Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Lebaran orang bujang - Nazim Othman dan Shah Iskandar
KEDUA-duanya masih baru. Mempunyai potensi besar untuk menguasai industri pada masa hadapan, tidak mustahil untuk Nazim Othman mahupun Shah Iskandar membina empayar sendiri atas kerja keras yang mereka lakukan selama ini.
Ada yang masih samar-samar dengan bakat dua anak muda ini. Meskipun begitu, peluang yang diberikan kepada mereka tidak dipersiakan.
Bagi Nazim, mungkin ini masa untuk dirinya. Pelbagai watak sudah dilakonkan selama ini, orang mula nampak pada bakat besar yang ada dalam diri. Terbaru, dia mencetuskan 'gelombang' dengan drama bersiri Dejavu Di Kinabalu yang sangat membantu dirinya naik ke satu lagi aras.
Tidak mustahil untuk lelaki yang pernah bekerja sebagai pramugara itu meneruskan lagi gelombang dengan cerita Kau Yang Terindah yang sedang bersiaran di kaca televisyen ketika ini.
Shah Iskandar pula masih mencari arah. Diberi peranan kecil dalam drama berisi Nora Eleena satu ketika dahulu, peluang besar makin terbuka buat anak kelahiran Singapura memperdagang bakat yang ada.
Tidak mahu merencatkan hari lebaran yang sedang disambut ini, kedua-dua lelaki ini sepakat, inilah masa yang paling sesuai untuk mereka berehat, melepaskan lelah seketika.
"Bulan puasa yang lalu pun jadual saya tetap penuh. Jadi saya ambil kesempatan untuk berehat empat hari untuk meraikannya bersama-sama dengan keluarga.
"Tidak dinafikan yang lebaran kali ini memang cukup mengujakan. Mungkin sebab dah lama tak dapat berkumpul bersama dengan keluarga besar saya, jadi saya mahu mengeratkan lagi silaturrahim dengan semua saudara mara.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya pulang ke Johor Bahru. Banyak aktiviti yang dah ada dalam kepala ni, cuma menunggu masa untuk dilaksanakan," kata Nazim lagi.
Walaupun kekangan masa menjadi penghalang untuknya berehat panjang, Nazim menganggap itu semua lumrah yang harus ditempuh oleh semua anak seni seperti dirinya.
"Beberapa hari lagi saya akan terus masuk ke set Kau Yang Terindah. Tak kisah pun sebenarnya tidak dapat beraya lama sebab dulu masa jadi pramugara pun saya pernah beraya di luar negara," katanya.
Beraya di tanah kelahiran sendiri sememangnya sudah menjadi acara wajib yang mesti dilalui oleh Shah Iskandar. Walaupun ramai beranggapan beraya di Kota Singa tidak meriah jika mahu dibandingkan di Malaysia, itu bukan masalah besar baginya.
Mahu menjadikan hari lebaran sebagai hari untuk berehat panjang, pelakon muda yang pernah mencipta nama menerusi drama Gerak Khas yakin ada sinar buatnya kali ini.
"Memang saya cukup teruja bila nak sambut raya. Sejak bulan Ramadan yang lalu pun saya memang gembira walaupun sedikit perit terpaksa bekerja dalam keadaan lapar dan dahaga. Ini memang bulan untuk menguji kesabaran kita sebenarnya.
"Setiap kali tibanya 1 Syawal, selesai sahaja sembahyang sunat Hari Raya saya akan ke Johor Bahru untuk menziarahi pusara arwah bapa. Saya beruntung, walaupun orang Singapura tetapi saya masih ada kampung di Johor.
"Setiap tahun saya akan buat perkara yang sama. Walaupun sudah tidak ada bapa, ingatan saya padanya tidak pernah padam. Selepas ke kubur barulah saya menziarahi saudara mara yang ada di sana sebelum pulang ke Singapura," katanya.
Menganggap rezekinya sentiasa ada dan tidak putus-putus, Shah Iskandar kini antara pelapis baru yang sering menjadi perhatian para pengarah sejak akhir-akhir ini. Dia membuka mata banyak pihak apabila drama bersiri Tiga Janji cukup digemari ramai.
"Mungkin orang tidak tahu hampir dua tahun jugalah saya mencari-cari arah dan mencari tapak untuk meneruskan kerjaya. Alhamdulillah selepas drama Nora Eleena keluar, orang mula mengenali saya walaupun tidak sehebat mana pun.
"Rentetan dari itulah saya mula mendapat perhatian sehinggalah hari ini. Tak kisahlah kalau tidak kencang mana asalkan tawaran tidak putus-putus pun sudah cukup baik," jelasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]