
KONTROVERSI yang tercetus antara dua pengarah filem ternama tanah air, Norman Abdul Halim dari KRU Studios dan David Teo dari Metrowealth Movies Production (MMP) mendapat perhatian daripada seluruh penggiat filem tanah air.
'Perang mulut' yang tercetus antara kedua-dua pihak itu bagaimanapun didakwa sesetengah pihak sebagai rancangan teliti antara Noman yang menerbitkan filem Jin Notti dan David menerusi filem Momok The Movie (Momok) dalam usaha melariskan filem mereka.
Apakah benar dakwaan seperti yang disebut ramai itu?
Dalam berhadapan dengan konflik ini, Norman menafikan, 'perang mulut' antara beliau dengan David dirancang seperti yang didakwa ramai.
Sambil mengharapkan perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang, Norman menjelaskan, ia juga bukan gimik yang sengaja direka kedua belah pihak bagi membolehkan dua filem berkenaan meraih kutipan tinggi di pawagam.
"Saya tidak pernah menghubungi David Teo untuk membuat satu pakatan atau merancang bagi mewujudkan kontroversi 'perang mulut'.
"Sepanjang perkara itu berlaku pun, kami berdua tidak berhubungan melalui telefon atau berjumpa. Saya difahamkan beliau berada di China dan saya pula akan ke luar negara," kata Norman menafikan spekulasi liar kononnya strategi itu dilancarkan semata-mata untuk melariskan kedua-dua filem itu.
Sungguhpun begitu, sebagai ahli perniagaan, Norman tidak menafikan kontroversi yang mendapat liputan meluas media itu sedikit sebanyak membantu meningkatkan jumlah kutipan filem Jin Notti dan Momok.
Norman berkata demikian kepada wartawan sebagai menjawab kontroversi yang tercetus baru-baru ini melibatkan jumlah kutipan filem Jin Notti dan Momok.
Minggu lalu, Norman dan David bertikam lidah berhubung isu jumlah kutipan antara Jin Notti dan Momok.
Ekoran isu itu, Norman mencabar Teo agar jumlah kutipan filem Teo diaudit dan disahkan oleh juruaudit bertauliah.
Mengulas lanjut, Norman berkata, mengumumkan jumlah kutipan semasa dan membandingkannya dengan filem pesaing bukanlah strategi pemasaran KRU Studios.
Sebaliknya, pihaknya lebih percaya kepada persaingan sihat tanpa perlu menjatuhkan 'maruah' filem lain.
"Pada November ini, kita akan berhadapan dengan situasi yang sama dengan pihak MMP melalui Planet 51, sebuah filem edaran KRU dan filem yang mendapat sentuhan KRU iaitu My Spy, arahan Afdlin Shauki.
"Persaingan itu normal. Justeru, saya harap bukan sahaja Teo malah penerbit-penerbit lain supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan tidak menjatuhkan maruah filem pesaing," katanya sambil memberitahu bahawa jumlah kutipan Jin Notti kini sudah melebih RM2 juta.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Norman yang juga Setiausaha Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) menjelaskan, bahawa kutipan semasa tayangan sesebuah filem mampu dikemaskini dengan pantas andai setiap pawagam dilengkapi sistem khas yang boleh diakses secara dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Katanya, cadangan pemasangan sistem itu sudah pun disuarakan PFM kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
"Melalui sistem itu, setiap penerbit filem mampu mengakses sistem berkenaan dan ia juga sedikit sebanyak mampu mengelak berlakunya pertikaian berhubung jumlah kutipan," tambahnya.
Norman sebelum itu hadir menjayakan promosi bergerak di pawagam-pawagam utama di ibu negara.
Promosi yang bermula di GSC Mid Valley itu disertai dua pelakon utama Jin Notti iaitu Mawi dan Fara Fauzana serta pengarah filem berkenaan, Azhari M. Zain.
Selain pawagam di Mid Valley, Norman dan krew produksi serta warga kerja KRU Studios turut berkunjung ke Berjaya Times Square, Pavillion dan KLCC.
stats counter