Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aaron malu peluk Erra


ASYIK-ASYIK Erra Fazira dan Aaron Aziz. Lagi-lagi Erra berlakon dengan Aaron. Barangkali itulah yang bakal diucapkan peminat drama selepas ini apabila mereka kerap menyaksikan gandingan dua pelakon popular itu menghiasi kaca TV.

Kepada orang ramai, jangan sesekali menyalahkan Erra dan Aaron kalau wajah mereka sudah terlalu kerap dilihat di TV terutamanya di saluran-saluran Astro selepas ini.

Ditambah Erra dan Aaron merupakan pemegang takhta wajah eksklusif Astro, kedua-dua figura itu kini tanpa berselindung mengaku mula punya keserasian untuk berlakon sama dalam sebuah produksi.

Terbaru, Erra dan Aaron 'disatukan' sebagai pasangan dalam telefilem arahan Michael Ang terbitan Box Lite Film yang berjudul Cinta Lelong ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) pada 30 Oktober pukul 9.30 malam.

Kemunculan primadona filem Melayu dengan jejaka kacak kelahiran Singapura itu sebelum ini dilihat menerusi Kasih Tercipta yang sudah bersiaran di Astro Prima (saluran 105) bermula 1 September lalu.

Hakikatnya, Cinta Lelong menjadi titik permulaan kedua-dua bintang itu bergabung dalam sebuah drama. Cuma drama komedi romantik itu lambat menemui audiens sekali gus Kasih Tercipta ditayangkan terlebih dahulu

Erra yang ditemui pada pelancaran Cinta Lelong di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, dia cukup teruja apabila disuakan peluang depan mata untuk berlakon dengan Aaron.

"Penggambaran Cinta Lelong dilakukan dua minggu selepas saya habis melakukan program Gugu Gaga Erra. Waktu itu badan saya masih mengembang disebabkan baru melahirkan anak.

"Pada awalnya memanglah saya tidak rasa yakin untuk berlakon ditambah dengan berat badan yang belum turun selepas bersalin dan berpantang. Tetapi kerja sudah memanggil-manggil saya.

"Setelah diberitahu saya bergandingan dengan Aaron dalam telemovie ini maka saya terus menyatakan persetujuan kerana sudah lama saya ada impian untuk bekerja dengannya.

"Aaron merupakan seorang pelakon lelaki yang baik dan profesional. Sudah semestinya saya rasa gembira dapat digandingkan dengan Aaron apatah lagi menyedari kerjasama kami menjadi lebih mudah nanti.

"Setelah berada di lokasi penggambaran Cinta Lelong, saya dapati Aaron adalah seorang pelakon yang pendiam. Mula-mula saya sedikit segan sebab kalau seseorang pelakon itu banyak berdiam diri maka saya juga tidak berani untuk bercakap dengannya.

"Iyalah, takut kalau hendak lebih-lebih atau banyak mulut dibimbangi pelakon ini tidak selesa dengan kita pula. Tetapi ini hanya perasaan permulaan saja kerana selepas itu kami mula berdiskusi tentang babak yang ingin dijayakan.

"Daripada situ saya dan Aaron sudah ada keserasian sekali gus dapat menjayakan adegan yang melibatkan kami berdua dalam Cinta Lelong. Terus-terang, selepas ini saya memang tidak ada masalah untuk bergandingan dengannya dalam mana-mana projek," kata pemilik nama penuh Fazira Wan Chik itu.

Menyambung bicara tentang Cinta Lelong, wanita jelita berusia 37 tahun itu memegang watak sebagai Emma yang membantu ibu bapanya berniaga di pasar basah bagi mendapatkan wang melunaskan hutang daripada pemiutang haram.

"Watak saya dalam telefilem ini santai saja dan tidak ada yang istimewa sangat. Tiada istilah saya hendak kawal cantik apatah lagi saya sebenarnya di alam realiti berperangai selamba.

"Saya anggap berlakon dalam Cinta Lelong sebagai pengalaman luar biasa kerana ia berkisar penjual di pasar basah. Mula-mula risau sedikit sebab ingatkan berlakon di pasar betul walaupun selama ini saya sering ke pasar.

"Rupa-rupanya pengarah sudah membuat set pasar untuk memudahkan penggambaran Cinta Lelong. Ada sedikit keraguan kerana saya takut visual telefilem ini nampak tidak semula jadi kerana ia dilakukan bukan di pasar betul.

"Setelah dilihat kembali, saya dapati pasar ini memang nampak betul. Bahkan sayur-sayuran, daging dan barang basah lain yang dijadikan sebagai latar belakang juga ada yang menjadi busuk sebab terlalu lama diletakkan di atas meja.

"Bermacam-macam pengalaman yang saya perolehi selepas melibatkan diri dalam Cinta Lelong. Saya cukup teruja dapat berlakon dalam telefilem ini lebih-lebih lagi sudah menjadi keinginan saya untuk melakonkan watak yang biasa dan tidak berlebih-lebihan," jelas isteri kepada Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin itu.

Pengalaman berharga kepada Aaron

Menjadi satu insiden yang menggelikan hati kepada Aaron, 33, saat dia menerima perkhabaran bakal berlakon dengan Erra, si isteri kesayangan, Diyana Halik pula menjadi individu yang paling teruja dengan berita itu.

Aaron atau nama penuhnya Aaron Mustapha Aziz juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila mengetahui dia bakal bergandingan dengan pelakon hebat seperti Erra dalam Cinta Lelong.

"Selepas memulakan penggambaran telefilem ini, saya baru mengenali Erra. Dia merupakan seorang pelakon yang baik dan peramah walaupun sudah mempunyai status tersendiri dalam dunia perfileman di negara ini.

"Rasanya saya tidak pernah bertemu dengan ratu yang tidak bersikap diva macam Erra. Dia sentiasa merendah diri dan mengambil berat tentang pelakon lain yang terlibat dalam Cinta Lelong.

"Dia memang berbeza lalu membuatkan saya begitu senang hati dapat kerja dengannya dalam satu produksi. Perkara inilah yang membuatkan Erra sebagai Erra Fazira yang cukup kita banggakan selama ini.

"Bercakap tentang watak saya sebagai Azrul, saya adalah lelaki yang membesar dengan bekerja sebagai penjual ikan. Dia juga pengotor dan suka bersaing dengan peniaga lain. Biarpun begitu, ada juga nilai sentimental dalam diri Azrul.

"Selepas insiden dia mengenali Emma lakonan Erra, barulah Azrul sanggup menukar penampilan dan bersikap lebih baik dengan orang di sekelilingnya. Demi cinta dia sanggup berbuat apa saja.

"Saya cukup menyukai watak ini kerana diberikan peluang untuk memakai rambut palsu. Saya senang sekali membawakan watak ini dan tidak berdepan dengan banyak masalah untuk menjayakan diri seorang Azrul," jelasnya berterus-terang.

Bercakap tentang keserasian, Aaron memberitahu, dia sekarang sedang menjalani penggambaran drama 30 Hari Mengenali Cinta bergandingan dengan Erra.

"Memasuki kali ketiga berlakon dengan Erra, barulah saya rasa ada keselesaan. Sebelum ini saya masih segan serta terlalu hormati Erra yang sudah mencapai populariti dalam dunia seni kalau hendak dibandingkan dengan saya.

"Sekarang kami mulai okey dan boleh bergurau senda antara satu sama lain. Memanglah ambil masa untuk kami menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Tetapi kini saya mampu mengatasi perasaan malu dengannnya.

"Barangkali dalam drama sebelumnya saya dikehendaki membawakan watak yang membenci Erra. Berlainan pula dalam drama terbaru ini yang membuatkan kami kena memainkan babak romantis," luahnya.

Sementara itu, Aaron tidak dapat melupakan satu babak yang memerlukan dia memeluk Erra yang mahu membunuh diri dengan terjun daripada bangunan tinggi.

"Sudah pasti saya rasa janggal dan segan untuk melakonkan adegan ini. Tetapi setelah berbincang dengan pengarah, saya menggantikan babak ini dengan suasana yang lebih manis dan menarik.

"Sebab itulah saya suka kerja dengan Michael kerana dia seorang yang fleksibel sekali gus memudahkan para pelakon untuk mengeluarkan idea jika satu-satu babak dalam skrip ada halangan tertentu untuk dilakukan," ungkap Aaron.

Selain Erra dan Aaron, Cinta Lelong juga dibintangi oleh Megat Terawis, Vanessa Chong, Christopher Lee, Kanchana Devi, Juliana Evans, Nikki, Nubhan dan Kumarandran.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails