Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Biarlah orang bercakap apa saja..-Umie Aida


APABILA Umie Aida membuat keputusan untuk bernikah dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan di Masjidil Haram, Mekah ia bermakna aktres itu sudah bersedia untuk dipersoalkan kesahihan perkara itu.

Awal-awal lagi Umie sudah mengingatkan dirinya yang dia akan ditanya oleh banyak pihak sejauh mana kebenarannya dia dan suaminya bernikah di rumah Allah itu.

Seperti yang dijangkakan pelakon itu, semasa masih di Tanah Suci (sesudah laporan pernikahannya disiarkan di media di Malaysia), Umie sudah menerima pelbagai kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang bertanya betul ke dia bernikah di Masjidil Haram?

"Apa untungnya kalau saya bercakap tidak benar? Saya bersyukur kerana hasrat dan cita-cita saya bernikah di Masjidil Haram tercapai.

"Biarpun harus melalui pelbagai proses yang merumitkan, Alhamdulillah impian tercapai. Saya benar-benar gembira dan berterima kasih kepada Allah kerana merestui niat suci saya dan suami," kata Umie kepada wartawan Malaysia yang mengadakan liputan pernikahannya di sana.

Umie yang kini dikenali sebagai Datin Paduka bernikah dengan usahawan Khairuddin Abu Hassan di Masjidil Haram, Mekah pada awal pagi 14 Mac lalu.

Umie atau nama sebenarnya Umie Khalsum Rahmad, 37, dan Khairuddin, 47, dinikahkan oleh jurunikah Marwan Zakaria di masjid paling agung buat umat Islam itu pada pukul 1.20 pagi (waktu tempatan).

Dia turut menerima mas kahwin berjumlah RM1,709 (1,818.18 riyal) serta sebentuk cincin berlian daripada suaminya yang merupakan seorang duda beranak dua.

Umie yang menyedari laporan pernikahannya akan diperkatakan ramai menjelaskan, dia tidak punya kudrat untuk menghalang sesiapa saja yang mempunyai pandangan skeptikal terhadap urusan pernikahannya itu. Bagi Umie, dia dan suami hanya melaksanakan impian berlandaskan hukum agama.

"Saya tidak mampu untuk menghalang orang untuk terus membuat spekulasi. Yang penting saya dan suami menguruskan pernikahan kami mengikut hukum syarak.

"Bahkan saya juga gembira kerana keluarga dan rakan-rakan rapat turut serta menyaksikan detik penting dalam kehidupan saya.

"Selepas ini, saya harus memberi fokus pada rumah tangga kerana inilah detik yang sudah lama saya nantikan dalam hidup saya," jelas Umie lagi.

Seperti yang dijelaskan Umie, oleh kerana proses untuk bernikah di masjid berkenaan agak rumit memandangkan mereka berdua bukan rakyat Arab Saudi, maka dia dan suaminya terpaksa menjalani upacara akad nikah pada awal pagi.

Upacara akad nikah itu katanya, perlu dilakukan pada waktu berkenaan bagi mengelakkan masalah kesesakan jemaah di Masjidil Haram.

Pada awalnya, Umie dan Khairuddin merancang untuk bernikah sesudah solat Subuh.

"Namun kami dinasihatkan untuk bernikah pada tengah malam kerana ketika itu jemaah tidak begitu ramai di masjid seperti solat Subuh dan ia memudahkan lagi urusan pernikahan itu," kata Umie menjawab pertanyaan ramai.

Bercinta selepas kahwinSuatu hal yang menimbulkan tanda tanya di kalangan wartawan yang membuat liputan pernikahannya baru-baru ini, Umie mendedahkan, dia hampir tidak jadi berkahwin dengan lelaki yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.

Ketika itu, Umie mengakui, dia benar-benar dihimpit oleh kecelaruan emosi.

Pelbagai perasaan bermain di sarang fikirannya sehingga menyebabkan dia memilih untuk terus bersendiri.

Pada masa yang sama, ketika itu, perasaan cinta terhadap suami yang usianya 10 tahun lebih tua daripadanya belum dirasakan Umie sepenuhnya. Namun Tanah Suci benar-benar menjanjikan hikmah yang bukan sedikit buat pengunjungnya.

Kecelaruan emosi Umie berakhir sebaik dia tiba di kota paling suci buat umat Islam itu.

"Sebaik sampai di Mekah, saya mula mula menyoal diri saya sendiri. Apakah saya mahu terus hidup bujang? Kenapa saya harus berlaku kejam pada lelaki yang benar-benar mencintai saya yang membawa saya sejauh ini untuk bernikah?

"Andai saya memilih untuk mengabaikan abang (panggilan buat suami), ia bermakna saya menolak ketentuan Ilahi.

"Lalu, kerana mahu menjadi seorang muslim yang baik saya akhirnya bersetuju untuk bernikah dengan abang," Umie berkongsi kisah kekeliruan yang dihadapinya menjelang beberapa hari pernikahannya.

sebaik akad dilafazkan oleh Khairuddin, Umie yang sah menjadi isteri lelaki itu berikrar untuk menggandakan perasaan cinta pada suaminya itu.

Pelakon filem Embun itu menterjemahkan, pernikahannya dengan Khairuddin saling tidak ubah seperti pasangan generasi terdahulu yang bercinta selepas berkahwin.

"Sekurang-kurangnya saya dapat merasakan kemanisan yang pernah dilalui oleh generasi dulu iaitu bercinta selepas berkahwin.

"Saya juga bersyukur kerana abang sangat luhur mencintai saya. Abang benar-benar mahu menjadikan hubungan kami sebagai suatu yang suci.

"Dia benar-benar mengangkat martabat saya sebagai wanita. Semua ini diharapkan akan membuatkan cinta saya padanya semakin mekar," ujar Umie yang mengakui Khairuddin lelaki yang mempunyai pekerti mulia.

Sebelum Khairuddin, Umie pernah melalui beberapa kali episod percintaan namun semuanya berakhir dengan luka yang amat mendalam buat artis itu.

Kerana pengalaman-pengalaman silam itu juga, Umie pada awalnya sangat gentar untuk terikat dengan komitmen baru apa lagi menjadi isteri orang.

"Semuanya kerana saya sukar untuk menerima kehadiran cinta lelaki memandangkan beberapa hubungan sebelum ini berakhir tanpa sebarang ikatan.

"Saya juga amat risau seandainya saya tidak mampu menyayangi lelaki dengan sepenuhnya kerana pengalaman putus cinta sebelum ini. Namun, suami saya benar-benar membuatkan hati saya berubah sepenuhnya. Saya kini kembali mempercayai cinta," jelas Umie yang anggun mengenakan persalinan serba putih rekaan pereka terkenal, Jovian Mandagie.

Di bahu wanita berusia 37 tahun itu, dia kini punya tanggungjawab yang sangat besar iaitu menjadi isteri kepada seorang lelaki yang hanya dikenali dalam tempoh sesingkat enam bulan.

Ikrar Umie, dia akan memelihara keharmonian rumah tangga memandangkan ikatan pernikahan dia dan suaminya dilakukan di tempat ibadat yang sering menjadi tumpuan umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah.

"Abang benar-benar mahu menjadikan hubungan kami sebagai suatu yang suci dan saya tidak mahu mensia-siakan pengorbanan dan ketulusan hatinya," kata Umie melafazkan janjinya.

Hari ini selepas hampir seminggu bergelar isteri, jiwa Umie semakin tenang. Dia gembira kerana sudah ada lelaki yang boleh melindunginya daripada sebarang fitnah dan umpat masyarakat.

Inilah fasa hidup baru Umie Aida dan Khairuddin Abu Hassan seperti yang sudah tertulis di Loh Mahfuz. Seperti orang lain, pasangan popular ini mengharapkan doa semua pihak agar pernikahan mereka kekal hingga ke akhir hayat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails