Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Berhabis demi anak-anak - Ziana Zain

LEMBAYUNG yang dicipta figura ini masih belum pudar. Cahayanya masih mampu menerangi segenap ruang walaupun sudah sekian lama berbakti menghambakan diri kepada bidang yang amat dicintainya. Aura dan cahaya gemilang Ziana Zain masih belum pudar biarpun sudah berkeluarga. Apa yang dinikmati oleh penyanyi ini bukan sembarangan. Bukan satu perkara yang mampu dimiliki oleh semua anak seni lain memandangkan dia mempunyai empayar peminat setia yang tidak pernah jemu. Penyokong yang sentiasa mendambakan sesuatu yang manis untuk dikenang. Tidak pernah terhenti biarpun Syawal menjelma, Ziana lebih tenang dalam setiap urusan ini. Baginya ketibaan Aidilfitri kali ini memang cukup dinantikan apatah lagi gembira melihatkan empat permata hati yang sedang membesar depan mata. "Tidak ada raya untuk saya jika anak-anak tidak gembira. Apa yang paling penting saya mesti dapat melihat anak-anak puas dan dapat beraya. "Sebelum hari raya lagi saya sudah menyediakan segala kelengkapan mereka termasuklah baju baru, kasut baru dan segala-galanya baru. Itu memang dapat menggembirakan mereka dan saya tak kisah kalau nak berhabis sekalipun asalkan anak-anak seronok. "Bila cakap pasal baju raya ni, memang saya pening sedikit sejak anak sulung Aiman dan adiknya Amar dah besar panjang. Macam Aiman dia dah tak mahu beli baju warna sama dengan adik-adik sampaikan nak belikan baju dia pun sudah. "Tapi Amar memang suka berfesyen. Suka pakaian yang smart-smart dan nampak bergaya. Nasib baik adik kembar mereka masih kecil. Kalau tak susah juga," kata penyanyi lagu Madah Berhelah ini sambil tersenyum. Akui Ziana lagi, kebiasaannya dua hari sebelum Aidilfitri, dia sudah sibuk menguruskan pelbagai masakan istimewa seperti rendang ayam pencen yang memang menjadi kegemaran keluarganya. Sambil menyediakan juadah tersebut bersama ibunya, sudah pasti suasana bertambah meriah dengan kehadiran adik-beradik yang lain. Suasana dan kenangan seperti itu memang tidak dapat dirasai selalu. Tidak terhenti setakat itu sahaja, Ziana mengambil kesempatan untuk pulang berhari raya ke Melaka kali ini. Biarpun sudah jarang beraya di kampung halaman dek pelbagai faktor yang menjadi halangan, kali ini dia tekad membawa anak-anak yang semakin membesar merasai sendiri suasana kampung halaman yang cukup asing. Tidak mudah untuk mengumpulkan seluruh ahli keluarga memandangkan adik-beradik lain sudah berkeluarga kecuali Anuar. Harapannya tetap tinggi menggunung memandangkan inilah satu-satunya masa untuk mereka berkumpul beramai-ramai. "Orang yang sudah membesar di bandar ni memang cukup rindu nak balik kampung. Macam saya sendiri memang rindu nak berjumpa dengan saudara mara bercerita tentang macam-macam perkara seperti masa dulu. "Lagi satu inilah masa untuk saya merapatkan silaturrahim sesama kita. Saya mahu memperkenalkan kepada anak-anak siapa saudara mereka. Rasanya ini masa yang terbaik," ujarnya lagi. Mengambil kesempatan bercuti kurang seminggu, Ziana tidak mahu berehat panjang memandangkan produk b.lift keluaran syarikatnya sudahpun berada di pasaran sejak sebulan yang lalu. Produk minuman kesihatan itu mendapat sambutan yang menggalakkan apatah lagi ia merupakan kolagen yang boleh diambil oleh sesiapa bagi menjaga kulit agar tampak mulus seperti dirinya. "Sejak terlibat dalam perniagaan ini saya perlu memberi tumpuan yang lebih kepada produk berkenaan. Saya mahu peminat-peminat saya mencuba dulu dan lihat hasilnya nanti. Apa yang paling penting b.lift adalah halal dan telah disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," kata Ziana yang boleh dihubungi melalui www.zianazain.com.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails