Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aizat nak jual rendang di London

BULAN Ramadhan sudah berlalu meninggalkan kita, kini tiba giliran Syawal pula diraikan bersama. Kemeriahan Syawal adalah hari yang dinantikan oleh setiap umat Islam setelah berjaya menahan lapar, dahaga selama sebulan. Syawal juga adalah bulan dimana sanak-saudara tidak kira jauh atau dekat berkumpul beramai-ramai untuk bersama meraikan hari lebaran yang cukup istimewa. Bagi pelajar serta pekerja yang bertugas di perantauan, suasana sedih serta pilu pasti akan dirasai kerana tidak berpeluang untuk bersama keluarga tersayang. Lain pula yang terjadi kepada penyanyi muda berbakat besar, Aizat Amdan yang terkenal menerusi lagu Sungai Lui ini perlu mengorbankan hari rayanya kali ini demi memenuhi minatnya dalam industri muzik. Hari raya pertama kali ini, Aizat akan melalui perjalanan yang cukup jauh merentasi benua dan lautan untuk menyambung pengajiannya dalam jurusan teknologi muzik di Garnish School Of Song, London. "Saya terpaksa korbankan raya kali ini, perasaan sedih tu saya dah mula rasa, tapi saya terpaksa pendamkan sahaja demi cita-cita yang saya impikan selama ini tercapai. "Tahun ini saya hanya beraya setengah hari sahaja, sebelah malam saya akan bertolak ke London. Mungkin tidak sempat untuk beraya di kampung sebelah bapa saya di Raub," jelas Aizat. Tambahnya, walaupun kali ini dia beraya sebagai seorang pelajar di perantauan, namun dia akan cuba untuk memeriahkan sambutan rayanya di sana. "Kali ini saya nak buat kelainan sikit, saya bawa rendang banyak-banyak selagi tak di tahan pihak kastam dan saya mahu jual di London, rakan saya ramai di sana, saya yakin kalau saya jual mesti laku. "Insya-Allah saya boleh berdikari di sana nanti, saya ada ramai rakan di sana, lagipun bukannya lama saya belajar cuma mengambil masa selama tiga bulan sahaja. "Saya nak jual rendang ni sambil-sambil menutup perasaan sedih kerana tak dapat nak beraya seperti biasa," katanya sambil tersenyum. Sementara itu, bagi ayahnya Datuk Amdan Haji Mat Din, walaupun raya kali ini agak singkat berbanding hari raya sebelum ini kerana sibuk menguruskan Aizat, baginya masa yang singkat itu terpaksa digunakan sebaik mungkin untuk berjumpa sanak-saudaranya. "Bagi saya hari raya adalah hari untuk kita sekeluarga berkumpul dan beramah mesra, kebiasaannya bermula awal Ramadan lagi kami sekeluarga akan sembahyang berjemaah bersama. "Pada sambutan raya yang lepas-lepas, ketika kami sekeluarga pulang ke kampung di Raub, suasana dalam perjalanan cukup meriah kerana kami semua sama-sama akan menyanyikan lagu raya di dalam van," jelas Amdan. Menurutnya, Aizat sebenarnya mempunyai keluarga besar dan masing-masing begitu rapat antara satu sama lain. Pelbagai aktiviti bersama turut diadakan. "Kami semua pernah adakan perlawanan futsal dan adakan kenduri secara besar-besaran. Bagi saya hari raya adalah hari mengeratkan silaturahim antara keluarga besar kami. Dalam pada itu, menurut Amdan lagi, dia sebenarnya tidak pernah menghalang Aizat untuk sambung belajar malahan dia sendiri memberi galakan agar Aizat dan anak-anaknya yang lain. "Saya sendiri dalam usia 56 tahun masih lagi belajar. Bagi saya menuntut ilmu tidak pernah habis walaupun seseorang itu sudah memilikki PhD. "Saya pernah menyuruh Aizat belajar bahasa Cina agar dia boleh menerbit dan mencipta lagu versi Cina kerana ini jarang yang berlaku kepada pencipta lagu tempatan. Insya-Allah saya akan menemani Aizat di London nanti. "Sebelum Aizat ke London, segala persiapan perlu dilakukan supaya keadaan tidak kelam-kabut selepas ini," jelas Amdan. Dalam perkembangan lain, selepas berjaya menghasilkan dua album sebelum ini, Aizat akan muncul dengan album ketiga yang menampilkan lagu-lagu Inggeris. Album tersebut akan berada di pasaran akhir tahun ini. Menurut penyanyi berusia 23 tahun ini, hasratnya untuk menghasilkan album Inggeris telah lama dirancang dan kini dalam proses memilih lagu. "Setakat ini, 16 lagu sudah disiapkan namun bukan semua lagu akan dimuatkan dalam album tersebut," katanya yang akan turut memuatkan beberapa lagu Melayu dalam album tersebut. Mengenai konsep lagu Melayu yang ingin diketengahkan dalam album itu, Aizat tertarik dengan irama lagu-lagu lama era 60-an dan 70-an. Pelantun Susun Silang Kata ini merasakan lagu-lagu berentak retro mempunyai keaslian tersendiri dan semakin mendapat tempat peminat masa kini. "Apabila mendengar lagu-lagu lama seperti lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Datuk A. Rahman Hassan, saya terfikir untuk menghasilkan irama seperti itu dengan susunan muzik yang moden. "Bagi saya, lagu-lagu lama mempunyai keunikan tersendiri. Apabila melihat penulisan lagu-lagu itu, saya merasakan ia begitu asli dan liriknya juga ringkas dan mudah difahami," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails