
MAUT yang ditayangkan Januari lalu muncul filem terakhir arahan Badaruddin Azmi (Bade) walaupun filem itu sebenarnya dihasilkan pada 2006. Pada hakikatnya, pengarah berkenaan sudah beberapa tahun tidak turun padang menghasilkan filem cereka selepas bekerjasama dengan Tayangan Unggul menghasilkan filem agak kontroversi itu.
Maut mengaut kira-kira RM1.6 juta ketika muncul filem Melayu pembuka tirai bagi tayangan tahun 2009.
Bukan mengundurkan diri daripada penghasilan filem, tetapi Bade berasakan pasaran ketika ini lebih bertumpu kepada filem ‘pelik’ yang membolehkan produser mengaut keuntungan apabila produk mereka memasuki pawagam.
"Mungkin filem saya pula terlalu serius sedangkan corak pembikinan filem sekarang lebih kepada filem luar biasa iaitu seperti filem bercorak fantasi. Penerbit filem tentunya berusaha mencari judul yang mampu mereka jual di pasaran dan ketika ini, filem seperti itulah yang mendapat perhatian.
"Tidak lama dulu, filem arahan saya seperti KL Menjerit menjadi gaya ikutan. Kini, gaya itu sudah berubah. Saya pula pembikin filem yang mempunyai unsur realisme. Mungkin kerana itu saya sudah beberapa tahun tidak mengarahkan filem," kata Bade ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya sempena Aidilfitri di Hulu Klang, baru-baru ini.
Jika peminat mengingini filem yang bercorak luar biasa, mungkin pengarah itu sendiri perlu mengikut selera terkini?

"Saya tidak perlu mengikut trend itu. Usia saya sendiri tidak berapa sesuai dengan filem bercorak demikian. Bagi saya, dengan usia dan pengalaman kira-kira tiga dekad dalam penghasilan filem, saya harus menghasilkan filem yang berdasarkan pengalaman sebenar, sebuah filem yang tidak merapu.
"Pada setiap pembikin filem, masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap penonton. Bukan saja tanggungjawab dari segi hiburan, sebaliknya lebih penting kita menyampaikan kritikan berguna kepada masyarakat. KL Menjerit, contohnya, mengkritik kehidupan sosial remaja kita pada masa itu.
"Namun begitu, saya tidak menegah mana-mana pengarah untuk menghasilkan filem bercorak fantasi dan luar biasa. Bahkan, ia boleh dibuat. Tetapi, semuanya terpulang kepada kepercayaan dan pegangan masing-masing. Sebagaimana isteri saya, Erma Fatima, dia terus menghasilkan projek yang mendasari kepercayaannya," ujar Bade.
Pada pertanyaan apakah dia tidak boleh menyuntik sedikit gabungan antara unsur realisme dan fantasi supaya dia terus dapat berkarya, seterusnya mendapat perhatian penonton hari ini, Bade berkata dia seharusnya berusaha dengan lebih gigih lagi dalam penghasilan filem.
"Setiap filem perlu mempunyai kepintaran sendiri dalam usaha mempengaruhi penonton. Sebagai contohnya, jika Jin Notti dapat menyampaikan mesej kepada penonton, di samping berjaya dari segi kutipan, jadi ia sebuah filem yang baik.
"Saya pula akan sentiasa menyalahkan diri sendiri sekiranya gagal menghasilkan filem yang baik. Kalau saya tidak dapat menghasilkan filem yang dapat diterima penonton, dengan usia serta pengalaman yang ada ini, saya takkan salahkan orang lain tetapi diri sendiri," tegas pengarah tersohor ini.
Mendedahkan cerita lama, kata Bade, ketika dia menghasilkan filem KL Menjerit, Castello dan Gangster, filem itu berjaya dan dianggap orang ramai sebagai filem aksi.
"Sedangkan, ia masih sebuah drama. Dalam konteks berkenaan, ia sebuah drama jenayah, aksi dan sebagainya. Begitupun, saya tidak mahu mengulangi pembikinan filem serupa. Saya jadi bosan jika menghasilkan genre yang sama," ujar Bade yang menolak beberapa tawaran mengarah filem apabila produser hanya mempunyai bajet yang ‘cukup-cukup’.
Bade percaya, seseorang penerbit harus mempunyai peruntukan kewangan yang lebih apabila mahu menerbitkan sesebuah filem. Maknanya, filem itu tidak akan terbengkalai selepas siap penggambaran, sebagaimana dialami banyak judul ketika ini.
"Penerbit juga tidak boleh mengharapkan keuntungan yang cepat," tegas Bade yang banyak menghasilkan telefilem dan drama bersiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Yang pasti, peminat tidak dapat menonton filem arahan Bade buat beberapa tahun lagi. Bagaimanapun pengarah ini mungkin kembali menduduki kerusi pengarah pada tahun depan bagi sebuah filem yang berunsurkan fakta kejadian sebenar atau sejarah.
Empat tahun lalu, Bade pernah mengarahkan Bilut, yang diterbitkan Mega Wajasinar Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Ia sebuah filem yang memaparkan perjuangan dan kehidupan peneroka tanah rancangan berkenaan sempena ulang tahun Felda ke-50.
Bagi pengarah ini, kerajaan memang wajar mengeluarkan sedikit peruntukan bagi membolehkan pembikin filem merakam sejarah atau fakta yang boleh dijadikan khazanah negara pada masa depan.
