Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya Bukan Kaki Gaduh!-Alyah


SEMAKIN popular dan jelita selepas 10 tahun berhempas pulas cuba meraih sedikit perhatian daripada khalayak dan industri seni menjadikan penyanyi yang namanya sedang ranum, Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan kini mampu menghembuskan nafas lega.

Bagaimanapun, kejayaan Alyah diiringi beberapa cerita pergaduhan bersama orang seni .

Menyingkap sejarah, Alyah pernah menganggotai kumpulan One Nation Emcees semasa menyertai Gangstarz musim kedua tetapi keluar daripada kumpulan itu kerana masalah peribadi. Begitu juga ketika bersama The Fabulous Cats (TFC), dia hanya sempat merakam sebuah album bersama TFC iaitu album Fantastik.

Tidak berakhir di situ, nama Alyah kembali panas apabila dia meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada media berhubung lagu Ku Pinjam Satu Bintang, duetnya bersama Riz telah diambil dan dinyanyikan semula secara solo oleh Riz.

Alyah yang ditemui baru-baru ini hanya tersenyum apabila dia dilabel sebagai artis kaki gaduh.

"Saya bukan kaki gaduh! Saya tidak pernah tumbuk atau pukul orang. Apa yang terjadi, semuanya kerana salah faham dan masalah komunikasi.

"Nak cakap saya kaki gaduh, saya tidak kisah kerana saya dan keluarga tahu diri saya macam mana. Saya tidak suka kacau orang dan tidak suka dikacau orang," katanya.

Tegas penyanyi kelahiran Gelang Patah, Johor itu lagi, segala isu pergaduhan yang menjejaskan nama baiknya terjadi tanpa dipinta. Jika boleh dia mahu dikenali dengan bakat bukannya hal remeh sebegitu.

"Saya bukan cari publisiti murahan untuk cepat popular. Cuma bila saya rasa tidak puas hati, saya akan bersuara. Saya juga bukan nak cari salah dan burukkan nama orang lain. Sudah menjadi tabiat, bila saya rasa saya di pihak yang benar saya akan bersuara," luahnya.

Dek segala kontroversi yang menyaluti kejayaan kerjayanya kini, Alyah mengambil langkah selamat dengan membataskan rangkaian persahabatannya.

Katanya, bukan dia tidak suka berkawan tetapi bimbang jika terlalu ramai rakan secara tidak langsung akan menjerumuskan dirinya ke kancah pergaduhan.

"Saya mengaku saya tidak ada teman rapat. Teman-teman biasa itu ramai tetapi teman yang boleh berkongsi semua masalah saya, tidak ada.

"Bukan tidak mahu berkawan tetapi untuk mengelak benda-benda macam ini (gaduh) berlaku. Sekali kita percaya pada seseorang, kalau sudah bergaduh, macam-macam boleh jadi," tuturnya.

Justeru itu, masa Alyah banyak dihabiskan bersama keluarganya dari keluar bersosial bersama teman-teman seusianya.

"Memang saya jenis orang yang suka duduk di rumah dan lepak dengan keluarga jika tidak ada sebarang kerja. Bukanlah tidak jumpa teman-teman langsung, tetapi jarang," balasnya.

Saat idaman

Ketepikan semua kisah pergaduhan, kerana kini nama Alyah harum mewangi sebagai penyanyi baru yang perlu diberi perhatian. Walaupun jika dihitung dengan waktu, dia sudah boleh dilabel sebagai penyanyi senior.

Tidak marah atau sakit hati dek kelewatan khalayak memberi perhatian kepadanya, Alyah mengatakan kini memang sudah tiba masa untuknya mengepakkan sayap yang disembunyikan selama ini.

"Sudah tiba masanya. Saya percaya pada rezeki. Apa yang saya perolehi hari ini hasil komitmen tanpa henti dan usaha keras saya selama 10 tahun.

"Ditipu, dicemuh dan dimaki sudah menjadi asam garam dan banyak mematangkan saya sebagai penyanyi. Ia menjadikan saya kuat dan tahu landasan yang harus saya ikut," tuturnya.

Walaupun baru popular dengan lagu, Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai dan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan serta lagu duetnya bersama Riz, Ku Pinjam Satu Bintang, kejayaan yang dikecapi hari ini cukup membanggakan dirinya.

"Saya tahu kejayaan saya tidak sebesar mana, tetapi mengenang perjalanan seni saya yang panjang dan ada masanya hampir tersungkur serta putus asa, saya tersenyum sendirian.

"Memang tahun 2009 cukup bermakna buat saya. Orang kenal saya kerana lagu Tak Mungkin Kerana Sayang tetapi tidak kenal saya. Jadi tahun 2010, masa untuk saya menonjolkan diri pula," ujarnya.

Menjadi finalis dalam Anugerah Juara Lagu ke-24 satu pengalaman yang cukup bermakna buatnya dan mengakui sejak dari itu dia semakin dikenali. Katanya, biar populariti lambat mengiringi asalkan ia berpanjangan.

"Saya percaya jika seseorang artis terlalu cepat popular sebelum sempat mengharungi asam garam dunia seni, dia pasti akan cepat turun.

"Berbeza dengan saya yang telah mempunyai pengalaman yang cukup banyak, pahit manis semuanya sudah dirasai. Saya harap kejayaan serta perhatian yang diberi peminat akan berkekalan," ungkapnya.

Mangsa fesyen

Diakui, sejak popular, imej serta penampilan Alyah semakin berubah. Dia bukan lagi penyanyi yang tidak mesra kamera dan bukan lagi penyanyi yang berpakaian asal boleh.

Sekarang, menjadi rutin hariannya, keluar sahaja pintu rumah, dari hujung rambut sehingga hujung semuanya diteliti sebaik mungkin. Gaya rambutnya juga diubah, dari panjang mengurai, dipotong potongan bob dan kini tampil dengan rambut pendek yang ranggi tetapi kemas.

"Saya sedar untuk menarik perhatian orang, saya perlu melakukan perubahan. Jika dulu main hentam pakai apa sahaja, sekarang saya sudah rajin belek majalah fesyen dan menjadikan program America Next Top Model sebagai panduan untuk bergaya dan beraksi depan kamera.

"Selain itu, sebagai artis saya harus membuat pelaburan untuk imej diri. Saya mempunyai pereka fesyen sendiri iaitu Jeffriey Raffiey dan ada jurusolek sering menyolek wajah saya iaitu Bosco.

"Merekalah yang banyak membantu dan mengkritik fesyen saya. Sejak bekerjasama dengan mereka imej saya mula berubah perlahan-lahan. Sekarang saya semakin berani dalam berfesyen dan tidak takut untuk berfesyen dalam majlis yang memerlukan saya berpakaian lebih glamor," ucapnya.

Tambah Alyah lagi, sebagai seorang yang suka mencuba sesuatu yang baru, dia tidak kisah untuk menyarungkan busana yang tampak sedikit pelik di mata orang lain.

"Saya tidak kisah apa pandangan orang terhadap selera fesyen saya tetapi setakat ini ramai yang suka dengan perubahan imej saya," beritahunya lagi.

Sesuai dengan konsep album ketiganya, Alyah kini kerap tampil dengan fesyen rock. Katanya, album terbarunya yang dalam proses rakaman akan tampil dengan lagu-lagu rock balada.

Meskipun begitu, dia masih lagi setia dengan genre pop. Apa yang ditampilkan dalam album yang mendapat sentuhan komposer seperti Julfekar, Azlan Abu Hassan, Omar K dan Aidit Alfian itu, satu percubaan terbarunya.

"Saya suka perubahan tetapi dalam masa yang sama saya tidak boleh meninggalkan konsep lagu yang memperkenalkan saya. Tunggu dan lihat sajalah," katanya tersenyum.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails