Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rem selalu ada


Semangatnya tak pernah pudar dalam dunia nyanyian walaupun lima tahun menyepi tanpa album, hakikatnya dia masih aktif menyanyi di pentas sebagai kesinambungan perjuangan seni

NAMANYA mula dikenali menerusi lagu Selingkar Kasih hingga menang Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada 1998. Bagaimanapun sejak lima tahun lalu, nama Rem 'hilang' kerana kebanjiran bintang baru yang lahir daripada program realiti.

Jatuh bangun karier seseorang artis adalah kenyataan yang harus diterima setiap mereka bergelar artis. Apatah lagi, kehidupan manusia bagaikan putaran roda, Hakikat ini turut diakui Rem atau nama sebenarnya, Ramzani Kasim, 35, yang pernah menghasilkan album Rem 97 (1997), Impian Cinta (2000), Setiap Waktu (2002) dan Satu Suara (2004).

Ternyata semangat Rem tidak pernah pudar dalam dunia nyanyian walaupun lima tahun tanpa album. Malah semangatnya begitu kental sehebat vokalnya yang bergetar untuk meneruskan perjuangan seni. Kata Rem, kelibatnya 'menyepi' cuma di media cetak dan elektronik tetapi tidak di pentas persembahan kerana sehingga kini masih aktif menyanyi.

"Selama ini ramai bertanya kenapa saya senyap saja dan mereka sangka saya sudah tidak lagi aktif menyanyi. Saya tidak ke mana-mana, sehingga kini masih aktif membuat persembahan dan menyanyi untuk majlis tertutup walaupun sudah lima tahun tidak menghasilkan album.

"Saya sentiasa ada di Kuala Lumpur dan sudah 14 tahun menetap di sini. Cuma saya seorang individu yang tidak suka heboh dan bercerita benda yang tidak ada.

"Sekarang, barulah saya sedia untuk bertemu pihak media kerana dengan ada single terbaru. Jadi, dapatlah saya berkongsi cerita baru dengan media, bukannya menjaja cerita yang bukan-bukan sekadar meraih publisiti," katanya.

Kata Rem, dia juga cukup mengerti suasana industri muzik sekarang yang mengalami perubahan akibat kemerosotan penjualan album disebabkan beberapa faktor, hingga membentuk satu sistem baru dalam pasaran album. Percaturannya menerusi album Satu Suara pada 2004 dengan melakukan perubahan, nyata tidak membuahkan hasil yang baik.

Kini Rem kembali dengan menuruti jejak langkah kebanyakan penyanyi lain dengan menghasilkan single. Selalu Ada, judul yang diberi dan ia menjadi sandaran Rem melonjakkan semula namanya.

"Ia lagu ciptaan Hazami yang juga penulis lirik manakala susunan muziknya dilakukan Mac Chew. Ini kolaborasi pertama saya dengan kedua-dua pemuzik itu.

"Ia berentak balada namun ada sedikit suntikan moderate dan berbeza dengan lagu balada yang pernah saya rakamkan sebelum ini.

"Terdapat banyak penggunaan 'string' yang menjadikan bunyinya besar kedengaran ala orkestra dan mampu memberikan impak apabila kita mendengarnya. Saya amat berpuas hati dengan penghasilan lagu ini.

"Ia bertemakan cinta yang selalu ada dalam diri setiap insan dan menjadi simbolik kepada kehidupan saya sendiri. Meskipun lima tahun bagaikan menyepi daripada publisiti, namun hakikatnya saya selalu ada dan cinta pada nyanyian juga sentiasa mekar," katanya.

Selama 14 tahun menyanyi, Rem yang juga popular menerusi lagu Semua Orang Tahu dan Impian Cinta, menyifatkan vokalnya lebih matang berbanding dulu selain mengenengahkan lagu balada sebagai single kerana memenuhi permintaan peminat.

"Insya-Allah sekiranya single ini diterima pendengar dan perjanjian dengan syarikat pengedar berjalan lancar, saya merancang menghasilkan album penuh dan melancarkannya tahun depan.

"Justeru, saya amat berharap kerjasama daripada pihak media cetak dan elektronik terutamanya stesen radio untuk membantu saya mempromosikan lagu ini," katanya.

Mengenai album Satu Suara yang dihasilkan pada 2004 dilihat gagal menaikkan namanya, Rem berkata, album itu berkonsep rock bagi menyatakan kemarahannya dan tanda protes terhadap fenomena cetak rompak.

Album itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan ekoran perubahan yang dibawakan Rem terlalu drastik sehingga membuatkan peminat tidak dapat menerimanya.

Tidak sekadar menyanyi, Rem yang enggan graf seninya berada di takuk sama kini mencabar dirinya menjadi pelakon. Selepas Mak Andam Terlampau dan Suria Kasanova, kini penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu membintangi pula drama, Pintu Taubat yang baru saja disiarkan di Astro Oasis pada 18 Oktober lalu.

Jelas Rem, peluang berlakon diraih bukan kerana kemerosotan kerjaya nyanyian atau dilakukan kerana tuntutan 'sara diri' sebaliknya menyempurnakan impian ibu.

"Emak saya adalah pencinta drama Melayu dan dialah yang menggalakkan saya berlakon dan selalu bertanya, "Awak tidak minat berlakon ke? Emak teringin hendak tengok."

"Kemudian saya mendapat tawaran dan terfikir kenapa tidak saya mencuba. Daripada watak pembantu kini saya diberi peluang membawakan watak utama menerusi Pintu Taubat. Saya menjadi jahat dalam drama itu.

"Keberanian menceburi bidang ini juga datang kerana kepercayaan yang diberikan teman artis, produser, kru produksi termasuk peminat. Tidak dinafikan mulanya kekok tetapi sekarang saya akui jatuh cinta pada lakonan dan mahu terbabit secara serius.

"Keputusan diambil bukan kerana terdesak tetapi sekadar memanfaatkan satu lagi anugerah Ilahi yang selama ini tidak pernah saya manfaatkan," katanya.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Ramzani Kassim

TARIKH LAHIR: 16 September 1974

ASAL: Sibu, Sarawak

BINTANG: Virgo

ANAK: Keenam daripada tujuh beradik.

SUKA: Ketika menyanyi dan berlakon

TIDAK SUKA: Kena ditipu dan orang yang tidak berterus-terang.

ALBUM: Rem 97 (1197), Impian Cinta (2000), Setiap Waktu (2002), Satu Suara (2004), Selalu Ada (2009)

ANTARA PENCAPAIAN: Artis Baru AIM (Anugerah Industri Muzik) 1998 dan final Juara Lagu 2000 (Impian Cinta).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails