
Walaupun nenek tersayang telah meninggal dunia setahun yang lalu, Burn masih terkenangkan masakan istimewa ayam vindaloo yang dimasak oleh nenek pada setiap kali sambutan Deepavali.
BURN dipelihara oleh nenek sejak dia berusia sebulan selepas ibu dan bapanya bercerai.
"SAYA penganut Kristian, bukan Hindu. Sebab itulah saya tidak menyambut Deepavali," beritahu Burn sebelum sesi fotografi dimulakan.
Ketika diminta mengulas mengapa dia mengeluarkan kenyataan tersebut, rupa-rupanya penyampai radio Era itu ingin membetulkan sangkaan orang ramai yang selama ini menyangka dia menyambut Deepavali.
Sedangkan sejak kecil lagi, Burn atau nama penuhnya Rueben Thevandran Ramanath hanya meraikan perayaan Krismas.
Justeru, apabila Burn menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pendengar setia radio Era yang mengucapkan selamat Deepavali kepadanya, dia pada mulanya berasa agak tertekan.
Sungguhpun begitu, dia tidak menyalahkan pendengar. Sebaliknya berterima kasih kerana sudi melayangkan ucapan.
"Ramai yang salah sangka. Barangkali kerana saya berbangsa India, mereka mengaitkan saya dengan perayaan Deepavali. Tetapi perlu diketahui bahawa orang India tidak semestinya meraikan Deepavali. Ia bergantung pada agama yang mereka anuti. Biarpun tidak menyambutnya, saya tetap meraikan perayaan pesta cahaya itu.
"Ini kerana keluarga dan saudara-mara sebelah bapa menyambut Deepavali. Jadi, setiap petang Deepavali, saya akan meluangkan masa berkunjung ke rumah nenek di Petaling Jaya bagi memeriahkan suasana.
"Pada waktu itu, saya berpeluang bergembira bersama sanak saudara dan menjamu selera," ujar Burn yang mula dikenali di persada seni tempatan menerusi program realiti Akademi Fantasia musim pertama.
Bicara lanjut Burn yang pernah membintangi drama Elly bersama Raja Farah, definisi perayaan Deepavali baginya adalah menggembirakan hati dan bermanja dengan nenek tersayang.
Nenek merupakan individu terpenting dalam hidupnya, selain ibu dan kakaknya. Kebahagiaan yang dikecapi Burn pada hari ini merupakan bantuan dan kasih sayang daripada nenek.
"Sejak berusia sebulan, ibu bapa saya bercerai. Lalu, saya dan kakak yang pada ketika itu berusia lima tahun dijaga sepenuhnya oleh nenek. Sementara ibu keluar bekerja mencari rezeki. Nenek tidak pernah memukul, apatah lagi memarahi kami adik-beradik.
"Sebaliknya, nenek sentiasa memenuhi setiap permintaan kami terutama soal pakaian dan barang permainan. Walaupun tidak mempunyai banyak wang, nenek akan berusaha mencari wang semata-mata mahu membeli barang permainan yang kami minta," jelas anak bongsu daripada dua adik-beradik itu ketika ditemui Stailo di Kuala Lumpur.
Perhatian nenek kepada Burn tidak hanya ketika usianya masih kecil. Sebaliknya, ia berterusan sehingga Burn meningkat dewasa dan mula bergelar selebriti. Neneknya juga sentiasa menasihati supaya pandai menjaga diri dan nama baik keluarga. Keakraban Burn dengan neneknya tidak pernah putus.
Setiap bulan, Burn akan membawa neneknya ke bank untuk mengeluarkan wang pencen. Walau sesibuk mana pun, Burn akan mencari masa untuk menghubungi nenek tersayang.

"Tahun lalu, beberapa hari selepas menyambut Deepavali, nenek menghubungi saya supaya membawanya ke bank pada sebelah petang. Tanpa sempat berjumpa, nenek diserang sakit jantung dan meninggalkan kami buat selama-lamanya," ujar Burn dalam nada sedih.
Sehingga hari ini, ingatan Burn terhadap nenek tersayang sentiasa segar dan akan kekal begitu untuk selama-lamanya.