

Terkejut Ajai utus tahniah
MUNGKIN kerana sudah terlalu selesa, setiap cerita yang menerpa pendengarannya pasti dikongsi Nurul penuh teruja bersama media yang akrab dengannya.
Sebahagian mereka sudah dianggap Nurul seperti sahabat, tempat untuk dia mencurah suka duka malah berkongsi kesedihan tatkala dirinya didatangi dugaan berat.
Tiada sempadan kerana media di mata pemilik nama, Noorul Huda Abdul Wahab ini adalah tenaga penggerak yang memacu perjalanan hidupnya.
Ada ketika pertemuan singkat akan berlarutan hingga lewat malam lantaran keramahan Nurul yang membuatkan teman media senang di sisinya.
“Pagi tadi ada satu cerita lucu,” luah Nurul sebagai pengalas bicara, disulami tawa panjang yang sekali gus membangkitkan tanda tanya pada pertemuan, baru-baru ini.
“Ajai (bekas suami) menelefon mengucapkan tahniah. Dia mendapat berita saya menikahi kerabat dari Utara. Teruja benar Ajai sedangkan apa yang didengarnya itu menyimpang jauh daripada kebenaran,” bicara Nurul.
Sambil melepaskan keluhan kecil, sambung Nurul, sejak kembali solo apabila perkahwinan sedekad dengan Ajai diakhiri perpisahan, dirinya tidak putus diasak dugaan.
Bagai tiada ruang untuk bernafas, kehidupan peribadi ibu tunggal berusia 32 tahun itu sentiasa diintai media. Ada kalanya dia sendiri lemas dengan situasi itu.
“Saya tidak pernah menolak jodoh. Bahkan saya sudah bersedia untuk kembali berumahtangga andai ditakdirkan jodoh saya sampai,” katanya.
Cuma kata wanita yang dilahirkan pada 27 Julai 1977 itu, kegagalan rumah tangga pertama yang didirikan pada usia 18 tahun membuatkan dia lebih berhati-hati.
Bukan terlalu memilih atau cerewet, Nurul sebaliknya bimbang tidak mampu memenuhi harapan tinggi mereka yang ingin melihat dirinya kembali diulit bahagia.
Nurul berkata, hampir kesemua teman rapat serta peminat berharap dia segera dipertemukan dengan seseorang yang dapat menerima kelebihan serta kekurangannya.
Cuma hati kecilnya masih belum terbuka untuk memulakan langkah baru selagi apa yang dicita-citakan belum menjadi kenyataan.
“Saya tidak boleh mendesak hati untuk menerima sesiapa yang hadir hanya kerana mengikut kehendak orang. Saya sudah pernah lalui fasa itu (perkahwinan). Banyak yang saya kutip daripada pengalaman lalu.
“Memikirkan harapan tinggi mereka yang akrab membuatkan saya takut. Bimbang kesempurnaan yang dicari tidak ditemui, sudahnya hati saya hancur sekali lagi kerana dikecewakan,” katanya.
Ketika ini, kata Nurul, dia harus berani mempertahankan diri untuk meletakkan tanda noktah supaya isu peribadinya tidak terus diperdebatkan media.
Ibu kepada Ayu Nazirah, 12, ini tidak mahu jika terus melayan persoalan remeh itu akan memperlahankan karier seninya, lantas membuat peminat lupa kerja kerasnya untuk membina nama.
Akui Nurul, cinta terhadap karier yang serius diceburinya sejak 15 tahun lalu masih belum terhakis. Biar ditelan gelombang, meskipun nanti ada pengorbanan yang perlu dilakukan, Nurul setia memilih bidang seni.
“Nyanyian dan lakonan adalah jiwa saya. Disebabkan itu, saya tidak mahu kisah peribadi terus didedah tatkala saya serius menggerakkan karier seni.
“Saya bimbang kerana perkara remeh ini akan mengganggu tumpuan terhadap promosi album baru. Jika boleh dielakkan, saya akan mengelak.
“Mulut manusia saya tidak boleh tutup. Saban hari ada saja andaian yang keluar tetapi saya kuatkan semangat untuk tidak mempedulikannya.
“Saya anggap semua itu sebagai usikan yang cuba menguji ketenangan diri. Jika saya melatah, mereka akan bertepuk tangan. Jadi biarkan saja kerana perlahan-lahan usikan itu akan berlalu pergi,” katanya.
Kecewa Tika Cinta tidak diputarkan
ALBUM solo terbarunya, Tika Cinta sudah lebih sebulan dipasarkan. Namun terselit sedikit kekecewaan apabila sehingga ini, lagu yang dimuatkan belum mendapat putaran radio.
Awalnya kata Nurul, dia belajar untuk menerima kenyataan produksi yang direalisasikan menerusi Metadome Sdn Bhd itu memerlukan masa untuk diterima.
Bagaimanapun, selepas selepas hampir dua bulan menanti namun single pertamanya, Tika Cinta masih belum diputarkan radio, dia keliru.
Nurul bingung apakah produk yang menampilkan sentuhan komposer hebat antaranya Sharon Paul, Tam Spider dan M Nasir tidak memenuhi piawaian stesen radio hingga kehadirannya dipandang sepi.
“Saya terima kenyataan stesen radio mempunyai senarai panjang lagu yang masih belum diputarkan. Cuma saya tertanya di mana silapnya hingga proses pemilihan mengambil masa terlalu panjang.
“Bukan saya mahu menuding jari menyalahkan pihak lain tetapi berikan kami - artis tempatan keadilan untuk mencari makan di negara sendiri.
“Saya cuma mahukan keadilan. Seandainya kita sendiri tidak menghargai produk tempatan siapa lagi yang akan memandang,” tanya Nurul.
Dalam menelan kenyataan pahit itu, Nurul bersyukur kerana media cetak serta forum di internet banyak membantu menyalurkan informasi berkaitan kelahiran album itu kepada peminatnya.
Nurul bagaimanapun akur, itu saja tidak memadai untuk mengalihkan perhatian peminat supaya menilai persembahan terbarunya.
“Radio masih memainkan peranan besar untuk mempromosikan sesebuah lagu. Tanpanya rangka promosi sesebuah produk itu tidak akan lengkap.
“Saya masih boleh mencari makan dengan persembahan pentas. Tetapi bagaimana dengan label yang mengeluarkan peruntukan besar untuk menghasilkan sesebuah produk?
“Mereka perlukan pulangan untuk meneruskan bisnes. Jika peluang mereka disekat, sukar untuk kita melihat industri muzik tempatan berkembang.
“Saya tidak salahkan penggemar jika mereka beralih kepada produk luar kerana industri muzik tempatan tidak memberikan mereka pilihan gara-gara kerenah segelintir pihak yang mempunyai kuasa,” katanya.
Sebagai penyanyi yang sudah lebih sedekad menekuni industri hiburan, Nurul berkata, dia berhak untuk bersuara kerana pembikinan album menuntut waktu yang bukan sedikit.
Jujur kata Nurul, perkara berkaitan kreativiti dan cita rasa tidak boleh dipaksa kerana itu hak individu. Namun, sebagai seorang yang mementingkan kualiti, Nurul percaya Tika Cinta menyajikan sebuah produksi yang komersial dan mesra pendengar.
“Saya bukan mahu mengajar stesen radio atau merungut, cuma berharap mereka mempertimbangkan perkara supaya tiada pihak yang teraniaya.
“Perkara ini sewajarnya diimbangi kerana antara kita saling memerlukan. Cuma itu yang saya harapkan,” katanya yang turut aktif dalam dunia lakonan.