
Justeru, walaupun Asri sudah tiada, Rabbani terus disanjung peminat sehingga dijemput menjayakan majlis penutup Festival Nasyid Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai, Aidilfitri lalu.
Walaupun diberitahu yang Asri meninggal dunia, penganjur tetap menjemput kumpulan nasyid popular itu ke sana. Mereka berangkat ke Dubai sehari sebelum Syawal.
Pemergian Azadan Abdul Aziz, Asri Ubai, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ke sana disertai pengurus mereka untuk persembahan di Timur Tengah, Saiffudin Abdul Rahman.
Menurut Azadan yang juga Pengurus Komunikasi Korporat dan Acara Rabbani Production (M) Sdn Bhd, ketibaan mereka di Lapangan Terbang Dubai pada jam 3 pagi waktu tempatan disambut meriah wakil penganjur, penyanyi nasyid terkenal Arab, iaitu Abu Jud dan Abu Ratib serta penerbit rancangan televisyen Shariqah yang siarannya dapat ditonton di seluruh tanah Arab.
“Setiba di hotel, kami membuka bekalan yang diberi isteri masing-masing. Ada ketupat, lemang, rendang dan biskut raya. Sambil makan kami tidak banyak berbual dan ada kala masing-masing terdiam, mungkin melayani kenangan bersama Allahyarham.
“Paling mengharukan pertemuan kami dengan Abu Jud kerana Allahyarham Asri pernah belajar taranum dan qiraati dengannya di Jordan pada awal 1990-an. Memang Allahyarham teringin sangat bertemu gurunya, namun apakan daya hayatnya tidak panjang,” katanya.
Tambah Azadan, selepas solat Aidilfitri mereka dibawa beraya ke kediaman artis nasyid nombor satu di Dubai, Ahmad Bukhapir.
“Pada pertemuan itu kami bertukar-tukar pengalaman dan dia turut bersedih dengan pemergian Allahyarham. Ahmad dan artis nasyid lain di sana juga teruja dengan cara persembahan Rabbani yang harmoni. Jika di negara sendiri nama Rabbani sudah gah, namun apabila dikelilingi otai nasyid Timur Tengah, kami terasa diri ini terlalu kerdil.
“Aktiviti lain di sana selain melawat destinasi pelancongan menarik di sana, kami giat berlatih di auditorium Universiti Sarjah, tempat majlis penutup festival pencarian bakat baru nasyid itu diadakan,” katanya yang menyanyi tanpa muzik.
Enam penyanyi nasyid bertanding yang berjaya ke peringkat akhir pada malam itu dari Maghribi, Syria, Iraq, Dubai, Palestin dan Algeria. Tempat pertama dimenangi peserta Syria, diikuti Iraq dan Algeria.
Ketika ada di sana juga, Rabbani ditemubual secara langsung di stesen radio Shariqah selama sejam.
“Kami juga bertemu ahli perniagaan Malaysia yang menetap di sana yang sanggup membiayai rakaman album terbaru Rabbani untuk pasaran Dubai. Perkara itu dalam perbincangan dan insya-Allah jika semua berjalan lancar, album itu akan dirakam di sini,” katanya.
Perkembangan lain, Rabbani dengan kerjasama Al Bayan Corporations Sdn Bhd menganjurkan program Kembara Ilmu & Kursus Intensif Bahasa Arab di Jordan, Lubnan dan Syria.
Ada dua pakej — pakej A akan ada di ketiga-tiga negara itu selama dua minggu dari 20 November hingga 3 Disember pada harga RM7,950. Pakej B dari 20 November hingga 20 Disember (RM8,900).
Kandungan program termasuk menjelajah ke tiga negara itu, berpeluang melawat satu daripada tujuh keajaiban dunia, menyaksikan festival nasyid, solat Aidiladha di Masjid Umawi (Damsyiq) di mana terletaknya makam Nabi Yahya, program Hari Raya Korban bersama pelajar Malaysia di Jordan dan membeli-belah di zon bebas cukai Aqabah.
Mereka yang berminat menyertainya sila hubungi Al Bayan di 03-79561190 03-79561190 atau 012-6280730 012-6280730 (Mohd Zaim Zukarani).