Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ramadan, Syawal penuh makna

ETIKA artikel ini ditulis, penyanyi kesayangan ramai ini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan umrah yang sudah menjadi rutin tahunan setiap kali tibanya bulan Ramadan. Apatah lagi berpeluang mengunjungi rumah Allah untuk sekian kalinya, Datuk Siti Nurhaliza mengakui bagaikan tidak lengkap sambutan Ramadan seandainya tidak merasai suasana berpuasa di sana. Siti Nurhaliza memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi apabila sekali lagi diberi peluang menunaikan umrah sekali gus menyambut 10 hari terakhir bulan mulia itu. Bukan itu sahaja, saban tahun rindunya untuk menjadi tetamu Allah SWT juga tidak dapat dibendung sejak kali pertama menjejakkan kaki di sana pada tahun 1997. Lantaran itu, seandainya diberi peluang, Siti dan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tidak akan melepaskannya. "Alhamdulillah, nampaknya rezeki saya dan suami sekali lagi ke Mekah untuk beribadat selain mahu mencari keberkatan sementelah kami ke sana pada 10 Ramadan yang terakhir. "Seperti mana yang kita semua maklum, tempoh itu merupakan waktu yang diberikan nikmat serta ganjaran pahala yang berganda. Sudah pasti sebagai hambaNya, saya tidak mahu melepaskan peluang itu. "Apatah lagi, selepas bekerja keras sepanjang dari awal Ramadan, kini masanya untuk saya menumpukan perhatian serta fokus kepada ibadat," ujar penyanyi jelita itu. Berbicara mengenai sambutan Syawal pula, Siti yang telah pulang ke ibu negara sehari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri memberitahu dia telah mengadakan majlis rumah terbuka pada Ahad lalu. "Ia sekaligus dengan majlis ulangtahun perkahwinan kami yang ke-6," kata Siti yang hanya beraya di Kuala Lumpur untuk Syawal kaliini. Bercakap mengenai majlis ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam yang jatuh pada hari ini, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, bukannya hadiah-hadiah mahal yang dipinta oleh penyanyi bersuara emas ini. Sebaliknya, dia mengharapkan agar perkahwinannya akan terus kekal bahagia dan abadi buat selamanya selain kasih sayang yang berpanjangan daripada suami yang dicintai. "Begitu juga dengan doa dan harapan saya untuk memiliki cahaya mata sendiri. Itu adalah sesuatu yang tidak pernah saya lupa untuk memohon kepada Yang Maha Esa," katanya yang tidak pernah putus berharap untuk memiliki cahaya mata sendiri. Kekal sibuk Biarpun sudah 17 tahun menjadi seorang penyanyi tersohor negara, Siti belum menunjukkan tanda-tanda untuk berehat daripada dunia seni dan perniagaannya yang semakin berkembang maju. Memang benar. Sepanjang bulan Ramadan lalu, jadualnya cukup padat sehingga tidak menang tangan dibuatnya sehingga Siti harus membahagikan masa antara karier seni dan fokusnya sebagai seorang ahli perniagaan. Setiap kali bertemu dengan penyanyi berusia 33 tahun ini, soal album dan lagu baharu pasti tidak akan terlepas ditanyakan kepadanya. Apatah lagi, selepas kali terakhir muncul dengan album Melayu solo, Tahajjud Cinta sekitar tiga tahun lalu, kerinduan peminat terhadap lagu-lagu baharunya tidak dapat dibendung lagi. Siti juga amat sedar akan senario tersebut tetapi sebagai penyanyi berpengalaman, dia tidak mahu membikin album sekadar tangkap muat sahaja. Sudah pasti dia mahu menghasilkan album yang berkualiti tinggi seperti mana album Transkripsi (2006) yang telah disifatkan sebagai penanda aras untuk Siti. Buat masa ini katanya, dia masih lagi mencari material terbaik dan di dalam simpanannya sudah ada beberapa buah lagu hasil ciptaan komposer baru dan lama. Sebagai pengubat kerinduan peminat, Siti terlebih dahulu muncul dengan single berjudul Muara yang dinyanyikan secara duet bersama juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz Suip. Lagu ciptaan vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi itu juga bakal dijadikan lagu tema drama bersiri terbaru, Adam dan Hawa lakonan Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Seperkara lagi yang rasanya bukan lagi satu rahsia apabila Siti dikhabarkan akan membuat persembahan di pentas mewah yakni Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun depan. Jelasnya, buat masa ini, pihak Siti Nurhaliza Productions masih lagi berbincang dengan pihak DFP dari pelbagai aspek. "Saya pun tidak mahu mengulas lanjut dan memberikan sebarang pengesahan kerana semuanya masih lagi di peringkat perbincangan. "Seandainya menjadi kenyataan, ia adalah satu penghargaan buat saya kerana mahu menyahut cabaran apabila menyanyi bersama orkestra. "Bukan mudah untuk berbuat demikian dan saya sendiri sudah lama tidak menyanyi diiringi pemuzik orkestra. Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila dapat menyanyi dengan muzik yang hebat," ujarnya bersungguh. Jika benar apa yang dirancangkan, Siti merupakan penyanyi tempatan keempat yang akan membuat konsert di dewan penuh prestij itu selepas Tan Sri S.M. Salim, Datuk Sheila Majid dan terbaru, Datuk M. Nasir. Promosi tetap penting Tidak hanya sibuk dengan karier seni, tetapi keutamaan bekas juara Bintang HMI 1995 ini adalah kepada SimplySiti. Maka itu, tidak hairanlah apabila hampir setiap hari, Siti akan meluangkan masa bersama peminat di setiap lokasi di hampir seluruh negara. Kata Siti, hanya itulah masa terbaik untuknya menemui peminat yang telah banyak menyokongnya selama 17 tahun dia bergelumang dalam dunia seni. "Meskipun pertemuan itu berlangsung dalam masa yang singkat sehingga ada kalanya saya perlu berada di hampir tiga destinasi setiap hari, saya puas kerana dapat bertemu dengan mereka (peminat). "Soal penat saya tolak ke tepi sebaliknya melihat kegembiraan di wajah mereka yang sanggup datang dari jauh untuk menyokong saya dan SimplySiti adalah sesuatu yang cukup berharga," ujar penghibur yang diberi jolokan Biduanita Muda Negara ini dalam nada penuh rendah diri. Barangkali untuk sesetengah artis, urusan promosi dianggap remeh dan memenatkan tetapi hakikat sebenarnya, ia adalah jentera pemasaran terbaik dalam menarik perhatian peminat. Atas alasan itu jugalah, Siti tidak menumpukan hanya kepada bandar besar sahaja sebaliknya sanggup ke bandar kecil dan ceruk rantau bagi memastikan perniagaannya berjalan lancar.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails