Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dafi tolak lamaran gadis kolej


DAFI memiliki segala-galanya - personaliti menarik, populariti, berpendidikan dan lahir daripada latar belakang keluarga VIP, namun semua itu tidak menjadikan dirinya riak atau hidup menongkat langit, sebaliknya lebih selesa merendah diri dan terus bekerja keras memahat nama sebagai anak seni berjaya.

Meskipun bapanya, Datuk Ismail Sabri Yaakob ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dafi tidak pernah menggunakan kedudukan keluarganya untuk hidup senang lenang dan memberi fokus kepada pelajarannya semata-mata, bahkan sentiasa memenuhi komitmen sebagai insan seni dengan harapan suatu hari nanti, keluarganya boleh berbangga dengan pencapaiannya dalam dunia hiburan.

Begitu juga soal cinta, sekalipun mengakui dia seorang yang cerewet apabila berkasih, dia bersedia menjalin persahabatan dengan sesiapa saja tanpa mengira status diri.

“Janji Dafi pada keluarga ialah menamatkan pelajaran. Sekarang saya sedang cuti semester dan akan kembali ke kolej sekitar bulan ini untuk semester akhir. Saya dijangka menamatkan pelajaran di peringkat diploma penghujung tahun ini. Apabila bercakap soal cinta dan memiliki teman istimewa, keluarga terutama ayah tidak pernah menetapkan sebarang syarat, sesiapa saja dia terima asalkan senang di hati saya.

“Namun, dalam meniti usia yang boleh dianggap mentah, saya tidak mahu serius memikirkan soal cinta. Pun begitu, saya tak nafikan, naluri seorang lelaki, pasti tidak dapat lari daripada kasih sayang dan cinta. Saya akui ada teman wanita, namun kami sekadar berkawan, masih ingin mengenalinya, tapi bukan serius seperti pasangan sedang bercinta. Jujurnya, hati saya tak pernah tertutup untuk bercinta, cuma belum masanya lagi.

“Pun begitu, saya seorang yang cerewet memilih kawan lebih-lebih lagi teman istimewa. Comel, sporting, manja, memahami dan mengambil berat adalah ciri-ciri yang saya idamkan, tapi sampai sekarang belum menemuinya,” kata Dafi yang mengakui pernah didatangi beberapa gadis di kolejnya menawarkan diri sebagai teman istimewanya.

Bukan niat untuk bermegah atau bangga diri, namun Dafi sedia berkongsi cerita apabila memberitahu gadis berkenaan meluahkan perasaan dan isi hati mereka kepadanya, sekali gus berhasrat menjadikannya sebagai kekasih!

“Saya berpegang kepada pepatah, tak kenal maka tak cinta, jadi saya tolak pelawaan mereka elok-elok supaya tidak ada yang berkecil hati. Bagi saya, tak perlulah kita mencari cinta, lazimnya ia jarang menjadi, justeru biarlah ia datang sendiri,” kata Dafi yang akan berangkat ke Jakarta esok selama lima hari mempromosikan album barunya apabila single pertamanya, Bila Terasa Rindu kini mendapat perhatian radio Indonesia.

Single keduanya, Di Antara ciptaan Badai Kerispatih akan turut menjalani pembikinan klip videonya di Jakarta. Lagu Seumur Hidup ciptaan Edry KRU yang dimuatkan menerusi album sulungnya kini dijadikan lagu runut bunyi filem terbaru KRU Studios, Jin Notti lakonan Mawi dan Fara Fauzana apabila ia bakal menemui penonton di pawagam pada musim Aidilfitri ini.

Info Dafi

NAMA SEBENAR: Gadaffi Datuk Ismail Sabri

TARIKH LAHIR: 14 Disember 1988

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik

PENDIDIKAN: Diploma Profesional Bunyi dan Muzik dari Kolej Universiti LimKokWing, Cyberjaya

PENCAPAIAN: Finalis Akademi Fantasia 5 (AF5) dan tersingkir pada konsert minggu kelapan

ALBUM: Dafi - Seumur Hidup terbitan KRU Studios Sdn Bhd

FILEM: Sayang U Can Dance
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails