Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nabil lari lintang pukang terpegang ular di Perth


Raja Lawak Astro simpan hasrat bawa keluarga berhijrah ke bandar raya peranginan di Australia

TERPEGANG ular sawa sebesar lengan orang dewasa antara kenangan manis Bintang Paling Popular 2008, Ahmad Nabil Ahmad ketika menjalani penggambaran program televisyen, Pondok Pondok di Perth, Australia, bulan lalu. Nabil bersama produksi berkenaan berada di sana dari 9 hingga 24 Julai lalu.

Bagi Juara Raja Lawak (Musim Ke-2) itu, peristiwa itu tidak akan dilupakannya sampai bila-bila kerana cukup menggeruni reptilia berkenaan sejak kecil, malah sentiasa mengelak untuk melihatnya jika dibawa ibu bapanya ke zoo.

Kejadian berlaku ketika penggambaran segmen gameshow meneka binatang, antara segmen popular program TV kelolaannya itu di Caversham Wildlife Park, sebuah pusat hidupan liar terkenal di pinggir bandar raya berkenaan.

“Itu (ular) memang pantang saya! Irma Hasmie pun saya suruh jual balik ular sawa albino miliknya kalau mahu berkawan dengan saya. Penerbit dan krew produksi memang sengaja mahu mengenakan saya pada hari itu. Mereka tutup mata saya lalu diminta menyentuh, seterusnya meneka haiwan disediakan.

“Memang saya rasa kulitnya bersisik. Ingatkan `wombat’ sebab memang binatang itu yang disediakan untuk segmen ini. Tapi, bila saya buka mata saja, tiba-tiba terpacul kepala ular itu,” katanya ketika ditemui B*Pop di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Melihat saja reptilia itu di depan mata, Nabil terkejut besar dan berlari meninggalkan lokasi penggambaran sambil disambut gelak tawa krew produksi, selain turut membuatkan kanak-kanak warga Malaysia yang menjayakan segmen berkenaan tergelak besar melihat keletah Nabil.

“Itu bukan aksi komedi. Sebaik melihat ular itu, saya terus lari lintang pukang... serba tidak kena dibuatnya. Mereka yang berada di lokasi penggambaran mungkin berasakan ia insiden lucu tetapi saya yang trauma. Malah, penggambaran terpaksa ditangguhkan sebab saya `merajuk’ dengan penerbit dan krew produksi disebabkan usikan mereka itu. Rasa mahu balik Malaysia pun ada ketika itu. Memang saya tidak boleh melihat ular, apa lagi menyentuhnya,” katanya.

Walaupun gurauan itu agak melampau, namun bekas `mat despatch’ kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, ini menganggapnya sekadar menceriakan suasana, sekali gus mengeratkan hubungan antara beliau dan krew produksi.

“Di Perth, siangnya pendek berbanding malam. Kami tiada masa terluang langsung untuk bersiar-siar, apa lagi membeli belah kerana terikat dengan jadual penggambaran yang ketat. Saya juga tidak boleh lupa kenangan badan menggigil menahan sejuk. Maklumlah, inilah pertama kali sampai ke negara empat musim,” katanya berseloroh.

Selain Caversham Wildlife Park, penggambaran itu yang mendapat kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Perth, Western Tourism Australia (WTA) dan Restoran D’Malaysia turut berlangsung di beberapa destinasi pelancongan lain sekitar Perth.

Antaranya, Scarborough Beach, Fremantal Market, Bell Tower, King Park (Arthur Fairall Playground/Fraser Avanue), Templemore Garden (Waterford), Aqwa (Hillary Boar Harbour) dan Fremantel, antara kawasan tasik yang menjadi tumpuan utama kaki pancing di Perth.

Pondok-Pondok disiar sempena Aidilfitri

Biarpun kunjungan pertamanya ke negara itu sekadar memenuhi tuntutan tugas sebagai pengacara Pondok Pondok, selain membantu kerja penerbitan beberapa program khas TV9 sempena Aidilfitri, Nabil tetap menganggapnya sebagai satu pengalaman menarik.

“Saya tidak boleh lupa kenangan ketika penggambaran berlangsung di Choc Factory. Itulah pengalaman pertama saya membuat coklat... selama ini saya tahu makan saja,” katanya sambil menjelaskan disebabkan penggambaran itu mendapat kerjasama sepenuhnya WTA, beliau dan krew produksi diberikan layanan kelas pertama ketika menjalankan penggambaran di setiap destinasi pelancongan yang dipilih, termasuklah ketika mengikuti aktiviti Captain Cook Cruise dan Perth City Explorer. Layanan WTA cukup bagus! Banyak pengetahuan dan pengalaman baru diperoleh sepanjang berada di sana,” katanya.

Berkonsepkan hiburan bermaklumat, Pondok Pondok episod ke-27 ini diterbitkan khas untuk siaran Hari Raya Puasa, dengan jalan cerita tersendiri apabila Nabil kononnya diajak beraya oleh peminat kecilnya di Perth, Muhammad Aneeq Aiyman Roslan. Selain Aneeq, turut memeriahkan penggambaran itu ialah Siti Nabilah Norisham, Kaela Elmira Usher dan Muhammad Nurajmuddin Noraminudin (Udin) yang kemudian menemani Nabil melawat lokasi menarik sekitar bandar raya itu.

Pemilihan Perth dibuat atas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang melawat kota ini tahun lalu dan mendapati ada baiknya kanak-kanak Malaysia di luar negara diberi pendedahan.

Kagum lihat cara hidup warga Malaysia di Perth

Dua minggu berada di Perth, Nabil menyatakan betapa beliau mengagumi komuniti Malaysia di bandar raya itu yang masih kuat pegangan budaya dan jati diri mereka walaupun di antaranya sudah bertahun-tahun bermastautin di sana atas tuntutan kerja dan perniagaan, selain melanjutkan pengajian.

“Komuniti Malaysia di sana bagaikan `one big family’, malah hubungan sesama mereka cukup erat. Berdasarkan pemantauan saya, semangat kenegaraan dalam diri setiap warga kita di sana masih utuh walaupun sudah bertahun-tahun di negara orang,” katanya.

Melihatkan pola penghidupan komuniti Malaysia dan warga tempatan yang cukup santai di Perth, terdetik juga dalam hatinya untuk berhijrah ke sana bersama keluarganya.

“Tidak tahulah mengapa saya seronok sangat melihat cara hidup di sana. Mereka hidup dalam keadaan segala-galanya ringkas. Rasa tenang saja berada di sana, seolah-olah tiada tekanan mereka alami dalam kehidupan harian. Tiada kesesakan lalu lintas, malah kehidupan di sana juga tidak terkejar-kejar. Memang jauh berbeza keadaannya kalau dibandingkan dengan Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk tanpa mengira siang dan malam,” katanya.

Kunjungan Nabil ke negara pulau terbesar di dunia itu turut ditemani Ketua Bahagian Pengurusan Jenama, Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat TV9, Noor Amy Ismail dan Penerbit Eksekutif Primeworks Studios, Azura Abdul Karim dan Penerbit Pondok Pondok, Shahrul Nizam Zainud.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails