Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Estet filem Tamil versi Melayu


FILEM Estet arahan Mamat Khalid hanya akan ditayangkan pada awal tahun depan. Seperti yang diketahui umum, Estet menggabungkan cerita komuniti India dan Melayu mengambil latarbelakang kehidupan di sebuah estet.

Dikatakan sinis dan bijak dalam aspek pengolahannya, apa yang pasti ceritanya segar, kelakar, dramatik dan mungkin pada pandangan sesetengah pihak, kontroversi.

Itu antara penyebab mengapa filem itu dinantikan ramai terutama pencinta filem. Mengadunkan komedi dan sindiran sosial, pengarahnya juga berharap pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dapat melihat filem itu secara terbuka.

"Saya tidak gusar. Sebagai pengarah, saya tidak mahu karya saya terbatas dan tersekat kerana sesetengah sebab. Jika ada yang menyatakan gabungan orang India dan Melayu itu sensitif, bagaimana filem itu boleh disiapkan?

"Semasa penggambaran, kami sudah seperti sebuah keluarga. Lagipun, sepanjang penggambaran, kami ada penasihat yang ditugaskan untuk mengawasi pergerakan atau dialog yang mungkin akan menimbulkan nilai sensitiviti di kalangan penonton.

"Malah kami juga sudah membuat tayangan untuk melihat persepsi dan penerimaan orang awam. Kami telah meminta orang awam secara rambang yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India untuk menonton filem itu. Reaksi yang diterima positif dan saya tidak pasti babak yang mana ingin dipotong LPF," ujar Mamat ketika ditemui pada majlis pelancaran klip video dan buku filem tersebut.

Diterbitkan di bawah syarikat produksinya, Naga VXS Sdn. Bhd., karya itu membariskan barisan pelakon Melayu dan India seperti Farid Kamil, Rosyam Nor, Jasmine Michael, Shashi Tharan dan kemunculan pertama penyanyi Alleycats, Datuk David Arumugam. Menyelitkan elemen kenegaraan, Estet memilih untuk menerapkan nilai-nilai positif tanpa 'dibuat-buat'.

"Perpaduan yang dipertontonkan tidak disogok. Apa yang saya paparkan adalah keakraban antara kaum berlainan yang sedia ada dan ramai tidak menyedarinya. Malah saya mahu memilih tarikh tayangan pada Tahun Baru Cina nanti untuk menayangkan filem Melayu-India itu," tambah Mamat yang bakal mengarahkan filem Hantu Kak Limah.

Estet bagi Mamat adalah filem Tamil yang dibikin dalam versi Melayu dengan meminjam acuan filem-filem Tamil luar yang sering ditonton. Namun, Estet merupakan karya yang dekat dengan hati masyarakat tempatan.

"Babak-babak seperti pergaduhan yang lengkap dengan bunyi dan tarian serta muziknya adalah elemen-elemen yang saya masukkan dalam filem itu. Tapi saya bukannya meniru. Saya tidak mengambil tarian atau lagak ngeri yang sedia ada. Semua aksi, tarian dan lagu yang ada adalah baru.

"Ramai yang tidak tahu, filem Tamil sebenarnya susah dibikin. Kita mungkin ketawa apabila menyaksikan babak pergaduhan atau menari tetapi pada saya itu adalah kelebihan filem mereka. Contohnya, babak menyanyi mereka dibikin di tujuh atau lapan lokasi berbeza. Adakah pelakon kita sanggup melakukannya?" tanya Mamat.

Memasukkan 20 peratus dialog Tamil dan selebihnya dalam bahasa Malaysia, Mamat mempunyai idea untuk mengarahkan filem Tamil semasa karya Man Laksa berada di pasaran. Kata Mamat, masyarakat India negara kita rasa terasing kerana kekurangan filem Tamil arus perdana.

"Estet bagi saya ialah satu permulaan kepada industri filem Tamil. Diharap selepas ini ada penerbit akan meneruskan usaha ini," katanya mengenai filem yang mempunyai 33 minit babak CGI.

Bagi memberikan pendedahan serta mempromosikan filem itu sebelum ditayangkan, dua klip video untuk lagu yang dimuatkan dalam Estet, Ayuh Kawan dan Cahaya Kemenangan dibikin dan akan ditayangkan di stesen TV percuma dan berbayar negara selain stesen radio.

"Kami mahu penonton menyanyi bersama semasa menonton filem itu nanti. Lagipun klip video dapat membantu mempromosi serta meningkatkan perasaan teruja orang ramai menantikan penayangan filem itu. Klip video juga jarang dibikin khas untuk sesebuah filem," jelas Mamat mengenai filem yang turut sarat dengan elemen cinta.

Lagu Ayuh Kawan ditulis dengan gabungan bahasa Malaysia dan Tamil. Digubah oleh R. Lawrence, lagu itu disampaikan oleh Siva dan Awie. Apa yang menarik adalah Siva menyampaikan lirik bahasa Malaysia dan Awie pula menyanyikan lirik Tamil.

"Lagu Ayuh Kawan menyampaikan mesej perpaduan. Sebuah lagi lagu, Cahaya Kemenangan pula mengisahkan cerita cinta antara Farid dan Jasmine. Lagu sayu itu menggambarkan percintaan antara kaum Melayu dan India," cerita Mamat yang turut melancarkan buku Estet tulisan Ajami Hashim.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails