
Khamis lalu, Julfekar menemui tuan rumah di Seksyen 5, Wangsa Maju untuk menjelaskan sewa rumah selama 12 bulan sebanyak RM14,400 dan Millennium Art Sdn Bhd (MASB) terpaksa membayar ganti rugi hampir RM3,000 kerana kerosakan kediaman berkenaan.
“Mengikut kontrak, rumah itu disewa selama dua tahun dan ia tidak boleh dibatalkan tetapi Fara meninggalkan rumah itu sebelum tempoh perjanjian tamat. Sudahlah banyak kerosakan antaranya kabinet dapur, bilik air, tandas dan almari.
“Saya berharap sangat Fara membayar kembali RM17,400 kepada syarikat kerana saya mendahulukan sewa rumah.
“Saya rugi banyak, sudahlah pembikinan album barunya terbengkalai, jadi jangan tambah lagi beban dengan terpaksa menanggung bayaran sewa rumahnya pula.
“Syarikat juga minta dia memulangkan semula barang syarikat seperti cakera padat master minus one Fara dan minus one lagu Hitz yang masih digunakannya dalam menjayakan persembahan, poster yang dibingkai, aksesori, kasut, pakaian, rambut palsu dan kelengkapan boling,” katanya.
Julfekar turut menegaskan, pelantun lagu Tanpamu ini tidak boleh membuat sebarang urusan sendiri dengan mana-mana pihak berkaitan acara, persembahan atau penampilan tanpa melalui pihak pengurusan terlebih dulu. Fara juga tidak boleh menggunakan khidmat mana-mana individu atau syarikat selain Millennium Art.
“Fara sudah banyak melanggar kontrak. Dia tidak boleh menyanyi lagu daripada albumnya selama lima tahun dan tidak boleh merakam lagu atau album dengan mana-mana syarikat rakaman atau syarikat sendiri.
“Oleh itu saya berharap dia dapat bersabar sehingga perbicaraan di mahkamah selesai, jangan sampai salah tindakan lagi.
“Perjanjian Fara dengan MASB bukan saja bersaksikan manusia tetapi juga Allah. Kalau dia menjayakan persembahan secara haram, bermakna bayaran yang diperoleh tidak halal.
“Hak saya tetap hak saya dan jika dia ambil hak saya, saya tidak akan halalkan dunia akhirat,” katanya sambil menegaskan, kontrak Fara bersama MASB belum tamat.