Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sudah bersedia untuk bertudung


SUDAH menjadi satu kemestian bagi artis yang baru mendirikan rumah tangga disoal tentang fasa hidup yang akan dijalani selepas ini.

Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada transformasi yang akan dilalui oleh mereka sebaik sahaja menempuh alam perkahwinan.

Menjawab persoalan ini, aktres Umie Aida tidak menolak perubahan yang akan dilaluinya selepas ini terutama sekali tentang penampilan diri.

Dengan penuh optimis Umie menjawab dia bersedia untuk bertudung dan semuanya itu akan menjadi kenyataan sebaik sahaja dia menyelesaikan beberapa perkara.

Ditambah pula dengan sokongan sepenuhnya suami tercinta, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuatkan Umie lebih bersemangat meneruskan niat suci itu.

"Buat masa ini saya sedang mempersiapkan diri saya ke arah itu dan memulakannya dengan mengenakan selendang dahulu dan tidak lagi memakai pakaian menjolok mata.

"Saya percaya proses itu akan datang dengan sendirinya dan memang niat saya untuk bertudung sebaik sahaja saya bergelar seorang isteri.

"Insya-Allah, saya percaya niat yang baik itu akan dipermudahkan jalannya oleh Allah SWT," katanya bersungguh sewaktu ditemui seusainya majlis persandingannya yang diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor, malam Ahad lalu.

Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum Rahmad, 37, dan Khairuddin, 47, yang juga seorang ahli perniagaan telah dinikahkan oleh jurunikah, Marwan Zakaria di Masjidil Haram, Mekah pada pukul 1.20 pagi (waktu tempatan), 14 Mac lalu.

Dia turut menerima mas kahwin berjumlah RM1,709 (1,818.18 riyal) serta sebentuk cincin berlian daripada suaminya yang merupakan seorang duda beranak dua.

Pada masa yang sama juga, aktres yang mula menempa nama menerusi filem Memori pada tahun 1991 itu juga akan meneruskan karier seninya sebagai seorang pelakon.

"Cuma saya kini akan menjadi lebih memilih terhadap watak yang diberikan," luah pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi filem Embun itu lagi.

Persandingan yang bertemakan ala taman Inggeris dan tradisional kontemporari hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie itu juga telah meninggalkan momen manis buat Umie dan Khairuddin.

Mana tidaknya, impian Umie yang mahu mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali menghadiri majlis resepsinya tercapai jua.

Malah, Umie juga sanggup mengikut jadual negarawan ulung itu semata-mata mahu idola kesayangannya itu dapat menghadirkan diri.

"Memang beberapa kali sebelum ini kami menukar tarikh persandingan kerana jadual Dr. Mahathir dan isterinya yang padat.

"Beliau juga menasihati kami agar tidak melengahkan majlis pernikahan kerana itu yang wajib dilakukan.

"Memang mimpi saya menjadi realiti malam ini dengan kehadiran beliau yang cukup saya kagumi sejak kecil lagi," tuturnya dalam nada terharu.

Sempat juga Dr. Mahathir menitipkan nasihat buat Umie sewaktu makan beradab agar sentiasa sabar, bertolak-ansur apabila melayari alam perkahwinan serta mendoakan kebahagiaan Umie dan Khairuddin sehingga ke akhir hayat.

Selain tokoh kesayangan negara itu, beberapa orang kenamaan lain turut hadir memeriahkan lagi majlis persandingan aktres popular itu.

Antaranya ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid yang hadir bersama isteri masing-masing.

Bukan itu sahaja, kehadiran ramai artis popular juga menyerikan lagi majlis yang berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan klasik itu.

Mereka ialah Erra Fazira, Nasha Aziz, Sazzy Falak, Fahrin Ahmad, Linda Onn, Zahida Rafik, Lisa Surihani, Nora Danish, Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan ramai lagi.

Diraikan dalam suasana penuh harmoni, apa yang membuatkan Umie berasa lega dan gembira dengan perkahwinannya itu apabila semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancangnya.

Lebih mengharukan aktres filem Kala Malam Bulan Mengambang itu apabila dia mendapat bantuan dan sokongan penuh daripada teman-teman rapat dari mula menjadi artis sehinggalah sekarang.

Apatah lagi, majlis perkahwinannya tidak ditaja oleh mana-mana pihak lalu membuatkannya ia memiliki nilai sentimental tersendiri.

"Kerana itu, majlis ini amat bermakna buat saya dan akan saya kenang sehingga ke akhir hayat.

"Tidak mungkin akan saya lupakan segala jasa baik mereka yang banyak membantu merealisasikan majlis perkahwinan saya," ujarnya yang mengenakan dua persalinan pada majlis yang berlangsung hampir dua jam itu.

Sememangnya aura dan seri pengantin Umie cukup terserlah malam itu sewaktu memakai kebaya labuh berona merah cili dengan songket merah hati untuk majlis persandingan.

Untuk upacara memotong kek pula, Umie tampil dengan gaun labuh putih yang dipenuhi dengan 4,000 kuntum bunga ros yang digubah secara manual daripada kain chiffon.

Dewan yang dipenuhi 1,200 orang tetamu itu turut dihiburkan dengan persembahan oleh Salamiah Hassan, Ziana Zain dan pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim keempat, Farhan Azizan.

Genap dua minggu selepas bergelar isteri, Umie masih lagi tidak percaya bahawa dia kini sudah menjadi milik seorang lelaki bernama suami.

Pernah kecundang dalam beberapa episod percintaan sebelum ini pernah mematahkan niatnya untuk mendirikan rumah tangga.

Baginya, hati wanitanya telah tertutup untuk menerima cinta dan kasih sayang daripada mana-mana kaum Adam.

Tetapi, benarlah kata orang. Kuasa Allah melangkaui segala-galanya dan kerana itu, Umie tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran apabila dipertemukan dengan seorang lelaki yang menerima dirinya seadanya.

Lebih-lebih lagi, hanya kini baru Umie memahami erti percintaan dan kasih sayang yang sebenar selepas dua minggu bergelar suri kepada Khairuddin.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan kehidupan kami berdua seperti remaja yang sedang hangat bercinta (ketawa).

"Kenikmatan yang saya kecapi bersama abang (panggilan untuk Khairuddin) memang tidak terkata dan saya benar-benar bertuah memilikinya sebagai seorang suami.

"Biarpun hati saya pernah berbelah bagi mahu meneruskan perkahwinan ini tetapi saya percaya Allah telah menetapkan lelaki ini adalah cinta sejati saya," luahnya penuh jujur.

Menyentuh tentang gelaran Datin Paduka yang dipegangnya sekarang, dia tidak kisah seandainya ada yang mahu memanggilnya dengan gelaran itu.

"Tetapi, kalau boleh bagi mereka yang berada dalam industri seni ini, cukuplah dengan panggilan Umie sahaja kerana saya telah dikenali dengan nama itu sejak sekian lama," tuturnya merendah diri.

Mengenai soal cahaya mata pula, Umie menyerahkan segala-galanya pada takdir dan dia menerimanya jika rezeki untuk menimang anak hadir pada waktu terdekat ini juga.

"Kalau Allah nak beri saya seorang pun saya terima. Apatah lagi dalam usia saya ini, saya tidak boleh menunggu lama lagi," katanya yang memilih Switzerland, Paris dan Venice sebagai destinasi bulan madu yang akan dilawatinya pada bulan depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails