
BAGI mereka yang mengikuti perkembangan kedua-dua pelakon terkenal Hollywood ini, pasti mengakui akan kehebatan dan karisma mereka dalam membawakan watak yang diberikan kepada mereka.
Susan Sarandon misalnya merupakan aktres yang cukup disegani kerana sering kali tidak mengecewakan dan sentiasa memberikan lakonan yang cemerlang.
Siapa yang dapat lupa lakonan hebatnya dalam filem Dead Man Walking sehingga melayakkannya memenangi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada tahun 1996.
Biarpun usianya sudah melewati 50 tahun, namun Sarandon masih lagi diberi peluang membawakan watak utama dalam filem, drama mahupun filem televisyen.
Apa yang penting bagi Sarandon adalah watak dan skrip yang dilihat mampu memberikannya satu kepuasan sebagai seorang aktres.
Kerana itu jugalah, dia tidak teragak-agak untuk menerima tawaran membawakan watak Doris Duke dalam drama berjudul Bernard and Duke.
"Sebagai seorang aktres, saya selalunya tertarik dengan watak mahupun skrip yang belum pernah saya cuba terutama sekali filem yang ada unsur cinta.
"Pada saya, apabila rasa cinta itu ada dalam sebuah filem ia mampu menjana kuasa pelakon itu untuk mendalami dan menjiwai wataknya dengan baik.
"Karya itu tidak semestinya menyelitkan adegan seksual bagi menggambarkan rasa cinta tetap ia adalah tentang hubungan yang mampu membangkitkan rasa cinta dan kasih sayang itu sendiri.
"Dalam drama Bernard and Duke ini, saya melihatnya sebagai sesuatu yang unik di mana perhubungan antara dua darjat itu ditonjolkan dengan begitu baik dan tidak klise," kata Sarandon saat diajukan pertanyaan tentang pengisian cerita Bernard and Duke.
Penonton di Malaysia akan dapat menonton drama ini apabila ditayangkan malam ini secara eksklusif di HBO (saluran 411, Astro) bermula pukul 9 malam.
Bernard and Duke mengisahkan tentang Doris Duke (Sarandon) yang merupakan wanita terkaya di dunia apabila mewarisi harta dan perniagaan tembakau dan tenaga elektrik milik bapanya, James Buchanan Duke.
Bukan itu sahaja, dia juga merupakan seorang sosialit yang cukup terkenal dengan reputasinya sebagai seorang yang sukar dijangka dan pendesak.
Satu hari seorang lelaki berbangsa Ireland bernama Bernard Lafferty (lakonan Ralph Fiennes) tiba di rumah Duke dan menjadi ketua pembantu rumah di kediaman Duke.
Lafferty yang baru sahaja pulih dari ketagihan alkohol itu cuba menyakinkan Duke bahawa dia adalah calon terbaik untuk memegang jawatan itu.
Dia amat memerlukan kerja untuk meneruskan kehidupannya memandangkan dirinya yang baru sahaja diisytiharkan muflis itu.
Sebaik sahaja diterima bekerja, entah bagaimana hubungannya dengan Duke bertambah rapat dan mereka menjadi kawan akrab.
Kerana persahabatan itu jugalah, Duke telah menamakan Lafferty sebagai satu-satunya waris kepada kesemua hartanya yang dianggarkan bernilai hampir AS$100 juta.
Kisah yang diadaptasi daripada kisah benar itu telah mencetuskan polemik dan perdebatan sehingga ia menjadi kes mahkamah berprofil tinggi pada awal tahun 90-an.
Bagi Fiennes pula, sewaktu mula-mula mendapat skrip untuk drama ini, dia tidak tahu tentang kisah sebenar yang berlaku dalam hidup Doris Duke itu.
Hanya selepas itu, barulah Fiennes membuat penyelidikan dan mengetahui kisah yang berlaku antara dua insan berlainan darjat serta latar belakang itu.
"Bagi saya, drama ini adalah tentang keberanian untuk seseorang itu menonjolkan dirinya yang sebenar dan menerima keadaan diri orang itu seadanya.
"Saya terharu dan tersentuh dengan keikhlasan Duke membantu Lafferty mencari kebenaran dalam menonjolkan jati dirinya itu.
"Membawakan watak Lafferty memang bukan mudah kerana watak ini digambarkan sebagai seorang lelaki yang sungguh sunyi dan ia jauh sekali berbeza dengan perwatakan saya.
"Namun, sebagai pelakon saya harus mencari kepelbagaian dalam memberi variasi kepada mutu lakonan saya kerana itu adalah cabaran untuk saya sebagai seorang aktor," ujar Fiennes yang pernah dicalonkan untuk Oscar sebanyak dua kali.
Bagi Sarandon dan Fiennes, kedua-duanya meletakkan harapan yang cukup tinggi menerusi drama arahan Bob Balaban ini.
Tiada lain yang diharapkan mereka melainkan penonton akan dapat menyelami dan menghayati jalan cerita tentang perhubungan serta kasih sayang antara dua individu.
Bernard and Doris mula ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2008 selepas ditayangkan buat pertama kali di Festival Filem Antarabangsa Hamptons, Long Island, New York pada tahun 2007.
Respons yang diterima cukup positif dan diterima dengan baik oleh pengkritik dan penonton.
Drama yang ditulis oleh Hugh Castello ini pernah dicalonkan dalam beberapa anugerah berprestij di AS. Antaranya ialah tiga pencalonan dalam Golden Globe, dua untuk Screen Actors Guild serta 10 nominasi Anugerah Emmy tahun lalu yang merangkumi Drama Terbaik, Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Terbaik.
Pastikan anda tidak melepaskan peluang menonton drama menarik ini secara eksklusif di HBO.
Bagi mereka yang tidak berkesempatan menontonnya malam ini, usah bimbang kerana tayangan ulangannya adalah pada 21 Oktober (Rabu) pada pukul 1 petang dan 11.20 malam dan 24 Oktober (Sabtu) pukul 3 petang menerusi saluran yang sama.