Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nanu bukan perampas


KEKECOHAN Norish Karman 'disingkir' daripada terus membawa watak Qistina dalam drama Spa Q sudah terjawab apabila Global Station Sdn. Bhd. dengan rasminya menampilkan muka baru yang diyakini mampu membawa watak tersebut.

Dia ialah Nanu Baharuddin - pelakon wanita yang dikenali dengan kredibilitinya. Teruja membawa Qistina yang diakui penuh konflik, Nanu bagaimanapun menafikan dia merampas watak tersebut daripada Norish Karman.

Katanya, siapa dia untuk membuat keputusan berlakon dalam sesebuah produksi. Namun, sebaik tanggungjawab diberi, tidak sekali dia menoleh ke belakang untuk mengecewakan khalayak terhadap lakonannya.

Spa Q atau Spa Qistina ini penuh kontroversi. Anda tahu mengenai kontroversi watak Qistina ini bukan?

Jujurnya, saya tak tahu drama ini banyak kontroversi. Saya juga bukan peminat setia drama ini. Jadi segala kontroversi atau sensasi saya memang tak ambil pusing. Saya tak baca. Tapi saya tahu tentang watak Qistina yang mahu digantikan namun tak sangka mereka memberi kepercayaan itu kepada saya.

Pemilihan anda umpama pilihan kedua selepas Norish Karman disingkirkan. Ia juga menimbulkan syak mungkin anda merampas watak Qistina daripada pelakon asal. Mengapa anda ambil watak ini?

Okey, saya dapat tawaran awal bulan ini. Saya tengok dan baca skrip selama sehari sebelum saya bersetuju untuk bawa karakter Qistina. Pada saya, saya bukan pilihan kedua atau merampas watak ini daripada Norish.

Sebagai pelakon, saya tidak mempunyai hak membuat keputusan itu, sebaliknya ia datang daripada pihak produksi. Apabila produksi memilih saya, dan saya sukakan konflik Qistina, saya ambil watak ini. Saya tak ada niat nak rampas karakter orang.

Tapi perbandingan pasti akan wujud antara anda dengan pelakon lama.

Ya, itu sudah pasti. Sebenarnya saya tertekan dan risau juga bila orang akan banding-bandingkan cara lakonan saya dengan pelakon asal Qistina. Dan jujur, saya tak mahu menonton Qistina yang dulu sebaik saya menjadi Qistina yang baru sebab tak mahu terbawa-bawa.

Sebagai seorang pelakon, saya akan bawa Qistina dengan cara saya sebaik mungkin. Tapi jika ada yang tidak suka, atau saya terkurang atau terlebih melakonkan Qistina, saya minta maaf awal-awal.

Rasanya, bagaimana Qistina di tangan anda?

Selepas membaca skrip, Qistina yang baru merupakan seorang wanita yang lebih tegas dan kuat berbanding dua musim lalu yang menyaksikan dia lebih banyak menangis.

Saya tak pernah sambung ambil watak orang, jadi saya ambil cabaran ini dengan kaji semula perjalanan Qistina. Apa yang saya suka mengenai watak ini adalah konflik-konflik yang wujud dalam dirinya.

Drama ini dikenali dengan trademark solekan tebal dan rambut palsu. Bagaimana Qistina di tangan anda yang kini berambut pendek?

Masa mula-mula dapat tawaran, saya beritahu penerbit bahawa saya berambut pendek kerana saya sedia maklum karakter Qistina berambut palsu dan bersolek tebal. Tapi Qistina di tangan saya mungkin tidak akan menggunakan rambut palsu. Saya memang tak suka rambut palsu.

Sementara dari segi solekan, saya serahkan kepada yang arif. Hanya sebagai pelakon, saya mahu sesuatu watak itu nampak benar dan logik. Saya tak kisah solekan tebal, cuma kalau untuk adegan di rumah atau sedang solat, saya rasa solekan harus logik.

Rambut pendek anda dipotong khusus untuk drama ini?

Taklah. Sudah dua bulan saya berambut pendek kerana bosan 10 tahun berambut panjang. Dan saya juga sudah buat sebuah drama dan sebuah filem dengan gaya rambut baru ini. Termasuk Qistina, ini drama kedua saya berambut pendek dan setakat ini, saya belum ada masalah dengan rambut pendek untuk watak Qistina.

Membaca skripnya, anda rasa Qistina akan berakhir di sini atau ada sambungannya?

Oh, ini kena tanya penerbit. Tapi menurut pandangan saya, perjalanan cerita ini masih panjang bila melihat konflik-konflik yang direka menerusi skripnya. - MALIAH SURIP
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails