
Sejak dikenali di Akademi Fantasia 7, Khairil Azam Pilus atau Aril mula menjadi perhatian ramai. Bukan sahaja kerana bakat yang dimiliki, tetapi penampilannya yang sering mengikut trend membuatkan golongan remaja mula mengikutinya.
Melihat kepada penampilannya, Aril lebih gemar bergaya mengikut trend fesyen Jepun. Aspek yang paling diutamakan dalam penampilannya ialah rambut dan kasut.
Menurutnya, kegilaannya terhadap fesyen Jepun tercetus apabila melihat vokalis kumpulan L'Arc-en-Ciel, Hyde berfesyen.
"Apa yang saya suka tentang fesyen Jepun ini, mereka bergaya sesuka hati dan penampilan mereka tetap menarik. Saya juga banyak mengambil inspirasi penggayaan rambut daripada Hyde.
"Buat masa ini, fesyen saya mudah. Saya suka seluar tirus dan kasut potongan tinggi (high cut). Baju pula, saya selesa dengan kemeja T yang bercorak menarik. Tapi banyak juga pakaian yang saya padan dan suai.
"Apa-apa pun, keutamaan saya dalam penampilan ialah kasut dan rambut. Bagi saya, dua perkara ini memainkan peranan yang besar untuk bergaya," katanya.

Tambah Aril, selain kasut-kasut biasa yang dipakainya, dia turut mempunyai 15 pasang koleksi kasut edisi terhad daripada pelbagai jenama.
Malah, penyanyi berusia 24 tahun ini sanggup menghabiskan wang sebanyak RM1,000 untuk membeli kasut kesukaannya.
Memandangkan wangnya banyak dihabiskan pada kasut, oleh itu Aril bijak berbelanja dengan membeli seluar dan baju dengan harga yang berpatutan.

Bagaimanapun, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui, ada juga masa-masa yang sukar untuk dirinya berfesyen. Sehinggakan setiap pakaian yang dipakai terasa tidak kena.
"Saya akan menjadi buntu dalam berfesyen apabila muka mula naik jerawat, ia mengganggu penampilan saya. Walaupun rambut dah set elok, saya rasa rimas.
"Adakala pula, saya rasa pakaian saya serba tidak kena, walaupun pada pandangan orang lain, penampilan saya nampak elok. Kita akan berasa kurang selesa apabila fesyen yang digayakan seperti tidak sesuai dengan diri," ujarnya yang sering bergaya dengan beg silang yang diisi baju jaket di dalamnya.