
Mawi sempat nikmati saat romantis bersama Ekin sepanjang jelajah Hong Kong untuk program travelogue Langkah Mawi... World musim kedua
TIADA bahasa dapat diungkapkan, tiada kata dapat diluahkan, hanya kegembiraan terpancar pada wajah pasangan sehati sejiwa, Mawi dan Ekin apabila menikmati bulan madu sekali lagi. Bagi mereka, bulan madu menjadi detik paling indah untuk dikenang, semuanya manis belaka biarpun perlu bekerja ketika menikmati bulan madu.
Walaupun agak kepenatan dengan atur cara yang padat, Raja SMS itu masih mampu tersenyum, tetap membuat lawak ketika menghabiskan penggambaran program travelogue, Langkah Mawi... World musim kedua selama enam hari di Hong Kong, minggu lalu.
Itulah Mawi! Bagi yang mengenalinya secara dekat, Mawi, seorang yang suka berjenaka, ada kala gemar membuat mimik muka lucu, ditambah lagi dengan kehadiran jurusolek terkenal, Tona Nordin, makin menjadi-jadi usik mengusik mereka. Keadaan lesu dan bosan jadi ceria, ada saja cerita yang dijadikan bahan menggeletek hati.

Tentunya Mawi tidak berseorangan kerana si cantik jelita, Nor'ashikin Rahmat atau Ekin setia menemaninya. Jika sebelum ini, pasangan suami isteri itu menjelajah Melbourne, Australia untuk penggambaran lima episod Langkah Mawi... World 2, diikuti Sri Lanka (tiga episod) dan seterusnya juara Akademi Fantasia 3 itu meneroka dan menikmati bulan madu di kota fantasi, Hong Kong, Kowloon dan Lantau Island untuk episod selebihnya.
Program travelogue sebanyak 13 episod itu diarahkan pengarah terkenal, Rahila Ali dan diterbitkan syarikat penerbitan Mawi sendiri, MW Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Astro dan Hong Kong Tourism Board untuk siaran Astro Ria. Ia dijangka menemui penonton penghujung tahun ini.
Selain penulis, Mawi, Ekin, Rahila dan Tona Nordin, kru penerbitan yang menjayakan penggambaran kali ini turut disertai oleh Sheh Rahman Ali (Penolong Pengarah), Mohd Razif Kamal (Jurukamera), Mansor Taib (Jurukamera), Mohd Nasir Ismail (Pengurus Mawi dan Ekin), Cindy Tam dan Rainbow Wong (wakil Hong Kong Tourism Board).
Secara jujur, Mawi akui, "Jiwa saya tenang ketika bersama isteri. Dulu saya berseorangan ketika ke luar negara, kini situasinya berbeza apabila ada isteri di sisi. Janggal rasanya apabila berseorangan tanpa Ekin.
"Saya rasa hidup lebih terisi dengan adanya seseorang insan yang istimewa di hati. Saya bukanlah seorang yang suka merayap. Kehidupan saya pula hanya bekerja dan banyak menghabiskan masa di rumah jika mempunyai masa terluang, jadi sesekali apabila berpeluang ke luar negara, saya mahu menikmatinya bersama Ekin.
"Saya bersyukur program Langkah Mawi... World musim kedua banyak memberi peluang dan ruang kepada saya dan Ekin mengecapi nikmat bulan madu di tempat istimewa yang tidak pernah dilawati. Selepas Melbourne, Australia, kami yang pertama kali menyambut Ramadan bersama sebagai suami isteri berpuasa di Sri Langka. Masih lagi dalam bulan Syawal, kami ke Hong Kong pula untuk menghabiskan Langkah Mawi... World musim kedua.
"Tiga negara, tiga suasana berbeza yang dapat dirasakan. Paling seronok, saya dapat membuat kejutan pada Ekin di setiap lokasi berbeza. Saya gembira melihat isteri saya terkedu, hampir menitiskan air mata dan ketawa riang dengan kejutan-kejutan yang dilakukan.
"Paling seronok apabila saya dan Ekin menikmati udara segar atas feri di Victoria Harbour sambil menyaksikan pemandangan kota Hong Kong dan Kowloon yang dilimpahi cahaya pada waktu malam. Memang romantis habis! Saya dapat rasakan Hong Kong sesuai untuk pasangan yang mahu menikmati bulan madu, banyak tempat istimewa yang boleh dikunjungi. Lagipun tidak susah mahu mencari makanan, banyak restoran halal di sini.
"Dulu mungkin susah untuk pelancong beragama Islam mencari makanan halal, tetapi kini, tidak lagi. Banyak pilihan makanan halal sama ada makanan Indonesia, Arab atau Cina. Saya sempat menikmati hidangan lazat di beberapa restoran termasuklah Restoran Habibi, Jashan Celebrating Indian Cuisine, Olive, Greek & Middle Eastern, Islam Food, Ebeneezer's Kebab, Warung Malang dan Ziafat Restaurant sepanjang enam hari berada di Hong Kong," katanya.
Bagi Ekin, dia tidak sukakan kejutan kerana hatinya tidak tenteram tetapi ketika di Hong Kong, kejutan demi kejutan dilakukan suaminya. Antara yang tidak dapat dilupakan apabila Mawi membawanya ke Disneyland Hong Kong di Lantau Island. Bukan saja dapat menginap di Hotel Disneyland yang mengadap persisiran pantai, malah turut dibawa bersiar-siar di taman tema. Teruja apabila dapat bertemu Mickey dan Mini Mouse.
"Disneyland, antara tempat yang mesti dikunjungi jika ke Hong Kong. Dibuka pada 2005, Hong Kong Disneyland Resort dibina oleh kerajaan Hong Kong dan The Walt Disney Company atas kawasan seluas 320 ekar di Lantau Island.
"Selain taman tema, pusat hiburan dan restoran, terdapat juga dua hotel, Hotel Disneyland dan Hotel Disney’s Hollywood. Menarik mengenai Hotel Disneyland, hiasan dalaman berkonsepkan zaman Victoria. Saya berasa seperti dalam istana sebaik melangkah masuk ke hotel ini. Paling saya terkejut, Mawi sudah siap menyusun bunga rose berbentuk `love' di atas katil. Kami juga menikmati hi-tea istimewa di Hotel Disneyland yang mengadap laut.
"Saya tak mengharapkan semua ini, saya ikhlas untuk hidup bersama Mawi. Saya melihat Mawi seorang yang cukup tabah menangani kemelut hidup, biar apapun orang luar mengata dan menabur fitnah pada saya dan keluarga, Mawi tetap di sisi saya. Hanya satu doa saya, semoga kami dikurniakan cahaya mata secepat mungkin. Bukan tidak berusaha, sejak keguguran awal tahun ini, kami belum ada rezeki.
"Kami memang impikan hilai tawa dan tangisan anak, maklumlah kami tinggal berdua di rumah, ada kalanya terasa sunyi. Bagaimanapun, saya percaya kita hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan," kata Ekin yang semakin jelita dan berseri-seri.
CORAT-CORET:
Pengembaraan Mawi dan Ekin bermula apabila dibawa menaiki tram ke The Peak. Tram itu antara cara terbaik untuk menikmati keindahan Hong Kong. Buktinya? Jutaan manusia dari segenap pelosok dunia menaiki tram sejak ia mula beroperasi lebih 120 tahun lalu. Setibanya di puncak, pelbagai aktiviti menarik menanti termasuk melihat seluruh wilayah Hong Kong dan Kowloon. Luas mata memandang.
Mawi tidak ketinggalan mengunjungi Muzium Madame Tussauds. Ia bukan saja berada di London, New York, Las Vegas, Amsterdam, Shanghai, Washington DC dan Berlin tapi muzium yang serupa juga terdapat di Hong Kong. Dibuka pada 2000, patung-patung lilinnya lebih tertumpu kepada artis Asia, Hollywood, selebriti sukan dan pemimpin terkenal dunia.
Sebut siapa saja, Michalle Jackson, Angelina Jolie, Brad Pitt, Nicole Kidman, Johnny Depp, Marilyn Monroe, Michelle Yeoh, Aaron Kwok, Jackie Chan, Bruce Lee, Andy Lau, Leon Lai, Tiger Woods, David Beckam dan Ronaldinho, semuanya ada. Paling seronok melihat Mawi cemburu apabila Ekin begitu teruja melihat patung lilin bintang Winter Sonata, Bae Yong Joon yang digilai ramai. Malangnya Yong Joon kini menderita sakit kanser darah.
Lebih mencabar Mawi, Ekin dan kru penerbitan dibawa masuk ke ruang pameran Scream yang gelap, bukan hanya pameran aksi menyeramkan menunggu, malah patung seram dan hantu-hantu juga menakutkan. Nampaknya Mawi bukanlah seorang yang berani, kedengaran suaranya riuh bertempik akibat terkejut dengan hantu-hantu yang tiba-tiba muncul, sedangkan Ekin hanya tersenyum.
Selain itu, Mawi dan Ekin teruja dengan warisan budaya Hong Kong yang terkenal di persada antarabangsa iaitu seni mempertahankan diri, kung fu. Terdapat puluhan ribu gaya kungfu dan kebanyakannya mempunyai hubung kait dengan Shaolin iaitu koleksi seni mempertahankan diri China yang bermula di biara Shaolin. Mawi dibawa ke Hong Kong Shaolin Wushu Culture Centre untuk mempelajari seni mempertahankan diri dari Master Wong. Boleh tahan juga aksi Mawi, mudah dilentur.
Sebut Hong Kong, tentu perkara pertama di fikiran adalah shopping! Ya… Hong Kong terkenal dengan pusat membeli-belah yang tumbuh bagai cendawan. Salah satu pusat membeli-belah popular ialah Langham Place dan bertaraf lima bintang. Menariknya, pusat beli-belah ini mempunyai tangga bergerak (escalator) yang panjang. Bayangkan escalator yang membawa anda dari tingkat satu hingga empat, tingkat empat hingga lapan, memang gayat!
Terletak di Mong Kok, Kowloon, ternyata Langham Place bukan calang-calang pusat membeli-belah. Walaupun serba moden dan canggih, ia bukan seperti kompleks biasa yang didapati di negara Barat. Kawasannya seluas 60,000 meter persegi diukur secara vertikal dan merangkumi 15 tingkat, Langham Place adalah `mall vertikal' (tegak lurus) yang kedua di Hong Kong.
Mawi dan Ekin sempat juga mengunjungi sebuah lagi pusat membeli-belah terkemuka, Element Mall yang terletak di Tsim Sha Tsui, bandar Kowloon. Menariknya, ia terletak di atas stesen MTR Kowloon. Ia dibahagikan kepada lima zon berdasarkan konsep lima elemen alam – kayu, api, tanah, logam dan air. Setiap zon direka berdasarkan konsep elemen itu. Mawi juga menunaikan permintaan Ekin untuk bermain ice skating di situ.
Selain itu, Mawi juga diberi peluang mempelajari alat muzik tradisional Cina, Guqin dan Erhu ketika mengunjungi Jockey Club Creative Arts Centre. Memang lena diulit mimpi mendengar lagu-lagu yang dimainkan. Pengembaraan Mawi tidak terhenti di sini, banyak lagi tempat menarik yang dilawati dan menjadi paparan pada minggu depan.