
Sehati walaupun rumpun berbeza
MEREKA bagaikan dua hati dalam dua rumpun berbeza menjadi satu. Memang simbolik. Bernaung di bawah syarikat Metadome Sdn Bhd, Liyana Jasmay, 21, dan Wangi Julianda, 19, yang menganggotai The Fabulous Cats kebetulan pula boleh serasi dalam banyak perkara.
Selain cantik dan masih muda, mereka juga saling menyayangi dan menghormati, justeru. menolak sebarang dakwaan mereka turut terikut-ikut dalam isu semasa di antara Malaysia dan Indonesia. Pada saat negara Wangi dilanda musibah kejadian gempa bumi, negara kita sudi menghulurkan tangan tanda pertolongan tanpa tiada prejudis.
Lupakan seketika masalah itu kerana tumpuan patut diberikan kepada dua bakat ini yang mula meraih perhatian pemuja seni. Kesempatan yang ada ketika majlis percutian bersama media anjuran Metadome, baru-baru ini dimanfaatkan Hip menggandingkan dua sahabat ini disaksikan pantai indah di Cherating.
Jika hubungan intim Liyana dengan Aizat bukan lagi rahsia, Wangi pula sempat memberitahu gara-gara 'berhijrah' ke Malaysia, cinta jarak jauh berakhir kerana tiada persefahaman. Wangi kini selesa solo apatah lagi selepas enam bulan di Malaysia, kerjaya seninya mula menuntut komitmen dan tanggung jawab yang tinggi.
Bersama desiran pantai Cherating disambut angin sepoi- sepoi bahasa, mereka rancak bercerita mengenai kerjaya seni dan masing-masing juga senang memuji sesama sendiri

Kata Liyana (Nana) yang baru dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 Ogos lalu, Wangi mempunyai persamaan dengannya.
"Dia kelakar, gila-gila dan sedikit 'blur'. Kadang-kadang kami seperti ayam dan itik ketika berkomunikasi. Ada kalanya bicaranya yang masih tebal dalam bahasa Indonesia itu memeningkan kepala Nana. Tapi sejak berbulan-bulan di sini, dia semakin pantas mempelajari bahasa kita.
"Ada kawan wartawan beritahu, dia pun 'gedik manja' macam Nana. Mungkin sebab itu kami boleh serasi. Dia pandai membawa diri dan ringan mulut menegur orang. Dia pun cakap banyak macam Nana. Kira banyak jugalah persamaan kami kalau mahu disenaraikan.
"Saya seronok sebab kalau ada acara membabitkan Metadome, dia ada di sisi saya. Bolehlah dia jadi teman berbual. Dia antara contoh untuk membuatkan golongan artis seperti kami cepat disenangi orang. Apatah lagi, menjadi artis, kami perlu menghargai rakan wartawan, peminat dan mereka yang berkaitan di dalam industri," kata Liyana yang bercuti ke London bersama ibu bapanya sejak 9 Oktober lalu, selama lebih seminggu.

Filem Papadom yang menobatkan anugerah sulung kepadanya sudah pun menemui peminat 8 Oktober lalu. Lalu, Liyana yang akan muncul dengan album memuatkan lima lagu 11 November depan, tidak betah duduk diam tanpa mengajak penggemar wayang untuk menyerbu pawagam berhampiran.
Kata Liyana yang ketika ini memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyiannya, filem arahan Afdlin Shauki itu perlu ditonton semua bangsa kerana inti pati cerita yang diketengahkan mengenai subjek bapa dan anak dilihat sejagat. Katanya, ia seiring dengan gagasan 1Malaysia kerana ia boleh ditonton setiap lapisan bangsa.
"Filem ini mudah dihayati tanpa perlu mengerut dahi memikirkan sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Ia dapat difahami dan ditonton semua bangsa yang ada di negara kita. Kalau dilihat secara global sekalipun, setiap daripada kita di dunia ini ada bapa dan anak.
"Mesej dan cintanya juga bersifat menyeluruh. Bukan saja cinta terhadap keluarga, malah kawan-kawan dan sesama manusia. Ajaklah keluarga dan kawan-kawan anda untuk menonton filem ini. Nana yakin ada babak yang mampu membuatkan kita tersentuh dan ketawa riang," katanya yang hanya akan kembali berlakon sekitar Disember ini dan akan muncul dengan single terbaru, Aku Jatuh Cinta bulan depan.
Ditanya, apakah namanya akan terpahat di dalam sejarah industri hiburan sebagai seorang penyanyi, pintas gadis kurus melidi ini, dia sedar masih ada pihak yang seakan memandang sebelah mata bakat nyanyiannya. Bagaimanapun, itu bukan alasannya untuk menyerah kalah.
"Nana percaya setiap kerja keras dan usaha yang dilakukan dengan ikhlas akan membuahkan hasil. Mungkin hasilnya tidak pada masa sekarang dan barangkali dua tiga tahun lagi. Nana rasa masa untuk Nana dikenang sebagai penyanyi akan tiba suatu masa nanti," katanya yang turut akan muncul dengan filem Duhai Si Pari Pari hujung tahun ini.
Hargai jasa Cat Farish
SEMENTARA itu, Wangi Julianda yang kini sedang sibuk dengan persediaan awal untuk pementasan teater muzikal Impak Maksima di The Esplanade ke Singapura mulai 17 hingga 18 Oktober ini pula menyifatkan Liyana Jasmay sebagai seorang kawan yang sangat baik dan membuatkan dirinya rasa dihargai.
"Kali pertama saya kenal dia (Liyana) ketika kami sama-sama terbabit untuk siri jelajah Metadome di Sungai Petani. Kebetulan masa itu, saya belum ada kawan berbual, dia datang menceriakan suasana. Dia tak sombong dan sangat pemurah orangnya.
"Kami selalu berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara termasuk dalam soal solekan. Malah ketika acara makan malam di Cherating pun, dia ada menghantar SMS mengenai pakaian tidur apa yang akan dipakai. Pendek kata, saya sangat menghormatinya. Dia tak sombong walaupun sudah popular," kata Wangi yang memegang watak Mimie yang dulunya pernah dipegang Dynas.
Selain sibuk dengan kerja berlakon, Wangi bersama anggota The Fabulous Cats yang lain turut sibuk melunaskan kerja pembikinan album terbaru. Cinta Kosmik dipilih sebagai single pertama yang akan dimainkan di stesen radio sekitar November nanti.
Wangi sebenarnya masih lagi menuntut dalam Sarjana Pengurusan, Universiti Padjajaran, Bandung dan pengajiannya itu berbaki tiga semester. Ketika ini, Wangi bercuti selama setahun demi memberi tumpuan kepada kerjaya seninya hingga Februari 2010.
"Saya sendiri tidak menyangka akan mendapat peluang berlakon di Malaysia. Sebelum ini pun dengan jadual kuliah yang begitu ketat, saya pernah berlakon watak tambahan di Jakarta. Saya harus berterima kasih kepada Cat Farish yang membuka peluang untuk saya berlakon di sini.
"Gementar juga kerana pementasan teater ini membabitkan pelakon hebat dari Malaysia. Mujur saya mempunyai asas lakonan, lalu, ia sedikit sebanyak menjadi kekuatan untuk saya mencuba nasib sebagai pelakon. Alhamdulillah, selama saya di Malaysia, semuanya berjalan lancar dengan izin-Nya," kata Wangi yang turut berkawan baik dengan Nora Danish, Lisa Surihani, Kamal Adli dan Nabila Huda.
Demi tuntutan kerjaya, Wangi sebenarnya terpaksa berjauhan dengan keluarga di Jakarta. Perasaan rindu harus dibendung supaya tidak menjejaskan perjalanan kerjayanya yang baru saja bermula. Wangi mula menyanyi seawal usia enam tahun lagi dan seterusnya mengikuti pertandingan nyanyian yang diadakan di sana.
"Bakat saya diperhatikan Cat Farish ketika saya tercalon untuk Top 30 bagi sebuah program realiti Global TV Jakarta, Muzikal Drama. Paling penting, Cat yang menjadi tunggak The Fabulous Cats tidak menyekat bakat saya, malah memberi peluang untuk saya tampil dalam projek solo.
"Sebagai contohnya, saya bersama Zizi (anggota The Fabulous Cats) turut menyanyikan lagu tema filem Niyang Rapik The Movie berjudul Syurga Seketika. Lihat saja seperti Fergie yang tampil dengan album solo biarpun mempunyai komitmen dengan kumpulan The Black Eyed Peas," katanya yang turut berkebolehan bermain gitar.
Ditanya apakah badi yang pernah melekat kepada bekas anggota perempuan kumpulan yang dianggotainya kini akan turut terkena tempias kepadanya, sambil tersenyum, Wangi berharap, jodohnya bersama kumpulan itu akan terus berkekalan dan bukan untuk tempoh yang pendek.
"Sejak mula lagi, saya tahu alasan kenapa bekas anggota perempuan yang terdahulu tidak bersama The Fabulous Cats lagi. Saya sendiri selesa bersama kumpulan ini apatah lagi Cat sudah seperti abang saya yang tidak lokek memberi bantuan," katanya yang kini menetap bersama kawan senegaranya yang menuntut di Malaysia.
