Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jin Notti bukan komedi kosong



APABILA menyedari inti pati manusia semakin hilang arah dan pada masa sama saling menuding jari kepada orang lain atas kesilapan sendiri, justeru skuad jin melihat manusia sudah semakin nakal berbanding diri mereka. Akhirnya jin dihantar ke bumi untuk menyesatkan lagi umat manusia. Elemen ini digarap kemas pengarah muda, Azhari Zain menerusi buah tangan pertamanya, Jin Notti yang bakal menggegar pawagam mulai 20 September ini sebagai hidangan tambahan pada musim Aidilfitri akan datang.

Jin Notti juga memperlihatkan gandingan pertama Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi beraksi di layar lebar di samping personaliti TV dan radio popular, Fara Fauzana. Jin baik yang dikenali sebagai Notti (lakonan Fara Fauzana) turun ke bumi dan bermulalah episod Notti yang meresap ke dalam tubuh manusia yang jahat, sekali gus mengawal darjah kejahatan manusia.

Fara diberi tanggung jawab menjayakan lima watak sekali gus iaitu sebagai Notti, Evon (gangster), Sharifah (peguam), Ruby (budak punk) dan Mimie sebagai kekasih Mawi. Gandingan Mawi dan Fara mewujudkan keserasian antara mereka dan lebih menakjubkan kedua-duanya mempunyai aura tersendiri.

Pun begitu, sebagai filem pertamanya, Azhari atau Zack mengakui ada sedikit kelemahan dan kelonggaran yang harus diperbaikinya pada masa depan. Dia sebenarnya sedang belajar menghalusi bagaimana menyampaikan cerita menerusi visual supaya penonton terhibur. Faktor penceritaan harus diperkemaskan lagi.

Cerita yang mantap, tapi jika disuntik dengan momentum yang lebih berkesan, penonton akan lebih ‘bernafas’ dengan Jin Notti dan elemen fantasinya akan kekal lebih lama dalam ingatan orang ramai. Zack mengharapkan menerusi filemnya yang akan datang, ceritanya akan lebih dekat di jiwa penonton. Setakat ini, selepas Jin Notti, Zack sudah menghasilkan dua filem, Santau dan yang terbaru, Zoo.

“Saya sangat bersyukur dengan penghasilan Jin Notti dan kepercayaan adik beradik KRU dengan keupayaan saya. Pastinya saya mengharapkan filem pertama arahan saya ini bakal mencipta kutipan box-office di pawagam menjelang musim Aidilfitri akan datang. Jin Notti diharapkan bukan sekadar membawa pulangan lumayan kepada KRU, sebaliknya setiap inti pati mesej akan berjaya diserap oleh jiwa penonton,” kata Zack.

Justeru, bagi penonton, meskipun ia mungkin dilihat sebagai sebuah komedi merapu dan fantasi tetapi olahan dan naratif filem ini tetap mempunyai makna dan maksud tersirat serta tersurat, atau lebih mudah diangap ia tetap menyampaikan pesanan berguna kepada penonton.

Pertama kali bekerja dengan Mawi, Zack mengakui sekalipun Mawi satu nama besar dalam industri hiburan tempatan, dia seorang bintang yang begitu merendah diri dan seseorang yang amat menghormati orang lain. Kata Zack, bakat lakonan Mawi mampu membawanya melangkah lebih jauh. Mawi mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri apabila semua aksi lagak ngeri yang membabitkan wataknya, dia sendiri akan menjayakannya!

“Saya merancang untuk menghasilkan filem perang dan Mawi sudah berada di ingatan saya untuk memegang salah satu watak utamanya,” jelas Zack lagi.

Mengenai pembabitan Fara pula, Zack mengakui sekalipun Fara harus menjayakan lima watak, namun dia cepat menjiwai wataknya. Zack masih menyimpan impian untuk menggandingkan Mawi dan Fara menerusi filemnya yang akan datang kerana kesungguhan yang ditunjukkan kedua-dua bintang popular itu kepada Jin Notti amat luar biasa!

Info

FILEM: Jin Notti

PENGARAH: Azhari Zain (Zack)

SKRIP: Azhari Zain (Zack)

PRODUKSI: KRU Studios

PRODUSER: Norman Abdul Halim

GENRE: Komedi fantasi

PELAKON: Mawi, Fara Fauzana, Cat Farish, Bob Lokman, Adibah Nor, Acapan dan Aziz M Osman

PENGARAH FOTOGRAFI: Filus Ghazali

BAJET: RM1.8 juta

LOKASI PENGGAMBARAN: Putrajaya dan Kuala Lumpur

TEMPOH PENGGAMBARAN: 20 hari

MASUK PAWAGAM: 20 September 2009
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails