Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Gangguan misteri di lokasi Santau


JELMAAN manusia dalam rupa dan bentuk yang sama di dua tempat berbeza antara gangguan yang dilalui krew penggambaran filem seram Santau arahan Azhari Zain atau Zack sepanjang 20 hari berada di lokasi. Penggambaran filem itu baru saja selesai dan filem kedua arahan Zack, ini sibuk melalui proses pasca produksi membabitkan kerja pascaproduksi.

“Syukur, akhirnya Santau yang bermula penggambaran awal Jun lalu selesai melalui proses penggambaran mengikut perancangan dan berakhir pada pada 28 Jun. Kini disamping saya dan krew sedang sibuk pula dengan kerja suntingan, muzik, dubbing, saya juga sudah mula sibuk dengan penggambaran filem Zoo juga terbitan MIG Production,” jelasnya.

Sempat menceritakan pengalaman bersama Santau, sepanjang penggambaran berjalan, tiada apa-apa masalah besar yang tidak dapat diselesaikan dengan baik. Zack boleh dianggap seorang yang penakut mengenai dunia misteri hinggakan dia jarang menonton filem seram lain tetapi apakan daya kerjaya menuntutnya untuk mengarah sebuah filem bercorak seram seperti Santau.

“Tapi tidak juga dinafikan ada gangguan misteri yang dialami saya sendiri dan krew sepanjang penggambaran berjalan. Apapun kami percaya sebarang pekerjaan apabila dimulakan dengan doa dan diakhiri dengan doa, insya-Allah akan mendapat perlindungan Allah SWT,” katanya lagi yang mengakui diselubungi seram ketika meneruskan kerja pengarahan.

Mengenai gangguan misteri itu, Zack berkongsi pengalaman dengan menceritakan sewaktu penggambaran berjalan ada krew yang melihat imej yang sama (krew lain) di dua tempat berbeza serentak. Bukan hendak menakut-nakutkan sesiapa, sekadar membawa kesedaran bahawa manusia tidak melata di bumi ini sendirian. Itulah hakikatnya.

Jelasnya, penggambaran yang berlangsung di sekitar Kuala Lumpur, Beranang dan Hulu Langat Selangor itu berjalan cukup lancar. Kelancaran itu juga banyak dibantu oleh penemuan lokasi yang bersesuaian dan ideal.

“Saya akui antara perkara paling sukar dan mencabar bagi seorang pengarah semestinya untuk mendapatkan visual yang paling dekat menggambarkan jalan cerita filem yang bersandarkan pada kisah benar ini. Saya bersyukur ditemukan dengan lokasi yang memenuhi kehendak visual yang paling ideal seperti sebuah masjid lama di Beranang juga sebuah Banglo lama yang terletak di Jalan Travers, Kuala Lumpur antaranya.”

Dengan bantuan visual yang menarik ini, elemen gerun dan menjijikkan itu mampu direalisasikan dengan baik ditambah pula dengan penggunaan teknik teknik shot serta angle yang menjadi.

“Saya cuba sehampir mungkin untuk memberikan gambaran pengalaman sebenar ini di layar nanti, bukan sekadar plot dan naratif tetapi juga bentuk lembaga dan jelmaan yang dipaparkan, bayangkan bukan setakat pelakon saja punya karakter tetapi rumah dan pokok juga punya karakter tersendiri,” katanya yang menjangkakan filem yang menelan kos RM1.5 juta ini bakal menjengah pawagam sekitar penghujung tahun ini.

“Elemen gerun, seram dan menjijikkan perlu disempurnakan dengan baik, jadi jangan terperanjat jika pendukung utama filem ini dilihat dalam bentuk mengerikan selain sanggup menjamah makanan jijik dan berulat misalnya,” kata Zack lagi sambil tidak menafikan kekuatan jalan cerita banyak disokong kuat oleh barisan pelakon.

Terbaru, umpamanya, pendukung utama, Putri Mardiana Zainal Abidin, 28, yang membawa watak Nina baru saja meraih pingat emas kategori lakonan dan pingat perak kategori Spokes Model di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, minggu lalu.

“Mungkin nama Mardiana belum komersial di gelanggang arus perdana, tetapi adalah lebih berhemah untuk dikenali menerusi bakat dan pencapaian berbanding rupa paras yang komersil semata,” jelas Zack mengulas kemenangan Mardiana yang tidak punya banyak pengalaman dalam bidang seni dan lebih bersandarkan minat.

Pelakon Esma Daniel yang pertama kali diberi tanggungjawab membawa watak utama dalam filem menerusi Santau turut tumpang bangga dengan pencapaian Mardiana di Los Angeles, baru-baru ini. Dia tidak hairan anak kelahiran Kuala Lumpur itu mampu meraih kejayaan memandangkan keserasian yang dilahirkan sewaktu 18 hari bersama di lokasi.

Mengenai lakonan Esma, dia juga akui, ketika penggambaran dia turut mengalami gangguan misteri ada lembaga seolah-oleh mengikut diri hingga saya mengigau ketika tidur di rumah, selain saya terpaksa berksar dengan seseorang di lokasi kerana orang itu kelihatan seperti dirasuk.

“Kesungguhan yang ditunjukkan Mardiana membawa watak isteri saya Nina memang tulen, biarpun dia tidak punya babak hari itu, tapi dia tetap muncul di lokasi semata-mata untuk melihat perkembangan penggambaran dan tidak mahu ketinggalan,” jelasnya yang kembali sibuk dengan rakaman Impian Sunsilk di TV3.

Mengulas peluang memegang watak utama selama menceburi bidang lakonan sejak 1991, Esma mengakui cukup terhutang dengan Zack yang mempercayai dan yakin dengan keupayaannya.

“Saya masih ingat kata-kata Zack yang cukup memberi perangsang, ia bukan bagaimana kita memulakannya tetapi bagaimana kita mengakhirinya,” ceritanya yang mula mengenali sutradara itu selepas terbabit dalam Bio-Nik dan Naik Hantu.

INFO:

•JUDUL: Santau
•PENGARAH: Azhari Zain
•TERBITAN: MIG Production Sdn Bhd
•BAJET: RM1.5 juta
•SKRIP: Azhari Zain
•LOKASI: Kuala Lumpur dan Selangor
•JANGKA TAYANG: Akhir 2009
•PELAKON: Esma Danial (Halim), Putri Mardiana (Nina), Zul Handy Black (Man), adik Farisya Fatin (Tuty), Riezman Khuzaimi (Usin), Mariani (Nenek Tua), Bob Lokman (Bomoh), Hafidzuddin Fadzil (Imam) dan Hisham Ahmad Tajuddin (bapa Halim).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails