Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ikon fesyen tak bernyawa


Apakah faktor ‘X’ menyebabkan Barbie, patung permainan yang tidak bernyawa itu mempengaruhi ramai gadis di seluruh dunia?

"Seronoknya kalau cantik seperti Barbie. Sudahlah memiliki wajah yang menawan, pakaian yang digayakan pula sentiasa cantik dan bergaya. Sejak kecil lagi aku menyimpan angan-angan untuk menjadi seperti Barbie," ungkapnya ringkas sehingga mengundang gelak tawa kami.

Tidak menyangka sama sekali teman penulis itu menjadikan Barbie sebagai ikon fesyen walaupun sudah menginjak usia 25 tahun. Paling mengejutkan patung permainan yang tidak bernyawa itu mempengaruhinya berbanding barisan model mahupun selebriti jelita yang sedia ada.

Tumpuan pereka fesyen

Itulah kehebatan Barbie. Ternyata usianya yang sudah 50 tahun bukan penghalang untuk terus gah di pasaran tempatan dan antarabangsa. Wajahnya masih jelita, rambutnya masih ikal dan panjang mengurai. Tubuh badannya tetap langsing dan berpotongan menarik.

Dengan sepasang kaki yang panjang, glamor dek kilauan merah jambu di kelopak mata dan bibir khususnya, antara faktor yang membuatkan Barbie menjadi kegilaan gadis di seluruh dunia.

Lebih mengujakan himpunan busana yang digayakan sering menjadi perhatian pereka fesyen dan golongan wanita di seluruh dunia. Tidak kira sama ada gaun perkahwinan, dres labuh, sut pejabat, baju kasual atau pakaian sukan semuanya menjadi ikutan.

Jadi, tidak perlu dipertikaikan mengapa Barbie yang dilahirkan pada 9 Mac 1959 oleh Ruth Handler itu diiktiraf sebagai salah satu ikon fesyen.

Dek kerana kerap menjadi contoh kepada kanak-kanak dan golongan wanita, saban tahun Barbie setinggi 29 sentimeter akan tampil dengan koleksi fesyen terbaru mengikut konsep dan tema.

Dalam pada itu, menyedari pengaruh fesyen dan kecantikan Barbie terlalu kuat, banyak pihak menganjurkan pertunjukan fesyen Barbie. Barisan model yang dipertanggungjawabkan bukan sahaja mempamerkan koleksi busana Barbie yang comel dan stailo malah rambut dan wajah mereka turut dirias bak Barbie.

Selain negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang obses menganjurkan minggu fesyen Barbie, negara India turut didapati mengambil langkah yang sama dengan menganjurkan Minggu Fesyen Barbie Lakme 2009. Ia diadakan sempena meraikan ulang tahun Barbie ke-50 tahun.

Barbie penyeri pentas

Istimewanya mengenai pertunjukan fesyen tersebut, pelakon Bollywood Katrina Kaif turut ditampilkan sebagai Barbie bagi menyerikan acara. Para tetamu yang hadir bagaikan tidak sabar menanti untuk melihat bagaimana penampilan Katrina yang mengalami transisi seperti Barbie.

"Ia suatu pengalaman yang benar-benar mengujakan. Siapa yang tidak ingin kelihatan cantik dan bergaya bak Barbie. Bagi saya Barbie bukan sekadar patung permainan tetapi ia merupakan ikon fesyen yang terunggul dan paling cantik," ujar Katrina ketika ditemu bual oleh kumpulan media di India sebaik sahaja selesai memperagakan fesyen Barbie.
Solekan

Pada acara tersebut, Katrina yang memiliki darah campuran India dan Inggeris memakai gaun kembang mini rona merah jambu. Di samping reben besar yang diikat di bahagian belakang badan, rambutnya diikat dan dihiasi mahkota indah.

Sementara itu, ikutan fesyen Barbie tidak hanya pada busana malah solekan kelopak mata dan bibirnya turut menjadi tumpuan. Secara tidak langsung kejelitaan yang dipamerkan oleh Barbie telah memberi ilham kepada jenama kosmetik M.A.C dengan menghasilkan koleksi alat solek Barbie Loves M.A.C.

Koleksi tersebut banyak menggunakan rona musim bunga seperti merah jambu, kuning mentega dan hijau. -IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Solekan
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails