
BINTANG filem Public Enemies, Johnny Depp tidak mampu membendung perasaan bimbang jika anak-anaknya turut mempunyai minat untuk mengikuti jejak langkahnya bergelar selebriti Hollywood.
Johnny dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Lily-Rose, 10 dan Jack, tujuh, hasil perkongsian hidupnya dengan penyanyi kelahiran Perancis, Vanessa Paradis.
Kata Johnny, anak-anaknya sudah terbiasa melihat dia sering menggayakan busana cantik yang dipakai untuk pelbagai majlis mahupun mana-mana kostum yang digunakan untuk penggambaran filem selama ini.
"Memang anak-anak saya tidak kisah dengan apa yang mereka nampak selama ini. Tetapi terus-terang saya harap Lily-Rose dan Jack tidak jadi macam saya bergelar orang terkenal. Itu merupakan ketakutan utama saya sepanjang hidup ini.
"Saya cumalah seorang pelakon dan bukannya hero. Tidak masuk akal rasanya kepada saya untuk meninggalkan terus dunia glamor ini. Cuma paling penting sekarang, saya mahukan mereka (anak-anak) bangga dengan bapanya," terangnya bersungguh-sungguh.
Johnny, 46, turut menganggap keluarga penting untuk dirinya dalam hidup ini. Bahkan dia sanggup menghabiskan banyak waktu bersama-sama mereka berbanding memenangi anugerah dan bergelar pelakon terkenal di serata dunia.