Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kris Dayanti bercerai kerana sunyi


TANGGAL 22 Oktober, 12 tengah hari, sewaktu pertemuan kami di Hotel J.W Marriott Kuala Lumpur, Kris Dayanti perlahan memberitahu: "Hari ini hari pengesahan perceraian saya dan Anang. Saya hantar wakil peguam sahaja kerana segalanya sudah berakhir.

"Dan hari ini juga adalah hari keputusan untuk segalanya. Kunci buat saya melangkah ke hadapan dengan status rasmi sebagai wanita baru."

Duduk di sebelah saya, penyanyi Indonesia yang menjadi tajuk utama berita di republik tersebut dan pada Ramadan lalu selepas mengumumkan perceraiannya dengan Anang Hermansyah yang dinikahi selama 13 tahun tampak tenang dan sayu.

Satu-satu ayat disusun perlahan. Kadangkala tersekat-sekat di sebalik hela nafas. Namun, seperti mana kuatnya dia berazam mahu dilepaskan Anang, setabah itu juga dia berkongsi cerita.

"Perceraian ini lebih menyakitkan daripada membuat pembedahan payu dara," kata penyanyi ini lagi membayangkan betapa perit sebuah perceraian berbanding pembedahan yang pernah dilakukannya itu.

Banyak pihak menyalahkan dirinya. Media menghukumnya seperti penjenayah dengan menulis hal-hal yang di luar batasan. Anak-anak, Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, hilang kepercayaan dan reputasinya tercalar kerana dituduh curang.

Penyanyi yang hadir ke Malaysia untuk mempromosikan album terbarunya, Aku Wanita Biasa dan membuat persembahan amal pada malam Jumaat lalu ini mula bercerita.

Katanya, lima bulan dia mengambil masa, meminta petunjuk daripada Tuhan agar keputusan yang diambil kelak tepat. Akhirnya pulang daripada umrah dia mendapat kekuatan untuk minta diceraikan.

"Keputusan itu bukan saya buat kerana orang ketiga. Kalau mahu bercakap tentang orang ketiga, daripada tahun pertama perkahwinan kami sehingga sekarang, memang tak habis-habis dikaitkan dengan orang ketiga. Saya sudah kebal dengan tuduhan sebegitu.

"Tetapi jujurnya, lima bulan terakhir perkahwinan kami, saya berasa sunyi. Anang tidak mampu mengisi kesunyian itu sedangkan saya mahu jaminan tersebut," katanya yang tidak menyalahkan Anang apabila bekas suaminya itu melahirkan rasa kecewa dan marah terhadapnya.

Cuma yang dikesalkan penyanyi ini adalah hubungannya dengan anak-anak terputus. Kali terakhir dia bertemu dua anaknya 13 Ogos lalu. Sehingga kini, sudah lebih dua bulan dia tidak bertemu mereka.

"Saya sedih dan rindu sekali pada mereka. Padahal jarak rumah saya dengan kediaman Anang hanya 300 meter. Tapi saya tidak kuat untuk bertemu mereka. Bukan kerana tidak sayang, tapi saya tak mahu mendesak mereka dan membuatkan mereka tidak mahu bertemu saya langsung.

"Sekarang saya berpegang bahawa Tuhan tidak akan menguji saya jika saya tidak kuat. Saya juga kini lebih banyak berdoa seperti anak kecil untuk melalui segala dugaan ini," katanya yang kini memilih untuk lebih banyak berdiam dan bersederhana dalam memberi jawapan kepada media.

Bangkit saban hari daripada kesedihan dengan memegang kalimat 'esok pasti ada kehidupan yang lebih baik', kini masa hadapannya difokuskan kepada kerjaya.

Sebuah single terbaru yang digarap Maia bakal muncul bulan hadapan. Dia juga mahu lari daripada menghasilkan karya curah perasaan atau menumpahkan rasa dalam karyanya. Sebaliknya karya yang bakal dipersembahkan kelak bersifat segar.

Seiring kehidupan solo yang baru bermula, penyanyi ini juga diintai lelaki yang mahu mencuba nasib berkongsi hidup dengannya.

Tetapi pantas dia memberitahu: "Walau ada banyak lelaki yang mahu mendekati, saya akan lebih berhati-hati. Saya menjadi sekuriti untuk diri sendiri. Kalau pun saya jatuh hati lagi kelak, lelaki itu harus menyayangi saya dan keluarga saya."
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails