Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Daphne kuat selepas bercerai


SEJAK berita penceraian dan kes mahkamah antara bekas suaminya, Ryan Chong dan Pengarah Urusan Adidas Malaysia, Darren Choy Khin Ming yang didakwa atas tuduhan memikat Daphne atau nama sebenarnya Daphne Eleanor Iking dengan niat supaya wanita itu melakukan hubungan intim yang ditegah dengannya, Daphne hanya berdiam diri.

Daphne, 31, yang berkahwin dengan Ryan pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia bercerai sekitar tahun 2008. Tidak ramai yang tahu tentang penceraian tersebut. Berita penceraian Daphne bagaimanapun menjadi hangat kerana bekas suaminya, Ryan menuduh Daphne dipikat lelaki lain iaitu Darren.

Ketika perkara itu kecoh hujung tahun lalu, tiada siapa dapat mencarinya. Seboleh mungkin Daphne cuba mengelak untuk membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut kepada pihak media.

Pelbagai kata nista dilempar kepadanya, yang pasti ketika itu Daphne cuba tabahkan diri untuk menghadapi dugaan paling perit dalam hidupnya.

Kini selepas lebih setengah tahun berdiam diri dan cuba mencari kekuatan untuk menjalani kehidupan baru, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini bangkit sebagai wanita yang lebih kuat berbanding dulu. Dia memandang episod hitam dalam hidupnya sebagai satu sejarah.

"Saya rasa, hari ini saya lebih menjalani kehidupan dengan baik. Walau apa yang telah berlaku dalam hidup saya sebelum ini, saya masih harus meneruskan kehidupan. Saya minta maaf, jika anda ingin bertanya tentang kes mahkamah (penceraian dan pertuduhan curang), saya tidak mahu cakap apa-apa mengenainya," tutur Daphne lembut sambil minta dimengerti.

Menurut Daphne, sejak namanya menjadi panas kerana rumah tangga yang dibina musnah, dia menyedari banyak perkara yang lebih penting dalam kehidupan. Katanya, sebagai wanita malah manusia, tiada siapa yang mahu setiap hubungan yang dibina terlerai begitu sahaja. Jauh sekali akan berbahagia jika ikatan suami isteri yang dibina terlerai.

"Perkara yang sudah lepas biarlah berlalu. Orang nak kata apa tentang saya, saya tidak kisah kerana mereka tidak memahami kehidupan saya. Mereka juga tidak tahu perkara yang sebenar.

"Sebagai manusia, saya minta maaf jika ada yang tersinggung dengan saya. Saya juga sudah memaafkan semua yang terlibat atas apa yang telah berlaku," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Save The Day di Hotel Berjaya Times Square baru-baru ini.

Disoal lagi, bahagiakah kehidupannya kini setelah bergelar ibu tunggal, Daphne hanya tersenyum manis sambil memandang anak perempuan tunggalnya, Isobel Daniella yang dibawa pada majlis itu. Senyuman yang diberikan kepada Isobel yang kini berusia dua tahun itu nampak cukup bermakna.

Sambil matanya ligat mengawasi pergerakan Isobel yang lincah bermain dan cerdik bercakap, Daphne menjelaskan: "Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah. Saya mengaku, saya bahagia hidup solo. Yang penting saya ada anak, keluarga dan teman-teman yang baik yang banyak memberi semangat dan inspirasi buat saya sekarang."

Bosan tanpa dugaan

Tanpa berselindung, Daphne turut menyatakan, jika tiada dugaan itu, kehidupannya tidak akan menjadi sekuat sekarang. Malah, berbeza dengan sikap sesetengah orang yang pasti mengeluh apabila ditimpa malang, Daphne sebaliknya menyifatkan kehidupan tanpa dugaan satu kehidupan yang membosankan.

Tegas wanita yang terkenal sebagai hos dan pelakon itu lagi, meskipun perkara yang berlaku nampak buruk tetapi apabila difikirkan kembali ia mendatangkan banyak kebaikan buat dirinya, bekas suami dan juga orang di sekelilingnya.

"Saya kini lebih menghargai semua perkara yang berlaku pada saya dan banyak memperbaiki diri. Saya percaya itu juga yang berlaku pada bekas suami saya. Paling bagus, saya dapat tapis teman-teman yang berada di sekeliling saya. Maknanya, ketika saya dilanda masalah, saya dapat kenal pasti mana satu teman yang benar-benar jujur dan menyayangi saya," kata Daphne penuh makna.

Menyentuh tentang anaknya, Daphne menjelaskan, meskipun kini anaknya tinggal bersamanya tidak bermakna kehidupan anaknya tidak sempurna seperti kanak-kanak lain.

"Saya akan terangkan kepadanya apa yang berlaku dan dia akan okey. Saya bersyukur kerana memiliki Isobel dan akan membesarkan dia sebaik mungkin. Walaupun kehidupan saya sangat sibuk dengan kerjaya, tetapi bila balik rumah dan melihat dia, semua penat itu hilang," beritahunya lagi.

Selamatkan dunia

Menyedari usianya semakin meningkat, Daphne tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk tabungan hari tuanya. Dia juga sedar tidak selamanya, dia akan berada depan kaca televisyen. Dia tahu juga yang keringatnya barangkali kelak sudah mula dilupakan apabila muka-muka baru mewarnai persada seni. Malah sebagai manusia yang realistik, kata Daphne, bila sampai waktu, dia pasti akan bersara.

"Saya sedar akan hal itu. Jadi buat masa ini, jujur saya katakan, kerjaya seni sudah jatuh pada nombor dua. Perniagaan adalah perkara nombor satu dalam hidup saya sekarang. Saya bersama rakan kongsi menubuhkan Lebosi Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang banyak terlibat dengan kempen-kempen kesedaran pemuliharaan alam sekitar dan kebajikan haiwan," katanya.

Oleh kerana begitu cintakan alam semula jadi dan haiwan juga, bersama beberapa rakan artis yang lain, Daphne telah menjadi duta kepada kempen Save The Day di bawah naungan Dana Hidupan Liar (WWF) yang memberi fokus untuk menyelamatkan penyu dan harimau Malaysia.

Kata pengacara program Breakfast Show di ntv7 itu lagi, tahap kesedaran rakyat Malaysia untuk menyelamatkan haiwan dan alam semula jadi terlalu rendah.

Sebagai contoh, penyu di Malaysia semakin pupus tetapi masih banyak tempat terutama di Pantai Timur yang menjual telur penyu secara terbuka.

Walaupun telur penyu sudah menjadi makanan tradisi sesetengah masyarakat, namun mereka harus menilai semula amalan itu dengan keadaan sekarang.

"Saya sudah terlibat dengan kerja-kerja seperti ini sejak 12 tahun yang lalu tetapi nampaknya masih banyak yang perlu dilakukan untuk menyedarkan rakyat Malaysia tentang hal ini.

"Harimau di Malaysia hanya tinggal 500 ekor sahaja, penyu juga semakin pupus. Jika kita tidak selamatkan semua haiwan ini, siapa lagi yang akan lakukan," balasnya.

Kempen Save The Day mengharapkan orang ramai dapat membantu untuk mengumpul dana dengan membeli pin kesedaran yang didatangkan dalam dua bentuk iaitu penyu dan harimau. Setiap satu dijual pada harga RM10.

"Saya bawa pin kesedaran ini ke mana sahaja saya pergi dan akan menjual sendiri kepada teman-teman dan orang ramai. Saya berharap dengan adanya kempen seperti ini dapat membantu menyelamatkan lebih banyak harimau dan penyu di seluruh Malaysia," tuturnya.

Selain Daphne, barisan artis seperti Atilia, Alam, Aishah Sinclair, Naz T, Deborah Henry, Fauziah Latiff, Imran Ajmain, Marsha, Nikki, Yasmin Hani, Prema, Sazzy Falak, Nazril Idrus, Joey G, Juliana Evens, January Lo, Kevin Zahri, MK-Kumar, Stephanie Chai dan Nadia turut terlibat dalam kempen yang menyasarkan mengumpul dana sebanyak RM250,000 itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails