
FAHRIN dan Scha akan mengendalikan program Sehati Berdansa musim ketiga.
MAKIN panas juga cerita perpisahan Scha Alyahya dan Fahrin Ahmad apabila ramai rakan wartawan yang cuba mengorek kembali kenapa begitu kesudahannya. Cik Normah sendiri tidak sangka putus juga akhirnya mereka.
Nampak gayanya apa yang terjadi kepada Linda Onn akhirnya berlaku juga kepada Scha. Harapnya apa yang pernah terjadi ketika program Sehati Berdansa musim kedua antara Fahrin dan Linda tidak akan lagi berulang untuk musim ketiga ini. Cik Normah faham perasaan Scha ketika ini dan harap artis berasal dari Sungai Petani ini tidak akan melatah.
Sebaiknya, Scha perlu menggunakan pendekatan psikologi yang sering digunakan Fahrin untuk berdiam diri. Kalau terlalu kerap memberi kenyataan, nescaya masyarakat akan melihat yang berdiam diri itu lebih ‘baik’. Cik Normah rumuskan ini berdasarkan pengalaman.
Tetapi Cik Normah mengerti sikap manusia ini ada kalanya begitu sukar untuk difahami. Lumrah hidup, kadang-kadang kita tak sampai hati membiarkan wartawan pulang tanpa mendapat sebarang kenyataan. Namun, ketika ini Cik Normah yakin Scha juga akan bersetuju untuk tidak lagi memberi kenyataan bimbang melarat pula.
Baik Scha mahupun Fahrin mereka perlu memastikan profesionalisme yang datang dulu apatah lagi tugasan mengacarakan Sehati Berdansa musim ketiga akan muncul tak lama lagi. Tapi biasalah, kalau dah namanya manusia, emosi marah, geram atau tidak puas hati itu pasti akan ada. Tapi makan pengat sendiri mahu ingatlah.
Ada kawan Cik Normah beritahu, kesilapan terbesar Scha ialah terpaut sayang kepada Fahrin. Umum tahu, tanpa Fahrin pun sebenarnya Scha boleh pergi lebih jauh di dalam industri ini. Tapi apakan daya, sebagai manusia biasa, kita tidak mampu menyekat perasaan yang hadir.
Cik Normah sebenarnya senang melihat Fahrin dan Scha bermadu kasih. Tapi takdir sudah jelas memisahkan mereka. Yang penting sekarang ialah untuk memikirkan soal ke depan tanpa berpaling lagi ke belakang. Kalau tak sebulu pun kenalah pura-pura sebulu di depan kamera walaupun mata tidak mampu menipu sebenarnya.
Ala... lagipun industri hiburan tempatan kecil saja saiznya. Balik-balik muka yang sama juga kita akan berselisih bahu. Cik Normah harap Scha dan Fahrin mampu merealisasikan mandatnya sebagai pengacara program Sehati Berdansa musim ketiga ini.
