
Fahrin, Scha mahu buang yang keruh, ambil yang jernih
DI lantai hati mereka, alun percintaan yang hampir setahun ditarikan bersama sudah tidak lagi senada. Namun di lantai hati khalayak, kepincangan irama yang pernah dulu dialunkan seiring masih belum bernoktah.
Masih ada persoalan yang belum dihuraikan sepenuhnya. Selagi tidak ditemui jawapan pasti, selama itu dua nama ini akan terus dihimpit persoalan serupa.
Saat persoalan itu kembali diajukan, cuma keluhan berat mampu dilepaskan Scha Al-Yahya dan Fahrin Ahmad. Apa daya mereka untuk menutup mulut orang luar daripada terus membicarakan episod cinta luka yang masih berbekas?

Perlahan kata Fahrin, detik ini bukan masa yang sesuai untuk dirinya sebagai lelaki yang matang memberikan kenyataan balas.
Akur meniti hidup sebagai selebriti membenarkan masyarakat untuk berkongsi segala suka dan duka mereka. Namun kata Fahrin, ada bahagian dalam dirinya yang mahu disimpan kemas tanpa perlu disentuh orang luar. Cukup hanya dirinya saja yang mengerti.
"Sebagai artis kami terdedah kepada sikap prejudis orang dan tanggapan buruk masyarakat. Khalayak bebas menilai, menuding jari tanpa usul periksa malah menghukum penuh kejam sedangkan akhirnya segala yang berlaku hanya Tuhan dan individu itu saja yang tahu. Ya! Saya dan Scha sudah berpisah.
"Tetapi perpisahan kami tidak sesekali membuka ruang untuk diburukkan atau diperbesarkan oleh orang lain," luah Fahrin dalam nada yang berat.
Mengumpul kekuatan untuk meneruskan bicara, jujur kata Fahrin, perpisahan dengan Scha memberi impak yang besar kepada dirinya.
Malah ujian yang sedang dilaluinya itu terlalu berat untuk ditempuhi namun Fahrin berusaha mengawal emosi. Dia tidak mahu disebabkan tekanan luar, isu perpisahan mereka berlarutan dan menjadi mengarut.

"Biar saja saya menutup mulut kerana lambat laun masa akan menjelaskan segala-galanya. Saya belajar untuk melihat semua yang terjadi dari sudut positif.
"Tiada penyesalan kerana hubungan kami dibina atas dasar keikhlasan. Dugaan perpisahan ini terlalu berat tetapi saya akur menerima ketentuan takdir.
"Sebagaimana cinta kami datang dengan ikhlas dan tanpa dipaksa, saya juga merelakan cinta itu pergi tanpa dipaksa. Biarlah perkara ini tenang sendiri," katanya.
Fahrin sentiasa berpegang kepada kenyataan, setiap kali ditimpa musibah jangan sesekali melatah atau berkeluh kesah. Sikap negatif itu hanya memburukkan lagi keadaan. Sebaliknya, jika individu itu reda dan percaya lambat laun sesuatu yang baik akan bertandang dalam kehidupannya.
"Semua momen indah dalam hidup kami akan disimpan menjadi kenangan. Tetapi apa yang saya tanggung dalam hati ini, biar hanya saya dan Tuhan saja yang mengerti," katanya.
Andai masih ada kesedihan atau kemarahan yang bersarang di sudut hatinya, semua itu akan dibuang tatkala dia dan Scha berdiri di lantai Sehati Berdansa bermula 24 Oktober ini.
Fahrin berkata, mereka berdua mempunyai tanggungjawab lebih besar yang perlu dilunaskan tanpa perlu terlalu memfokuskan kepada masalah peribadi.
Melihat Scha yang masih baru dalam bidang pengacaraan, Fahrin bersedia membantu Scha untuk meneraju program itu dengan berkesan.
"Saya sangat menghormati Sehati Berdansa. Apa pun terjadi antara kami, saya tetap menjunjung falsafah program untuk membentangkan sesuatu yang manis dan indah kepada khalayak.
"Saya tidak akan membiarkan Scha terkapai-kapai sendiri. Semua berharap sesuatu yang manis serta indah akan berlaku dalam Sehati Berdansa dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melaksanakan amanah besar itu dengan baik," katanya.
Hubungan dengan Awal mengarut!
SEGALA apa yang terjadi adalah suratan takdir yang harus ditempuhi Scha dengan reda. Sebagai manusia, Scha belajar untuk memaafkan serta melupakan episod sedih yang bertandang tatkala sedang membawa langkahnya menuju mercu kejayaan.
"Cuma Scha kasihan kepada diri sendiri kerana perpisahan ini terjadi ketika Sehati Berdansa baru hendak bermula. Dugaan perpisahan ini terlalu berat namun Scha perlu bangun untuk meneruskan langkah," katanya membuka bicara.
Memohon pengertian supaya isu perpisahan mereka tidak kembali disentuh, Scha berkata, keutamaannya kini adalah memandang hari depan tanpa perlu menyesali kehilangan sesuatu yang memang ditakdirkan bukan miliknya.
Cukup sudah segala kenyataan yang terbit daripada bibirnya selama ini. Scha berkata, dia harus meletakkan noktah supaya khalayak tidak lagi disuap cerita peribadi yang tidak membantu membangunkan karier seninya.
"Selama ini Scha cuma menjadi jujur. Pada pandangan Scha, perkara yang benar mengapa perlu disembunyi atau diputar belitkan.
"Tetapi apabila terlalu banyak memberi kenyataan, tanpa Scha sangka ia sebenarnya memakan diri. Cukuplah! Jangan diberatkan lagi fikiran Scha.
"Sampai hari ini Scha masih kusut memikirkan bagaimana mahu mengawal isu ini supaya tidak berlarutan dan terus diperkatakan," katanya.
Gelora kehidupan peribadi Scha bagaikan tidak surut apabila tanpa diundang bertiup khabar dia menjalin hubungan akrab dengan pelakon dan pengacara, Awal Ashaari.
Saat diajukan persoalan itu, dia yang sedang popular dengan drama bersiri Awan Dania menyatakan kekesalannya terhadap tuduhan melulu itu.
Tegas Scha menolak kehadiran Awal sebagai faktor utama keretakan hubungannya dengan Fahrin.
"Mengarut!," tingkah Scha pantas namun turut menjelaskan dia pernah keluar bersama dengan pelakon Syurga Cinta itu.
Tetapi kami tidak keluar berdua, sebaliknya ditemani beberapa pelakon lain. Scha pelik kenapa hanya nama kami berdua yang dikaitkan?
"Janganlah Scha terus ditekan. Berikan Scha ruang untuk meleraikan kekusutan ini kerana Scha sendiri sedih dengan apa yang berlaku.
"Tak usahlah berusaha menampakkan sudut buruk perpisahan kami," pinta Scha.
Mengakui resah untuk memulakan siaran Sehati Berdansa, Scha berkata, tanggungjawab sebagai pengacara program popular itu terlalu berat untuk dilaksanakan.
Memikirkan dirinya yang masih mentah dalam dunia pengacaraan, Scha berjanji untuk berusaha keras memberikan persembahan terbaik.
"Risiko mengendalikan program ini cukup besar apatah lagi sebelum ini tanggungjawab itu disempurnakan oleh dua pengacara yang begitu berpengalaman iaitu Fahrin dan Linda Onn.
"Siapa yang tidak takut namun Scha harus berani mengambil cabaran ini. Scha tahu Scha tidak boleh hanya terlalu mengharapkan Fahrin untuk memberi segala input.
"Mahu atau tidak Scha perlu berusaha sendiri untuk memberikan persembahan seiring dengan kualiti yang diberikan Fahrin. Berat untuk disempurnakan tetapi Scha percaya sokongan semua pihak akan memudahkan perjalanan Scha nanti," katanya.
INFO: Scha:
•NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
•TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
•ASAL: Sungai Petani, Kedah
•DARAH CAMPURAN: Ayah (Arab) dan ibu (Cina)
•KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
•PENDIDIKAN: Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam
•PENCAPAIAN: Dewi Remaja 2006/2007
•FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Dimensi Cinta, Libas dan Adik Manja Returns
•DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu dan Awan Dania 2
•PENGACARAAN: Sehati Sejiwa dan Astro On Demand
•KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
•DUTA: Bio Essence
INFO: Fahrin Ahmad
•NAMA PENUH: Fahrin Ahmad
•TARIKH LAHIR: 9 Mei 1979
•USIA: 30 tahun
•ASAL: Johor Bahru, Johor
•KERJAYA: Pelakon, Pengacara, Model
•FILEM: Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Dimensi Cinta, Cicakman 2: Planet Hitam, 9 September, Puaka Tebing Biru, Pesona Non Grata dan Qaisy Dan Laila.