
Sebagai selebriti sukan paling popular dewasa ini, adakah ia menjadi tiket kebebasan bagi anda untuk melakukan apa sahaja perkara yang diinginkan, dengan alasan anda masih muda, patut menempuh perkara-perkara sebegini sebagai pengalaman?
ZA: Masih muda dan dikenali bukan alasan atau peluang untuk saya melakukan apa sahaja. Bagi saya, semakin ramai orang mengenali diri kita, lagilah kita perlu menjaga segala perilaku dan perangai. Sangat penting untuk imej dan reputasi saya sebagai ahli sukan.
Contohnya, bila ada yang kata saya kaki perempuan, susah nak perbetulkan persepsi orang. Memang tidak dinafikan saya berkawan dengan beberapa perempuan. Hubungan kami hanya sekadar berkawan, tetapi mereka anggap lebih daripada itu. Tetapi jika saya menyukai seseorang perempuan itu, saya akan berkawan rapat dan menilai diri mereka dulu.
Jika tiada keserasian, saya tidak akan tinggalkan tetapi masih menganggap mereka kawan.Masalah atau perkara ini timbul apabila orang yang melihat saya dengan kawan perempuan berlainan, mereka terus membuat andaian, saya jenis kaki perempuan.
KES DISERANG BEKAS TEMAN WANITA
Baru-baru ini tersiar di akhbar kisah anda diserang teman wanita. Kenyataan yang dikeluarkan dalam artikel tersebut menunjukkan anda benar-benar bersalah dan tanpa penjelasan daripada anda sendiri. Boleh jelaskan tentang perkara ini?
ZA: Sebenarnya bukan diserang, dia datang kerana minta penjelasan mengenai hubungan kami. Memang masa itu saya dan dia sudah tiada apa-apa hubungan. Apa yang mengecewakan saya, apabila artikel yang keluar membuat penyataan “Habis madu sepah dibuang”, menunjukkan seolaholah saya betul-betul jahat.

Walau bagaimana pun saya tak mahu salahkan sesiapa dalam soal ini, tetapi ia tidak adil kepada saya. Orang yang menulis hanya mendengar daripada sebelah pihak sahaja tanpa bertanyakan saya perkara sebenar yang berlaku.
Mungkin ada pihak yang berada di tempat kejadian cuba mengadaadakan cerita yang tidak betul. Sepatutnya soal ini tidak perlu diperbesarkan kerana apa yang berlaku ini hanya antara saya dan bekas teman wanita.
Tidakkah anda rasakan perhatian yang diberikan oleh pihak media, peminat dan pemerhati dunia sukan menjejaskan privasi anda? Malah mungkin anda berasa tidak senang dan rimas dengan perhatian yang keterlaluan ini?
ZA: Pertamanya, saya lihat perkara ini sesuatu yang tidak perlu melibatkan keluarga. Saya tidak mahu ia menimbulkan masalah kepada keluarga saya nanti. Cerita-cerita yang tersebar ini saya boleh terima tetapi mungkin keluarga saya tidak.
Saya tidak mahu apa yang sering orang cakap tentang keburukan saya boleh memberi kesan kepada keluarga. Kalau diikutkan, siapa suka dan mahu cerita-cerita tidak elok sebegini, tetapi kalau nak dengar cakap orang saya tidak akan ke mana.
Mungkin kerana saya seorang selebriti sukan, masyarakat di luar sana lebih suka mengambil tahu kesilapan dan keburukan saya sahaja. Perkara baik yang saya buat tidak pula mereka mahu pertikaikan.
Anda dan Aidil sentiasa diberi perhatian. Apabila orang bercakap tentang Aidil, orang akan kaitkan anda. Begitu juga sebaliknya. Jadi bagaimana cara anda ingin lari dari bayangan dan tidak mahu dibandingkan dengan Aidil. Contohnya kes ke kelab, orang menganggap itu Aidil tetapi sebenarnya anda?
ZA: Perkara macam ini memang susah nak elak. Orang yang tahu, mereka akan tahu siapa dan bagaimana kami. Memang saya tidak boleh berpisah atau lari dari abang.
Walaupun kami mempunyai kehidupan sendiri, tetapi sebagai adik-beradik kembar, kami tetap memerlukan antara satu sama lain. Dia abang saya, mengapa perlu saya elak bersamanya? Biarlah ada yang cuba membandingkan kami, tetapi saya tidak akan buat sesuatu perkara tanpa abang.