Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kepulangan Razis Ismail
MUNGKIN ada yang beranggapan, kehilangan Razis Ismail selama ini cukup misteri. Pelbagai andaian dan cerita-cerita panas yang mengiringi 'kehilangan' Razis tetapi tidak mampu dijawab secara benar oleh sesiapa juga kecuali dirinya.
Bagi generasi muda, mungkin nama Razis sedikit asing. Tetapi bagi mereka yang membesar sekitar tahun 1980-an, lagu-lagu seperti Kepulangan dan Mawar Oh Mawar itu cukup bersarang dalam hati peminat setianya.
Tidak hanya berjaya menundukkan peminat dengan suara yang merdu, Razis juga menjadi igauan para gadis yang cukup mendambakan lelaki itu. Tetapi segalanya tinggal kenangan apabila Razis menghilangkan diri terus tanpa khabar berita ketika namanya berada di puncak.
Ada yang mengatakan 'kehilangan' Razis ketika itu disebabkan amanat arwah bapanya yang tidak mahu dia menyanyi lagi. Bertitik tolak daripada peristiwa itulah yang membuatkan dia bertekad untuk tidak aktif dan mendiamkan diri berbelas-belas tahun lamanya.
Dan kini, khabarnya Razis sedang merakam lagu baru. Lagu yang sudahpun hampir siap sepenuhnya akan menjadi penyambung 'nadi' Razis di dalam industri ini barangkali.
Lantas ada yang beranggapan Razis telah melanggar amanat arwah bapanya yang tidak mahu dia menyanyi.
Bertemu dengan bapa kepada lima orang anak baru-bari ini, Pancaindera bertanyakan perkara tersebut. Dalam nada yang cukup terkejut, Razis menafikan dakwaan yang dia melanggar janji yang telah dibuat.
"Cerita itu tidak tepat! Yang sebenarnya arwah bapa saya tidak pernah menghalang saya menyanyi. Semasa dia sakit, pakcik saya yang menasihatkan saya supaya berhenti menyanyi.
"Bertitik tolak daripada itulah yang membuatkan saya nekad untuk berhenti terus. Lagi pun waktu itu saya sendiri pun tak ada mood nak menyanyi. Perasaan teruja semakin pudar sampailah saya hilang terus dalam industri.
"Waktu itu saya masih muda, darah tengah panas. Memang tidak fikir pasal orang lain sebab nak glamour sahaja. Disebabkan mereka takut saya lupa diri dan hanya ingin berseronok saya dinasihatkan mengundur diri cepat-cepat.
"Padahal daripada duit menyanyilah kita boleh menyara keluarga dan anak-anak. Kalau ikut jalan yang betul segalanya akan baik-baik sahaja," jelas Razis lagi.
Mengakui semakin selesa untuk berdiam diri dari sebarang publisiti, Razis sebenarnya sudah merakamkan sebuah lagu baru yang akan dijadikan single terbaru. Walaupun sudah lama tidak merakamkan lagu, segalanya begitu mudah buat penyanyi ini.
Tidak menafikan yang keinginan untuk menyanyi masih ada, Razis menegaskan kehadirannya semula ke dalam industri bukan untuk bersaing dengan sebaliknya hanya mahu melepas rindu.
"Saya sendiri tidak merancang untuk merakamkan album sebenarnya. Segala-galanya berlaku secara kebetulan setelah saya berjumpa dengan Datin Nora yang juga merupakan kakak angkat saya satu ketika dahulu.
"Kami sudah terpisah hampir 28 tahun lamanya. Bila bertemu dia menyatakan hasrat untuk melihat saya merakamkan lagu baru. Dia juga yang menanggung segala kos. Saya fikir ini memang peluang yang baik dan kenapa harus saya tolak.
"Insya-Allah lagu tersebut akan keluar tak lama lagi. Lagu Kaulah Permaisuri merupakan lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan saya memang berharap ia mampu mengubat kerinduan peminat yang tidak putus-putus menyokong saya.
"Doa dan sokongan daripada peminat juga menjadi pendorong untuk saya merakamkan lagu baru. Ada sahaja yang mahu saya kembali dalam industri tetapi apa yang boleh saya katakan, saya tidak akan jadi seperti dulu lagi." katanya.
Pesan Razis, dia tidak mahu kembali mencari populariti dengan bidang ini. Apa yang dilakukan hanyalah suka-suka sekadar melepas rindu peminat terhadap dirinya sahaja.
Mengakui kehidupan peribadi berkeluarga semakin baik, Razis masih terlibat dalam beberapa undangan pentas dan juga stesen televisyen dan radio.
"Tidak ada apa yang saya harapkan selain dapat melihat orang terhibur dengan lagu-lagu saya. Itu sudah cukup membuatkan saya besar hati walaupun sudah tidak seperti dulu," kata Razis mengakhiri pertemuan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]