
Melihat kejayaan band-band yang sedia ada di negara ini, kumpulan baru yang menggelarkan diri mereka sebagai Broken Riffs ingin mencuba nasib dalam industri seni muzik tanah air. Kumpulan yang terdiri daripada empat anak muda yang berumur lingkungan awal 20an, Mohd Hazeer Junaibi (Joey)- vokalis, Nik Muhammad Adib Nik Zuraik ( Adib ) – gitar, Muhammad Safwan Muhammad Saleh ( One ) – bass, dan Mohamad Zulhilmi Yasni ( Zoe ) – drum, ini ditubuhkan setahun lalu. Dengan memperjuangkan lagu- lagu dari genre ‘grunge’, kumpulan ini kemudiannya beralih ke arah muzik jenis ‘modern rock’.
Pernah menyertai beberapa gig serta persembahan secara kecil-kecilan di sekitar Kula Lumpur, empat anak muda ini kemudiannya mengorak langkah dengan mencipta lagu mereka sendiri dan merakamkan lagu lagu mereka secara rakaman ‘live’ sebagai demo. Pada awal 2008 mereka telah membuat rakaman demo lima buah lagu di Sinar Studio. Rakaman mengambil masa yang singkat serta pengalaman di dunia rakaman yang cetek menghasilkan kualiti yang kurang memuaskan walaupun ianya sesuatu yang amat berharga sebagai permulaan.
Dari situ mereka ingin mencuba sekali lagi untuk membuat rakaman lagu-lagu mereka itu tetapi dengan lebih teliti lagi. Cuma dengan bajet mereka yang ada terlalu rendah mungkin menyukarkan hasrat mereka itu. Apabila disuarakan hasrat mereka itu kepada pengarah studio Sinar, Mus (bekas vokalis May) untuk membuat rakaman demo sekali lagi, lalu Mus terus menyatakan bahawa beliau amat berminat dengan konsep Broken Riffs dan ingin mengambil mereka sebagai artis rakaman Sinar Studio.
Dengan berbesar hati empat anak muda ini terus menerima pelawaan Mus itu walaupun mereka agak terkejut kerana mereka masih baru dan kurang pengalaman. Pun begitu Mus memberi mereka syarat iaitu beliau hanya akan mengambil mereka sebagai artis rakaman Sinar Studio sekiranya beliau berpuas hati dengan lagu lagu mereka serta kualiti dari hasil rakaman. Lalu Mus bertindak sebagai penerbit dan merakamkan lima buah lagu lagu mereka itu dengan satu lagu tambahan.
Hasil rakaman yang bermula dari awal Julai sehingga Ogos lalu itu memuaskan kedua-dua pihak dan Broken Riffs kini menandatangani kontrak sebagai artis rakaman yang bernaung dibawah Sinar Studio. Sebagai permulaan Sinar Studio akan cuba merangka pelbagai stategi agar nama Broken Riffs dikenali umum, dan seterusnya mengeluarkan lagu ‘single’ pertama mereka, Syurgamu dan album penuh pula bakal menyusul. Setakat ini, sudah ada beberapa lagu siap dirakam antaranya Buried Memories, Falling, Revenge dan Wanted.