
MENAWAN dan moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri muslimah yang sopan. Rekaan yang ditampilkan amat berlainan dan berbeza dengan koleksi jubah warna hitam polos yang berada di pasaran sejak sekian lama. Koleksi jubah butik Lamees direka hampir menyerupai dres labuh yang sesuai digayakan ke majlis formal dan keramaian.
Koleksi jubah itu bukan sahaja memiliki potongan badan malah bahagian leher, dada, pinggang dan pergelangan tangannya mempunyai konsep rekaan yang cukup menarik.
"Selain majlis formal jubah moden Lamees turut padan digayakan pada hari lebaran atau mengunjungi majlis rumah terbuka yang dianjurkan sepanjang Syawal. Kini golongan wanita mempunyai busana tambahan selain bergaya dengan baju kurung atau baju kebaya," ujar pemilik butik Lamees, Nora Zura Idris.
Pengaruh Asia Barat
Sejak remaja, Nora Zura, 27, kurang gemar menyarungkan jubah rona hitam dan berpotongan longgar. Dia menyifatkan jubah sedemikian tidak sepadan dengan tubuh dan usianya yang masih muda. Lagipun jubah hitam menampakkan lagaknya seperti orang dewasa.
Namun kekerapannya melayari Internet untuk melihat rekaan dan stail fesyen di banyak negara telah menjentik perasaan teruja. Terutamanya apabila ibu kepada Ameerul Akrameen Mohd. Irfan, 1, itu melayari laman web yang memaparkan fesyen jubah wanita dari Jeddah, Arab Saudi.
"Saya benar-benar terpaku apabila melihat aliran fesyen jubah di Jeddah sudah berubah. Bukan jubah warna hitam dipakai sebaliknya sosok tubuh wanita di sana kelihatan menawan dalam persalinan jubah rekaan moden. Selain menggunakan fabrik rona ceria, jubah di Jeddah menyelitkan teknik dan perincian yang menarik.

NORA ZURA (tengah) berusaha memodenkan fesyen jubah agar sesuai digayakan oleh golongan muda.
"Wanita di Jeddah berpendapat dengan terciptanya jubah rekaan moden ia mampu menceriakan penampilan harian dan sambutan lebaran mereka," ujar Nora Zura yang bercerita mengenai evolusi jubah moden, bercorak dan berwarna-warni yang melanda di Arab Saudi, Turki dan Dubai.
Bermula dari situ, Nora Zura mengambil keputusan menjalankan perniagaan jubah rekaan moden. Katanya, Malaysia masih kurang penjualan jubah moden walhal minat terhadap jubah berkenaan sedikit sebanyak sudah bercambah dalam kalangan wanita tempatan.
Nora Zura kemudian meminta bantuan sepupunya yang kebetulan menuntut di Jeddah untuk menjalinkan perniagaan bersama antara butik Lamees dan sebuah butik jubah di sana.
Cita rasa remaja
Lulusan Diploma Rekaan Grafik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar, Perak itu menambah, selain jubah dari Jeddah, dia turut menjual koleksi jubah rekaannya yang serasi dengan cita rasa remaja. Misi utamanya ialah dia ingin golongan remaja tempatan tampil menawan dan berjinak-jinak memakai jubah.
Berdasarkan pengalamannya sendiri, golongan remaja kurang gemar memakai jubah berpotongan longgar apatah lagi jubah berkenaan dihasilkan dalam warna polos dan suram seperti hitam, coklat atau biru gelap.
Pada masa yang sama dia ingin mengubah persepsi remaja. Kebanyakan remaja berpendapat jubah merupakan pakaian untuk menghadiri majlis keagamaan, orang dewasa dan wanita bertudung labuh saja.

TENUNAN songket yang terdapat pada jubah rona merah.
Transformasi
Sedangkan pada hakikatnya jubah sesuai dijadikan busana ideal ke pejabat, majlis formal atau menghadiri rumah terbuka pada bulan Syawal ini. Sekiranya ia mengalami transformasi moden dan rekaannya diubah, tidak mustahil fesyen jubah boleh popular.
"Justeru saya berusaha menghasilkan himpunan jubah yang memiliki potongan, bercorak dan berwarna-warni. Bagi menambahkan seri saya tampilkan perincian manik, batu pertama dan labuci.
"Namun bagi wanita yang tidak menggemari perincian manik atau labuci yang sarat mereka boleh memilih jubah bercorak abstrak atau polos.
"Bagi mereka yang mencintai warisan tradisional pula, jubah corak songket menjadi pilihan yang ideal," terang Nora Zura yang memulakan bisnes jubah moden sejak 2 Julai lalu.
Dalam tempoh dua bulan, Nora Zura berjaya menjual 200 helai jubah yang majoritinya dibeli oleh golongan muda dan remaja.
Fabrik
Menyentuh soal fabrik, Nora Zura cenderung membeli fabrik di Indonesia dan Vietnam. Seleksi kain di kedua-dua buah negara itu bukan sahaja berkualiti malah dijual pada harga yang rendah. Harga sedemikian sukar diperoleh di Malaysia kerana kebiasaannya kain berharga rendah tidak berkualiti dan mudah merekah.
Justeru bagi memastikan pelanggan butik Lamees bergaya dengan jubah berkualiti tetapi dijual pada harga berpatutan, Nora Zura sanggup terbang ke negara jiran.
Dalam proses pemilihan fabrik dia mengambil kira sifat kain yang bersesuaian dengan cuaca di Malaysia dan corak serta warna yang secocok dengan penampilan golongan muda.

"Memandangkan cuaca di Malaysia panas dan lembap, sutera sifon dan sutera Thai menjadi pilihan. Kain sutera dan sifon membuatkan penampilan si pemakai kelihatan anggun dan langsing manakala sutera Thai tampak terletak di tubuh badan wanita.
"Di Vietnam saya gemar memilih fabrik bercorak abstrak dan berwarna-warni manakala di Indonesia saya mendapatkan fabrik bersulam, batik dan tenunan," jelas Nora Zura ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Terang Nora Zura, jubah di butik Lamees bukan sahaja menawan digayakan wanita bertudung malah sesuai disarungkan oleh wanita tidak bertudung.
Ingin kelihatan lebih manis ketika menghadiri majlis rumah terbuka atau majlis formal, padankan saja selendang ala Datuk Siti Nurhaliza atau mengikat selendang panjang gaya selebriti Bienda atau wanita gipsi.