Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Badrul Muhayat enggan pandang belakang


LALUAN hidupnya selaku artis penuh dengan sejarah pahit. Dihimpit pelbagai masalah peribadi, dirinya tidak terlepas daripada dipalit tohmahan negatif sehingga hampir memusnahkan kehidupan, nama serta kariernya.

Bukan sedikit cubaan menimpanya dan tragedi hitam yang ditempuhi menyebabkan aktor kacak kegilaan gadis remaja sekitar 80-an ini hampir hilang keyakinan diri.

Tindakannya menghilang dan mendiamkan diri beberapa ketika merancakkan lagi dakwaan demi dakwaan sesetengah orang apabila dikatakan cuba lari daripada masalah yang dihadapi.

Begitulah beratnya bebanan yang ditanggung Badrul Muhayat, pelakon yang suatu masa dahulu menjadi rebutan produser drama serta filem untuk ditawarkan peluang berlakon.

Namun, di sebalik apa jua permasalahan serta dakwaan yang menyelubungi hidup, Badrul sedikitpun tidak menganggapnya sebagai 'kudis' penghalang untuknya meneruskan hidup.

"Sebenarnya, dalam tempoh saya dibelenggu dengan masalah, tawaran berlakon pun makin berkurangan.

"Saya banyak kali berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Di Johor, saya terlibat aktif dengan perusahaan keluarga.

"Melihat bidang perniagaan pun makin berkembang, sebab itu saya sudah kurang berlakon atau muncul di khalayak. Bukan saya sembunyikan diri,'' katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon Usia Cinta Kita terbitan Bright Network Sdn. Bhd. di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Majlis yang turut diadakan bersempena dengan sambutan Aidilfitri itu diadakan di kediaman milik Raja Alawiyah Raja Lop Idris, 'orang kuat' Bright Network.

Selain Badrul, Usia Cinta Kita arahan Hazali Ramli dibintangi Airis Yasmin, Esma Daniel, Haleeda, Idris Mad Diah, Fadzilah Mansor, Zack Kool dan Hamidah Wahab.

Menyambung kata-kata, Badrul menjelaskan bahawa di sebalik apa yang berlaku, dirinya enggan menafsirkannya sebagai mencemar nama baiknya.

Malah, dia sentiasa berfikiran positif dan beranggapan ia sebagai lumrah atau asam garam hidup.

"Kalau jadi artis dan takut jika berlaku sedemikian, baik tidak payah jadi artis.

"Saya pun tidak kesal dengan semua yang berlaku. Ini adalah pengalaman hidup dan menjadi pengajaran untuk saya agar tidak mengulangi perkara lalu,'' katanya.

Ditanya mengenai kaitan perkara-perkara negatif terhadap dirinya, Badrul memberitahu dirinya juga adalah manusia biasa.

"Saya tidak ambil kisah semuanya itu. Lagipun, saya sudah lali dikata itu ini.

"Bagi saya, buat tak tahu sahajalah atau berdiam diri.

"Tetapi, diam diri ada hadnya. Kalau ia sudah membabitkan keluarga, saya perlu juga bertindak,'' tegasnya yang mengakui sudah lama tidak ditemubual oleh wartawan.

Cerita tentang lakonan dan Avant Garde

Sementara itu, Badrul yang diajukan persoalan mengenai perkembangan kariernya berkata, dia sudah lama tidak berlakon.

Jelas Badrul yang pertama kali bergelar pelakon pada 1991 menerusi filem Riang Tirana, meski kurang tawaran, dirinya tetap bersyukur kerana masih ada penerbit dan pengarah yang masih menawarkannya berlakon.

"Umur saya pun sudah 42 tahun. Pelakon baru makin hari makin ramai. Justeru, saya tidak boleh bergantung sangat kepada lakonan.

"Penampilan saya sudah berubah dan kini lakonan tidak stereotaip macam dahulu. Tawaran berlakon banyak watak-watak matang,'' katanya.

Menurut Badrul, untuk membolehkannya terus survive, dirinya kini bekerja di sebuah syarikat produksi iaitu Avant Garde Broadcasting (M) Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Kelana Jaya, Selangor.

Di Avant Garde, ujarnya, dia memegang jawatan sebagai Penerbit Eksekutif yang bakal menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi.

"Syarikat ini baru sahaja beroperasi. Disember nanti, insya-Allah kami akan hasilkan sebuah filem termasuk drama dan animasi.

"Avant Garde sebelum ini aktif menerbitkan dokumentari,'' jelas Badrul yang melihat masa depannya akan lebih cerah di Avant Garde.

Katanya, untuk penerbitan filem Disember nanti, beberapa pelakon baru akan ditampilkan dengan Pierre Andre bertindak selaku pengarah.

"Saya tidak boleh memberitahu lebih lanjut mengenai projek filem ini.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat ini, Avant Garde akan umumkan mengenai penghasilan filem tersebut,'' tambahnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails