Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cerita Qabil Ambak...


TIBA-TIBA, nama jaguh equin negara ini menjadi hangat gara-gara spekulasi kononnya bakal melangsungkan perkahwinan dengan selebriti tempatan. Antara gosip cinta, wanita pilihan dan obsesi sukan ekuestrian, XY - Ikon Lelaki berkongsi cerita Mr Bachelor idaman Malaysia, Qabil Ambak...

TIDAK mahu berteka-teki atau membiarkan angin spekulasi terus bertiup, personaliti pilihan XY - Ikon Lelaki minggu ini, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil bersuara bagi meredakan kemusykilan yang bersarang.

Cerita Mohd Qabil Ambak, bukan saja dirinya terkejut, malah tempias turut dirasai anggota keluarga sebaik tersebarnya cerita kononnya beliau akan mengakhiri zaman bujang bersama seorang selebriti dalam tempoh terdekat.



Terus berkongsi perasaan, anak muda ini mengakui tekanan yang diterima memaksa beliau ‘terbang’ seketika ke Australia. Namun, akhirnya, beliau akur perlu berbuat sesuatu untuk menamatkan spekulasi.

Inilah suara hati Mohd Qabil Ambak...

“Bayangkan, sebelum ini, saya hanya dihubungi wartawan sukan yang ingin mengetahui perkembangan terkini saya dalam bidang ekuestrian. Sekarang, sejak menularnya spekulasi itu, keadaan berubah apabila semakin ramai wartawan hiburan yang menelefon dan mahu mengesahkan gosip tersebar,” katanya jejaka berusia 29 tahun ini.

Ada benarnya kenyataan Mohd Qabil Ambak... Ketika XY - Ikon Lelaki menghubungi beliau di Melbourne, Australia, minggu lalu, jaguh ekuestrian ini bagaikan ‘menghidu’ tujuan panggilan dibuat. Lantas beliau bertanya soalan ‘cepu emas’ apakah soalan berhubung spekulasi perkahwinannya itu akan dibangkitkan penulis.

Tidak mahu terus tertekan dek gosip, Mohd Qabil Ambak bersetuju ditemuramah dan menjayakan sesi fotografi di kediaman keluarganya di Kuang, Selangor.

Kata Mohd Qabil Ambak, selepas tersebarnya gosip itu, banyak pihak membangkitkan persoalan membuatkan beliau membuat keputusan bersuara bagi mengelak kekeliruan.

“Apa yang nyata, selepas ini saya perlu lebih berhati-hati dalam setiap perkara terutama yang menyentuh soal salah faham,” katanya yang berkongsi insiden di mana beliau dihubungi seorang pereka fesyen yang menawarkan khidmat mencipta pakaian pengantin ekoran gosip yang tersebar.

Sekarang, Mohd Qabil Ambak yang mengakui masih solo, mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada latihan sukan berkuda dan perniagaan keluarga yang diceburinya sejak awal tahun ini.

Kata Mohd Qabil Ambak, beliau makin selesa membantu bapa, Mahamad Fathil mengendalikan perniagaan perkapalan biarpun terpaksa membahagikan masa antara bisnes dan latihan sukan ekuestrian.

“Saya mula berlatih jam 8 pagi setiap hari selama tiga jam. Kemudian, saya masuk ke pejabat selepas waktu tengah hari.

“Amat penting untuk saya mengikuti sesi latihan kerana mensasarkan dua kejohanan utama iaitu Piala Dunia Ekuestrian di Geneva dan Sukan Asia di Guangzhou, China” katanya.

Selesa bersikap low profile, si bujang idaman Malaysia ini sedia menjawab pelbagai soalan termasuk perihal calon wanita idaman, sasaran menamatkan zaman solo serta perancangan masa depan...

Boleh ceritakan perkembangan terkini anda?

Ketika ini, saya sedang memberi fokus kepada sesi latihan sebagai persiapan untuk menyertai dua kejuaraan penting iaitu Piala Dunia di Geneva, April tahun depan dan Sukan Asia pada November depan.

Sekarang, saya tidak terikat dengan mana-mana acara sukan ekuestrian membuatkan banyak masa ditumpukan di Malaysia. Bagaimanapun, saya menjangkakan akan lebih kerap berulang-alik ke Eropah selepas tahun baru.

Apakah sukar bagi anda membahagikan masa antara sukan ekuestrian dan dunia perniagaan?

Adalah penting bagi saya memulakan bidang baru iaitu dunia perniagaan selepas memfokuskan sepenuh masa kepada kejuaraan utama sukan ekuestrian. Sebagai pelan jangka panjang, saya sekarang terbabit dalam perniagaan keluarga membabitkan bidang perkapalan dan enjin.

Adakah keputusan menyertai dunia bisnes sebagai persiapan meninggalkan dunia ekuestrian?

Seperti yang saya katakan, adalah penting bagi setiap atlit merangka pelan jangka masa panjang. Ini kerana bidang sukan di Malaysia bukan seperti di luar negara yang menjanjikan ganjaran lumayan.

Sedangkan, jika kita lihat, sukan ekuestrian sendiri memerlukan banyak modal dan penajaan yang sukar diperoleh. Tetapi, saya tidak ada sasaran untuk berhenti dalam sukan ekuestrian kerana selagi terdaya dan masih berjaya setiap kali mewakili negara dalam kejuaraan ekuestrian... Inilah satu-satunya cara saya untuk mengharumkan nama Malaysia.

Memikirkan soal kos dan kekurangan tajaan, tidakkah ia membebankan anda?

Jika hendak diturut kemahuan hati, saya mahu merealisasikan impian ke Sukan Olimpik. Tetapi memikirkan soal tajaan dan kos keseluruhan, ia tidak mampu ditanggung melainkan mendapat tajaan.

Tidak seperti di Sukan Asia, Sukan Olimpik memerlukan bajet cukup besar termasuk menggunakan kuda terpilih yang harganya jauh lebih tinggi. Jika hendak memikirkan keuntungan, ekuestrian bukanlah sukannya.

Namun, saya tetap meletakkan sasaran untuk mengharumkan nama Malaysia terutama di benua Eropah.

Sudah berapa lama anda terbabit dalam sukan ini?

Saya mula menceburi sukan ekuestrian sejak berusia 10 tahun. Ini bermakna, sudah 19 tahun saya berkecimpung dalam sukan ekuestrian dan mendapat banyak pendedahan selain berpeluang menyertai pertandingan di peringkat tempatan dan luar negara.

Dua adik anda, Quzier dan Quzandria juga terbabit dalam sukan ekuestrian. Siapa antara kalian paling menonjol?

Bagi saya, masing-masing ada kelebihan sendiri. Jika dilihat, Quzier lebih awal menceburi sukan ekuestrian dan pencapaian Quzandria juga membanggakan. Terbaru, beliau mula menyertai sukan MotoGP.

Bagi saya sendiri, saya lebih dilihat banyak dalam sukan ekuestrian.

Bagaimana dengan penerimaan dan sokongan yang diterima dari keluarga untuk anda terus bergiat dalam sukan ekuestrian?

Keluarga banyak menyokong dan menjadi perangsang kepada saya. Biar apapun keputusan yang hendak saya ambil, tidak kiralah dalam bidang sukan mahupun peribadi, keluarga tidak sesekali campur tangan kerana yakin dengan keputusan saya.

Menyentuh soal status anda, apakah anda sekarang masih solo atau sudah berpunya?

Saya kini solo selepas enam tahun menjalin hubungan rapat dengan seorang gadis berasal dari Filipina... Hingga kini, kami masih berkawan baik.

Ciri-ciri wanita pilihan anda?

Saya sukakan gadis yang memiliki minat sama, sederhana dan saling memahami.

Bila agaknya anda mahu menamatkan zaman bujang?

Saya pernah merancang untuk berkahwin pada 30 Januari depan iaitu genap usia 30 tahun. Namun, selepas bersendiri, tidaklah saya meletakkan sebarang sasaran. Saya mahu tumpukan perhatian kepada kerjaya dan sukan ekuestrian.

Apakah agaknya keseronokan berstatus solo?

Menjadi single, saya mahu merasai detik ini untuk lebih relaks dan tidak perlu pening-pening (tersenyum).

Bayangkan anda 10 tahun akan datang?

Mungkin ketika itu, saya sudah mula memberi sepenuh tumpuan pada bidang perniagaan. Namun, tidak bermakna saya berhenti dari sukan ekuestrian. Ini kerana, jika kita perhatikan, ada atlit ekuestrian berusia 67 tahun dan beraksi dalam sembilan Sukan Olimpik!

Selagi kita terdaya dan cergas, tiada sebab untuk saya berhenti dalam sukan ekuestrian.

Sekolah bisu & memori Camelias...

“SAYA pernah disangka bisu sehingga guru besar mahu merujuk masalah saya kepada perhatian keluarga serta mencadangkan saya dihantar ke sekolah pendidikan khas,” kata Mohd Qabil Ambak tertawa mengenangkan sikap pendiamnya dulu.

Kata jaguh ekuestrian ini, beliau cukup pendiam hingga langsung tidak berbual dengan rakan sekelas melainkan disapa.

Ditanya mengapa begitu jadinya, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui dirinya cukup pendiam dan pemalu sejak kanak-kanak lagi.

“Jika guru mendenda semua rakan kelas berdiri atas kerusi kerana membuat bising, saya seorang saja yang dikecualikan hukuman.

“Bukanlah langsung tidak bercakap dengan kawan-kawan, tetapi memang saya jenis pendiam dan hanya menjawab apabila disoal saja,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Qabil Ambak mengakui karektor pendiam dan pemalu beransur-ansur hilang selepas menginjak usia dewasa.

Beliau berkata, ramai rakan-rakan terkejut melihat perubahan dirinya daripada seorang yang pemalu hingga mampu berkomunikasi dengan baik dalam media termasuk televisyen.

Tidak lengkap memperkatakan kejayaan anak muda ini dalam sukan ekuestrian andai tidak mengaitkan dirinya dengan koleksi kuda kesayangan.

Kata Mohd Qabil Ambak, ketika ini, beliau memiliki empat ekor kuda yang diberi nama Parvina, Acapulco, Amandeus Vande Boswinning dan Carry Jr. Setiap kuda peliharaannya ini memiliki kelebihan dan tuah tersendiri.

“Namun, saya masih belum menemui pengganti sebaik kuda kesayangan, Camelias yang menemui ajal pada 2005 selepas berakhirnya Sukan Sea di Manila akibat serangan virus.

“Betapa hampanya saya ketika itu... Itulah hadiah emas terakhir yang disumbangkan Camelias. Kuda ini banyak membantu saya mencipta nama dalam sukan ekuestrian selepas lapan tahun kami bersama,” kata jejaka ini yang juga menggemari aktiviti sukan air pada waktu senggang.

Profil

Nama : Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil

Umur : 29 tahun

Tarikh lahir : 12 Januari 1980

Tempat lahir : Kuala Lumpur

Tinggi : 170 sentimeter

Berat : 60 kilogram

Status : bujang



Kata Qabil Ambak mengenai...

Hidup membujang

Tidak dinafikan status solo membolehkan kita bebas dan tidak terikat dengan komitmen. Namun, ia bukanlah alasan untuk bersuka ria kerana ketika bujanglah kita perlu berusaha gigih dan memperkukuhkan karier.

Karektor diri

Seorang pendiam, mempunyai visi dan sentiasa berusaha mengejar apa yang dicita-citakan.

Fesyen

Menggemari fesyen kasual dan kemeja polo yang disesuaikan dengan seluar jeans.

Hobi

Memiliki lebih 50 koleksi topi pelbagai jenama yang menjadi trademark dirinya.

Kuda

Memiliki empat ekor kuda iaitu Parvina, Acapulco, Amandeus Vande Boswinning dan Carry Jr.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails