
Bahkan bukan mudah memujuknya menjelaskan status sebenar percintaannya dengan pendatang baru kian popular, Scha Al-Yahya.
Berkali-kali diasak soalan benarkah hubungan mereka berakhir, jejaka bertubuh sasa ini berkeras enggan memberi komen dengan menegaskan tidak sesuai untuknya mengulas perkara itu dan berharap media dan pihak luar tidak memberi tekanan kepadanya dan Scha serta keadaan itu.
“Saya akan bercakap apabila sampai masanya dan ketika itu saya akan luahkan secara rasmi dan telus bagi mengelak fitnah atau salah faham.
“Yang boleh saya kongsi setakat ini, hubungan ini terlalu berat dugaan dan cabarannya. Sebagai orang lebih tua dan lebih lama dalam industri, saya rasa keadaan ini sampai ke tahap yang menyedihkan saya.
“Sukar untuk saya jelaskan, senang cerita hubungan ini terlalu banyak tekanan daripada pelbagai aspek. Apa yang buat saya sedih dan kecewa bila kebanyakan masalah bukan berpunca daripada kami tetapi daripada orang luar. Mereka tidak mengambil kira Scha masih baru dalam industri dan dalam proses kematangan.
“Perkara sebegini bukan pertama kali berlaku, justeru saya kena lebih matang menanganinya daripada semua sudut dan membuat penilaian secara menyeluruh. Cara terbaik mengatasi perkara ini adalah dengan banyak bersabar dan bebas pengaruh luar bagi memastikan setiap keputusan adalah yang terbaik.
“Saya tidak mahu ulas panjang, nanti diperbesar-besarkan dan ia jadi mengarut. Cukup-cukuplah tekanan yang diberi dalam hubungan ini oleh pihak media dan masyarakat,” kata Fahrin yang dihubungi baru-baru ini.
Aktor dan pengacara terkenal ini mengaku hatinya terguris apabila terpaksa berdepan sekali lagi situasi sama seperti sebelum ini, apatah lagi usianya mencecah angka 30, di mana dia bersedia menyunting wanita idaman untuk dijadikan suri hidup.
Namun sebagai manusia, pengacara program realiti Sehati Berdansa ini terpaksa akur tidak semua yang dirancang akan berjalan lancar. Sesekali, pasti diuji badai sebelum bertemu cahaya kebahagiaan.
“Siapa yang tidak kecewa, apatah lagi bila ada campur tangan orang luar. Saya tidak faham mengapa ada yang suka cakap bukan-bukan mengenai saya. Apa yang saya belajar sepanjang bergelar anak seni, macam mana baik kita bawa diri, tetap ada orang cuba burukkan kita.
“Khabar angin yang tak betul ditokok tambah dan dijadikan sensasi. Saya sudah biasa dengan situasi ini, tetapi mungkin tidak bagi Scha.
“Saya seorang yang tegas dan tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang sekeliling. Kalau sudah suka seseorang, saya tak peduli, biarpun ada cerita kurang enak sampai ke telinga. Sekali bercinta, saya akan bagi sepenuh komitmen dan sama sekali tidak akan membuat penilaian pendek.
“Malangnya apabila menjadi selebriti, harga yang perlu dibayar terlalu tinggi dan saya tidak sanggup apabila harga yang dipertaruhkan itu adalah kehidupan peribadi saya,” katanya yang berharap perkara ini tidak disensasikan seperti dilaluinya sebelum ini.
Ditanya tidakkah kekok berkongsi pentas dengan Scha dalam Sehati Berdansa yang bakal menghangatkan Astro Ria 24 Oktober ini, Fahrin berkata, dia tiada masalah sama sekali, malah sebelum ini pernah membuktikan boleh bekerja dengan sesiapa saja dalam apa saja situasi.
Sebagai pengacara, tidak betah andai dia mementingkan diri dan perlu bersikap profesional, apatah lagi program ini membabitkan banyak pihak.
“Saya tidak boleh heret masalah peribadi ke atas pentas. Program ini kendalian bersama saya dan Scha, jadi kami perlu pastikan perjalanannya lancar dan sempurna.
“Tidak timbul soal kekok kerana sebelum ini pun saya sudah membuktikannya. Walaupun bekerja dengan insan paling saya sayangi, sedang bermasalah atau tidak ada apa-apa hubungan saya tetap menjalankan tugas dengan ceria dan baik,” kata ikon Celcom Blue ini.
Beralih kepada perkembangan terkini, selain sibuk dengan penggambaran beberapa telefilem, antaranya Pun Pun dan Resipi Cinta, Fahrin menandatangani kontrak sebagai duta Kempen Penjimatan Minyak Shell selama setahun yang akan diumumkan dalam sidang media pada 6 Oktober ini.
Menerusi pelantikan ini, Fahrin diterbangkan ke Jerman, Mei lalu, untuk mengikuti kursus pendek selain melihat dari dekat operasi syarikat minyak tersohor itu.
“Di sana saya menyertai perlumbaan menyahut cabaran penjimatan minyak satu liter dan berjaya menewaskan enam duta lain dari Singapura, Hong Kong, Denmark, Jerman, Turki dan Belanda.
“Banyak pengalaman baru saya peroleh sepanjang di sana, termasuk bertemu pengurusan teratas syarikat ternama ini. Sebagai duta, saya akan beri sepenuh komitmen terhadap setiap program anjuran Shell dan memastikan kempen ini berjaya,” katanya.