Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kris Dayanti berakhirnya sebuah cinta


MUNGKIN sudah suratan ikatan cinta yang dibina selama 13 tahun berakhir dengan perpisahan. Tidak ada siapa yang mahu hubungan yang dibina atas dasar cinta itu menemui noktah.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Banyak mata yang memandang dengan penuh kesayuan setelah melihat rumah tangga yang dibina oleh Krisdayanti (KD) dan Anang Hermanshah berakhir.

Ramai terkejut dengan perceraian tersebut. Pada masa yang sama tidak kurang juga yang sudah menjangkakan ini akan berlaku kepada pasangan tersebut.

Biar apa pun yang terjadi, Kris Dayanti atau lebih mesra disapa dengan nama KD menganggap hidup mesti diteruskan. Tidak ada apa-apa yang mampu mengubah keadaan tersebut memandangkan mereka sudah sah bercerai talak tiga.

Malah pengadilan agama di sana juga sudah memutuskan bahawa mereka bukan lagi suami isteri pada hari Khamis yang lalu.

Ketika pengesahan itu dibuat, KD sudahpun ada di Malaysia bagi menjayakan persembahan amal di sebuah kelab di Kuala Lumpur bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia selain mempromosikan album terbarunya Aku Wanita Biasa.

Bagi KD, tidak ada gunanya dia terus berada di sana mendengar pengesahan pedih itu memandangkan hatinya sudah hancur apabila ikatan cinta yang dibinanya putus di tengah jalan. Biarpun pelbagai cerita dan kontroversi yang menimpa KD, dia tetap tabah dan menerima apa yang sudah tertulis buatnya.

"Selama ini semua media dan peminat melihat saya sahaja yang salah. Mereka menuduh saya yang bukan-bukan dan membuat pelbagai spekulasi sejak mula-mula berkahwin lagi.

"Tapi cuba anda lihat, semua tuduhan itu hanya kata-kata nista terhadap saya. Mereka hanya pandai menuduh tanpa menunjukkan sebarang bukti.

"Tapi berkat kesabaran saya selama ini semua cerita buruk itu terus senyap dan lenyap begitu sahaja," katanya lagi.

Jelas KD, dia kurang gemar melihat media di negaranya sendiri yang sering mencari kontroversi dan membuat pelbagai cerita yang kadang kala melanggar tata susila.

Sebab itu selepas Anang mengumumkan sudah menceraikan KD, dia hanya mendiamkan diri sahaja tanpa memberi apa-apa kenyataan kepada media di sana.

"Diam saya bukan bererti saya tidak bicara. Diam saya juga bukan bermakna saya salah. Biarlah saya mendiamkan diri dari terus menjadi tumpuan media yang secara terus-terusan menghentam saya.

"Saya juga pasrah dengan apa yang telah terjadi. Tapi tak bererti saya kalah dan membiarkan apa sahaja terjadi. Sebaliknya biarlah kebenaran itu datang sendiri nanti," jelas KD yang mula popular dengan lagu Menghitung Hari.

n Konflik tak berpenghujung

Mungkin sudah suratan ataupun hanya satu kebetulan, Yuni Shara yang juga merupakan kakak kepada KD juga menerima nasib yang sama, bercerai!

Musibah yang menimpa dua beradik itu benar-benar membuatkan peminat tertanya-tanya adakah ini harga yang perlu dibayar oleh seorang wanita bergelar artis popular?

KD pula menyifatkan semua itu adalah takdir untuk dirinya memandangkan sejak tahun pertama menikahi Anang, rumahtangga mereka tidak pernah terlepas daripada sebarang cerita buruk.

"Sejak tahun pertama lagi macam-macam cerita dan gosip buruk mengenai saya dimainkan media. Tapi alhamdulillah saya masih berjaya mengawal semua itu selama 13 tahun.

"Saya akui memang saya mesra dengan semua orang termasuklah mana-mana lelaki. Tapi sifat itu sudah sudah ada dalam diri saya sejak dahulu lagi.

"Anang juga melihat perkara tersebut. Anak-anak juga turut sama melihat. Tapi semua itu tak lebih dari sekadar teman sahaja," katanya.

Biarpun ikatan itu sudah berkesudahan tetapi KD tetap menyatakan Anang sebagai seorang suami yang baik dan dirinya sebagai wanita yang kebal.

Tambah KD lagi, walaupun Anang tidak memberikan sepenuh apa yang diminta, itu tidak bermakna ia menjadi penyebab kepada keretakan rumahtangganya.

Akui KD lagi, lima bulan terakhir sebelum Anang melafazkan talak merupakan fasa hitam dalam hidupnya memandangkan pelbagai ujian yang muncul.

"Lima bulan terakhir barulah saya rasa sangat sunyi. Kesunyian itu benar-benar membuatkan saya berfikir tentang masa depan saya dan sering kali memohon kepada Tuhan agar membuka jalan kepada saya.

"Kadangkala saya sibuk, Anang pula lapang. Dan keadaan itu berlaku sebaliknya. Kini saya sedar, setiap apa yang saya dapat pasti ada sesuatu yang akan hilang dan saya pasrah dengan semuanya.

"Mujurlah ibu saya masih ada dan mengerti perasaan saya. Walaupun dia sudah tak bisa berkata-kata kerana sakit tetapi daripada riak matanya dia juga merasai kesedihan yang saya alami.

Sudah hampir tiga bulan kes perceraian KD menjadi mainan media. Dalam tempoh masa itu KD lebih merasakan kesunyian itu dan tetap bermuhasabah diri dengan apa yang telah berlaku.

Mujur ada teman-teman dan kaum keluarga yang tidak jemu-jemu memberikan semangat kepada dirinya untuk terus menjadi wanita yang tabah.

n KD wanita biasa

Krisis yang berlaku antara KD dan Anang tidak berkesudahan. Malah ada dakwaan yang mengatakan Anang mengharamkan KD menyanyikan lagu-lagu ciptaannya selama ini.

Kolaborasi antara KD dan Anang bukan lagi satu perkara yang janggal. Malah hampir kesemua lagu ciptaan Anang terus popular dan disukai peminat.

Ketika ditemui KD menafikan semua itu dan sehingga kini dia masih lagi boleh menyanyikan lagu ciptaan Anang yang sudah sebati dalam dirinya.

"Mungkin Anang melafazkan kata-kata itu ketika dia sedang marah. Tapi saya masih lagi boleh menyanyikan lagu-lagu ciptaannya seperti biasa," kata KD yang baru sahaja muncul dengan album terbaru yang berjudul Aku Wanita Biasa.

Menariknya mengenai lagu Aku Wanita Biasa ini, Anang menciptakan khas lagu ini kerana keberanian KD menulis buku My Life My Secret yang menceritakan hampir keseluruhan rahsia hidupnya.

Pengakuan yang dibuat oleh KD dalam buku tersebut dianggap "berani mati" tetapi KD sedikitpun tidak pernah kesal memandangkan itu memang kehendaknya. Malah jualan buku tersebut semakin meningkat naik dan mencecah angka 60,000 unit.

Perceraian hanyalah mengubah status seseorang termasuklah KD. Tapi apa yang paling berbekas di hati penyanyi popular Indonesia itu apabila masih lagi tidak berkesempatan menemui kedua orang anaknya.

Zahirnya, KD seboleh-bolehnya tidak mahu penceraian tersebut memberikan kesan kepada Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah yang menjadi permata hatinya.

"Saya tidak mahu menjadikan anak-anak sebagai mangsa perebutan. Biarlah mereka berdua tinggal bersama Anang dan saya pasti Anang merupakan seorang bapa yang baik.

"Jarak antara rumah saya dan tempat tinggal mereka hanyalah 300 meter. Tetapi sampai saat ini saya masih lagi belum menemui mereka.

"Saya langsung tidak pernah berkomunikasi dengan Anang selepas peristiwa tersebut tetapi dengan saya masih lagi menghubungi anak-anak melalui SMS," ujarnya lagi.

Biar terbelah bumi sekalipun, ikatan antara seorang anak dengan ibu memang tidak dapat dinafikan lagi. Untuk itu KD sering kali berdoa kepada Tuhan agar diringankan segala ujian yang menimpanya.

"Saya sering kali mendoakan yang terbaik untuk Anang dan saya juga mahu saya juga menjadi wanita yang lebih baik.

"Apa pun yang terjadi saya tetap akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarlah saya menumpukan kerjaya seni saya memandangkan pelbagai perancangan telah diatur selama ini.

"Saya tidak pernah membataskan peminat untuk terus menyukai saya atau tidak. Terpulang kepada mereka untuk menilai siapa diri saya. Sebagai manusia biasa saya juga tidak pernah lari daripada melakukan kekhilafan dan dosa," jelasnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails