Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Dalam kemeriahan ada debaran - Yusof Haslam
SEDONDON di pagi Syawal merupakan trend keluarga penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam.
Malah Datuk Yusof Haslam mengakui menyerahkan segala urusan persiapan Hari Raya kepada isterinya, Datin Fatimah Ismail.
"Saya sibuk di pejabat. Jadi urusan dan persiapan Hari Raya memang saya serahkan kepada isteri," katanya.
Umpama rutin, pada hari raya pertama, selepas bersembahyang raya dan bermaaf-maafan, mereka sekeluarga akan pulang beraya di rumah keluarga masing-masing.
Sebelah paginya, Yusof, Fatimah dan anak-anak akan menziarah ke rumah keluarga Fatimah di Shah Alam, Selangor sebelum ke Selayang Baru, Selangor untuk bersama-sama keluarga Yusof pada hari raya pertama.
Sementara hari raya kedua, pemilik syarikat produksi Skop Production Sdn. Bhd. itu mengadakan rumah terbuka untuk kaum keluarga kedua-dua belah pihak.
"Itu acara wajib keluarga ini," kata Fatimah yang akan menyediakan pelbagai juadah istimewa termasuk nasi daging resipi ibu mertuanya yang amat digemari pengarah six million dollar man itu.
Namun dalam keseronokan meraikan Syawal, keluarga ini mengakui berdebar menanti respons filem Saya Amat Mencintaimu (SAM) arahan anak bongsunya, Shafiq yang turut dibintangi abangnya, Syamsul dan ditayangkan pada Hari Raya pertama tempoh hari.
Tidak mensasarkan sebarang kutipan, Yusof berkata, yang penting filem itu menjadi batu loncatan untuk Shafiq melebarkan sayapnya dalam bidang seni.
Seperti Syamsul yang berjaya mengutip jumlah kutipan tiket RM4juta untuk filem sulung arahannya, Evolusi: KL Drift, Yusof mengharapkan buah tangan Shafiq itu akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada khalayak.
"Mudah-mudahan mendapat respons yang baik daripada penonton. Soal kutipan itu soal rezeki," katanya optimis.
Fatimah pula berkata, oleh kerana mereka sekeluarga tidak pulang berhari raya ke Pulau Pinang tahun ini maka kesempatan itu diambil olehnya dan Yusof untuk melihat respons filem sulung arahan Shafiq itu.
"Tahun lepas, Syamsul berdebar, tahun ini Shafiq pula," katanya sambil ketawa.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]