jemputan sebelum mereka bergelar bintang.

Paparan dan kandungan utama program ini akan menekankan tentang kerjaya, pencapaian, sumbangan, berita terkini, serta apa jua yang berkaitan dengan sejarah peribadi selebriti tersebut dalam mengejar impian.

Antara pembaharuan lain pada musim ini, terdapat juga elemen-elemen kejutan yang diselitkan dalam beberapa episod terpilih bagi melengkapkan impian selebriti tersebut.

Selain itu, sisipan khas yang menampilkan temubual eksklusif bersama individu-individu atau pihak terdekat yang rapat dengan selebriti jemputan juga akan turut dimuatkan dalam program ini.

Setiap rakaman yang dijadualkan akan dibuat di lokasi-lokasi yang mempunyai sejarah dan berkaitan dengan kehidupan selebriti tersebut.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails