Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Privasi Tiz diceroboh


BAK bulan jatuh ke riba, watak Nur Amina bukan sedikit impaknya terhadap kehidupan seorang Tiz Zaqyah. Nur Amina meraih kasih dan kasihan buat kelompok yang terkena pukauan Nur Kasih ini. Drama bersiri arahan Kabir Bhatia ada rasukan tersendiri dan tidak berlebihan apabila dikatakan membawa satu fenomena.

Bukan hanya berjaya mengusik emosi wanita-wanita berusia sehingga berdiam diri menunggu air mata gugur di hadapan kaca televisyen pada setiap Jumaat, malah anak-anak muda pula terjebak tergilakan wajah Tiz atau teruja melihat lakonan Remy Ishak, Fizz Fairuz mahupun Ummi Nazeera.

Bagi individu berusia 21 tahun, Tiz sudah terbawa watak yang besar untuk sebuah jalan mula kehidupan seninya. Dia banyak bergelak ketawa sewaktu sesi temu bual ini. Itu sifat sebenarnya. Malah dia bercakap umpama mengejar kereta api, sangat laju.

Dia menjadi dirinya sebenar. Bukan Nur Amina yang patah hati dan tersenyum sendiri ketika jatuh cinya dengan suami sendiri. Tiz menolak pembawaan watak yang melampau terhadap kehidupan realitinya. Dan dia juga harap khalayak dapat memahaminya.

Gambar peribadi

Gadis yang mula bergelar pelakon menerusi drama bersiri Impian Ilyana ini sedar ruang privasinya sudah diceroboh. Gambar-gambar milik peribadi sudah digali dengan berleluasa dan tersebar di Internet. Sifat amarah yang ada pada dirinya membuahkan pawaka pada awalnya. Dia jadi hairan bagaimana seseorang ada masa yang begitu banyak untuk menjalankan tugasan sebegini.

"Ya, mulanya marah. Saya memang seorang yang ada sifat pemarah. Kemudian saya biarkan sahaja kerana mereka tidak akan pernah berhenti. Saya sudah jangka benda ini akan terjadi dan perlu dilalui. Tetapi saya mengikuti apa yang mereka lakukan di dunia maya itu.

"Saya teliti apa yang mereka tulis tentang saya. Nanti kalau satu-satu hal mereka timbulkan, saya sudah bersedia untuk menjawab atau membalas," ucapnya jujur sambil dalam hatinya berharap ada toleransi khalayak membezakan Nur Amina dan Tiz Zaqyah.

Dirinya sendiri meletakkan jurang untuk Nur Amina usai penggambaran siri 26 episod ini.

"Saya juga hairan dan sedih apabila ada orang yang sudah membocorkan sinopsis cerita ini di laman web. Hairan bagaimana mereka boleh mendapat naskhah tersebut. Tetapi kerana itu mungkin ada sedikit twist atau perubahan yang bakal berlaku di hujung Nur Kasih, siapa tahu?" gelaknya menimbul tanda soal sambil menjentik perasaan ingin tahu apabila dia menyebut adegan terakhir siri tersebut adalah yang paling digemarinya.

Tidak menafikan sesetengah pihak terlalu terbawa akan karakter Nur Amina dan diletakkan terus ke atas jasad seorang Tiz Zaqyah, kini dia bersedia untuk menukar pemikiran yang terlekat itu.

Tergoda kawan ayah

Tiz bakal berubah menjadi Dina, seorang gadis muda yang jatuh cinta dengan teman baik ayahnya yang jauh lebih tua daripada dirinya. Masih di tangan Kabir, drama Keabadian Cinta yang sama konsepnya seperti filem Cinta adalah hidangan Tiz seterusnya dalam menu lakonannya. Itu taruhan seterusnya.

Dia bakal menukar Nur Amina kepada satu karakter yang lain pula. Lakonan bersama Eizlan Yusuf ini bakal menjadi termometer bagi bakat lakonannya.

Bagi melangkah ke arah seterusnya, dia dinasihatkan memasang strategi untuk menerima watak. Nur Amina jelas meletakkan Tiz pada satu aras yang selesa dengan kualiti yang bagus.

"Saya diminta untuk memilih watak-watak seterusnya. Perlu pilih sesuatu yang ada impak. Jadi saya perlu membuat keputusan terhadap watak yang sesuai dan terbaik. Buat masa ini saya memilih untuk bergerak perlahan-lahan," ujarnya yang menyatakan Kabir banyak menabur nasihat untuk pegangannya.

Matlamat Tiz juga untuk mengikut arus. Sesuatu yang dahulunya dianggap hanya hobi dan kerja masa lapang telah bertukar serius. Dulu hanya mengikut teman ke sesi uji bakat dan selepas satu watak diberikan, dia lantas jatuh cinta terhadap bidang ini.

"Bagi sesiapa yang belum mengenali saya, diri ini sebenarnya seorang yang mengambil perkara dengan mudah dan tidak memikirkannya dengan terlalu serius. Itu sifat saya. Tetapi Nur Kasih adalah tapak di mana ia berubah.

"Mujur saya ambil Nur Kasih secara serius dan ia merubah kerjaya saya. Dulu cuma mahu duit poket dan buat sesuatu yang mendatangkan keuntungan. Tapi kini ia adalah satu langkah besar buat saya," ujarnya menelanjangkan sedikit sifat sebenarnya.

Tiz juga sedar dia perlu memiliki sekeping kertas yang mengiktiraf pencapaian akademiknya, justeru dia sememangnya mempunyai perancangan ke arah itu. Cuma kini dia masih berat hati untuk mensia-siakan peluang berlakon.

Asal usul Tiz

Mula berlakon sewaktu di tingkatan lima, dia mahu merasa duit titik peluhnya dan berbangga dengan itu. "Saya tahu mentaliti orang Malaysia perlu ada sijil atau segulung ijazah, tapi tunggu dulu," senyumnya manis.

Dia yang suka ketawa dan tidur bercerita panjang lebar lagi tentang dirinya, seorang Tiz Zaqyah. Nama sebenar anak gadis yang berketinggian lima kaki empat inci ini ialah Siti Zaqyah Abdul Razak.

"Dulu masa tadika, nama itu terlalu panjang untuk ditulis. Kemudian dipendekkan menjadi Tizzy, iaitu nama panggilan saya di rumah. Kemudian jadi pendek lagi Tiz," terangnya tentang nama Tiz Zaqyah yang digunakan sebagai nama pentasnya kini.

"Saya meminati Angelina Jolie dan mahu jadi seperti dia, bukan sahaja dari sudut lakonan tetapi kerja amalnya. Saya teringin untuk berada di negara-negara atau tempat yang ada pelarian. Saya ingin merasai suasana itu di samping melakukan kerja-kerja amal," ungkapnya.

Saya tanya lagi siapa dia. Jelas untuk menjauhkan lagu Nur Amina daripada dirinya.

"Saya suka tidur. Paling afdal buat saya kalau dapat tidur selama 13 jam. Suka berbaring-baring di katil. Dan satu lagi bakat saya sejak kecil adalah melukis. Saya suka melukis wajah wanita atau potret. Selalunya saya lukis wajah Angelina Jolie. Tapi tidak pernah menjadi," gelaknya sambil menerangkan hobi itu datang daripada tabiat menconteng dinding melakukan grafiti sewaktu kecil.

"Saya juga suka mengambil gambar guna kamera SLR. Tapi selalunya wajah saya memang tidak ada sebab susah mahu ambil sendiri," jelasnya yang menunjukkan sikap pemerhati yang kuat ada dalam dirinya. "Ya, saya seorang pemerhati dan suka perhatikan benda-benda yang kecil," senyumnya.

Akhir bicara saya tanya Tiz, berapa peratus sudah bersedia untuk sebuah dunia hiburan. Jagung muda yang nampak akan mekar dalam dunia hiburan ini menjawab sambil menitipkan lagi senyuman manisnya: "65 peratus. Lagi 35 peratus masih dibina."
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails