Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Acha wanita istimewa

"Terus-terang, kami tidak pernah keluar berdua. Malah kalau jumpa sekalipun, saya dan Acha bertemu di majlis-majlis hiburan" – DAFI

SAMA sahaja seperti jawapan yang terpacul daripada bibir si dara, penyanyi popular, Dafi turut menafikan kisah yang mengaitkan bunga-bunga cinta empunya diri dengan artis terkenal dari negara seberang, Acha Septriasa.

Kalau sebelum ini Acha pernah terang-terangan membuat pendedahan bahawa gosip panas itu tidak benar sama sekali, kali ini giliran si teruna pula untuk menjelaskan kenyataan sebenar.

Pemilik nama lengkap Gadaffi Ismail Sabri itu hanya dapat memperlihatkan reaksi terkejut dengan perkhabaran yang tidak terduga itu.

Bahkan, ada masanya Dafi tergelak sendirian memikirkan angin lintang yang melintasi di haluan depannya kira-kira sebulan lalu.

Penyanyi berusia 21 tahun itu mengaku hanya mengetahui tentang berita dirinya dikaitkan bercinta dengan Acha yang disampaikan oleh teman-teman rapat.

"Ada kawan-kawan saya yang terbaca perihal ini di blog lalu mereka bertanyakan tentang kesahihan cerita ini kepada saya sendiri.

"Sampaikan emak yang membaca gosip ini di surat khabar juga bertanyakan soalan sama kepada saya. Situasi ini sekali gus menyebabkan ada orang di sekeliling saya yang mula perli itu dan ini.

"Saya sendiri pelik dengan keadaan ini sedangkan saya dan Acha jarang bertemu walaupun kami belajar di kolej sama," katanya ketika ditemui pada majlis 10 Yang Anggun Majalah EH! di ibu negara hujung minggu lalu.

Dafi dan Acha kini menuntut di Universiti Limkokwing yang terletak di Cyberjaya, Selangor. Dafi kini sudah berada pada semester akhir mengambil jurusan Diploma Muzik & Bunyi.

Acha yang merupakan anak kelahiran Jakarta, Indonesia itu pula mengambil kursus Komunikasi Massa Multimedia dan Penyiaran.

Penyanyi yang mula melakar nama dalam gelanggang seni dengan lagu Bila Terasa Rindu itu bagaimanapun enggan berfikir panjang terhadap hubungan 'cinta' dengan Acha.

"Saya malas ingin membesarkan cerita ini kerana dia mungkin tersalah dilaporkan oleh sesetengah pihak yang memang sengaja buat andaian.

"Terus-terang, kami tidak pernah keluar berdua. Malah kalau jumpa sekalipun, saya dan Acha bertemu di majlis-majlis hiburan.

"Biarpun begitu, gosip ini tidaklah membuatkan hati saya rasa kurang selesa atau mahu melenting tidak tentu fasal.

"Saya sekadar berpendapat perkara ini normal apatah lagi kami bersama-sama terlibat dalam dunia seni yang penuh dengan gosip.

"Lagipun pada saya ia bukannya sebagai berita yang teruk atau memalukan diri serta keluarga. Selagi ia tidak melarat maka saya lebih senang mengambil sikap tidak peduli.

"Tetapi kalau saya mahu fikir semula gosip ini, memanglah boleh tergelak sendiri," ujar Dafi yang kali terakhir bertemu dan bertentang mata dengan Acha pada acara Melodi Raya di Sunway Lagoon, pertengahan Ramadan lepas.

Dalam sibuk menyangkal dakwaan menjalinkan hubungan cinta dua negara itu, jejaka berwajah comel itu tidak dapat menolak ketentuan yang datang jika Acha menjadi wanita istimewa dalam hidupnya.

"Tidak kisah kalau saya benar-benar bercinta dengan Acha ditambah dia ialah seorang gadis yang cantik dan berbakat besar dalam nyanyian dan lakonan.

"Tetapi memanglah saya dan Acha tidak menjalinkan cinta. Disebabkan tiada apa-apa sesama kami maka ada baiknya saya menjawab gosip ini.

"Saya ada prinsip sendiri untuk tidak menguar-uarkan soal berkawan dengan sesiapa. Kalau baru hendak memulakan persahabatan, ada baiknya saya merahsiakan perkara ini.

"Sebaliknya kalau sudah ada perancangan untuk berkahwin lalu saya akan berkongsi berita gembira ini kepada peminat yang selama ini tidak pernah putus-putus menyokong saya sebagai anak seni.

"Buat waktu ini, biarlah saya menikmati usia 21 tahun ini dengan sepuas-puasnya tanpa ada sebarang komitmen," terang Dafi yang mahu hidup solo terlebih dahulu.

Berjinak-jinak dengan lakonan

Selain punya bakat melontarkan suara serta menjalani fasa bertanding dalam program realiti, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) beberapa tahun lepas, karier seni Dafi semakin menunjukkan petanda positif.

Inginkan kelainan daripada bergelar penyanyi semata-mata, anak kelahiran Kuala Lumpur itu nekad dengan mengambil keputusan untuk terjun ke dalam dunia lakonan.

Selepas melibatkan diri dalam filem Sayang You Can Dance sejak setahun lalu, Dafi kini sedang menanti saat memasuki set penggambaran drama muzikal, Kolej Mania.

"Penggambaran drama terbitan KRU Studios ini dijalankan pada Disember nanti di samping berlakon dengan Marsha dan beberapa nama lain dalam dunia lakonan.

"Saya sengaja pilih drama muzikal kerana ia tidak tersasar dengan keutamaan saya dalam nyanyian. Sudah lama saya impikan kesempatan untuk berlakon dalam drama jenis ini.

"Bukan hendak menolak andaian kononnya saya tamak dek ingin mencuba bidang nyanyian serta lakonan dalam waktu sama.

"Pada pendapat saya setiap kerja yang dilakukan memberi pengalaman baru kepada saya. Justeru saya tidak sesekali kisah menjalankan dua tanggungjawab serentak menyanyi dan berlakon.

"Insya-Allah, harap semuanya baik-baik belaka. Paling pasti saya kena yakin pada diri sendiri dan kerja lebih kuat untuk berjaya dalam kedua-dua bidang ini," ujar Dafi bersungguh.

Selain itu, Dafi juga akan memasuki studio rakaman untuk merekodkan single terbarunya yang diilhamkan oleh Edry Abdul Halim.

"Single yang belum ada judul lagi ini dirakam dalam tempoh dua bulan lagi sekali gus dilancarkan pada tahun 2010.

"Lagu ini berentak rancak dan mengisahkan individu yang lebih suka hidup solo tanpa ada sebarang komitmen," luah Dafi ringkas.

Mahu komited dengan karier

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu tidak mampu menzahirkan perasaan gembira apabila dia kini berada di semester terakhir lalu bakal menamatkan pengajian tidak berapa lama lagi.

"Sekarang saya kena membahagikan masa 50:50 antara belajar serta kerjaya seni. Sekiranya tiada sebarang aral dan pengajian saya tamat dengan jayanya, saya hendak memberi 100 peratus tumpuan terhadap kerjaya seni.

"Paling penting, saya sudah menunaikan hasrat keluarga yang hendak saya menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum meneruskan bidang yang diminati ini.

"Ada jugalah hasrat untuk menyambung pengajian pada tahap yang lebih tinggi. Tetapi biar saya majukan karier nyanyian dan lakonan dahulu.

"Saya punya perancangan untuk sambung belajar di luar negara dalam jurusan muzik. Ini sekadar rancangan awal sebab saya sendiri tidak tahu bila hasrat untuk belajar ini dapat direalisasikan.

"Kena tengok jugalah keadaan saya sebagai penyanyi serta pelakon selepas ini. Kalaulah karier saya menunjukkan aras yang membanggakan maka lambat sikitlah barangkali saya teruskan niat sambung belajar.

"Tetapi kalau kerjaya seni saya kurang memberangsangkan lalu saya segera menyambung belajar di luar negara," akui Dafi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails