Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kegembiraan berganda Ustaz Don

USTAZ Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid memang 'digilai' ramai sehingga mampu mengangkat namanya di persada dakwah tanah air dengan begitu pantas. Sebut sahaja nama Ustaz Don siapa yang tidak kenal. Bukan sahaja di televisyen, malah di laman web sosial Facebook, Youtube atau Blog pasti ada potongan video ceramah dan kata-kata nasihat Ustaz Don yang dimuat naik oleh orang ramai. Membawakan perwatakan bersahaja dengan bersikap rendah diri dan mudah didekati, pendakwah yang terkenal dalam rancangan 30 Minit Ustaz Don di TV AlHijrah itu pastinya menarik perhatian sesiapa yang menemuinya. Tidak kering gusi melihat telatah dalam ceramah atau program beliau yang disampaikan secara santai dengan diselitkan unsur humor bermanfaat yang boleh dijadikan iktibar. Maka, tidak hairanlah anak muda kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berjaya menjadi pendakwah muda terkenal dalam masa singkat sehingga menjadi fenomena masyarakat kini. Seperti selebriti lain, pensyarah muda di Jabatan Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di Akademik Islam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) itu tidak menafikan terdapat perubahan terutama jadual hariannya yang sangat padat selepas mula muncul di televisyen. Malah beliau mengakui, ibunya merupakan insan yang paling terasa dengan perubahan tersebut. Lebih-lebih lagi apabila menjelang hari raya. Bagaimanapun katanya, tidak sah jika tidak pulang ke kampung pada hari raya dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga walaupun seketika. "Dulu, kebiasaannya saya akan pulang ke kampung kira-kira seminggu awal sebelum hari raya untuk menolong keluarga membuat persiapan raya. Kami akan mengecat dan mengemas rumah bersama yang menjadi rutin tahunan kami. "Sejak bergelar pendakwah selebriti ini, jadual saya menjadi agak padat. Tanggungjawab pun menjadi semakin berat. Tak bolehlah nak sambut raya seperti dulu. "Emaklah insan yang paling sedih dan merasai perubahan serta kesibukan saya ini. Mujur ibu dapat memahami keadaan saya," katanya yang pulang ke kampungnya di Bukit Mertajam pada malam hari raya pertama. Bagi menangani situasi itu, Ustaz Don memberikan salinan kunci rumah kepada ibu bapanya bagi memudahkan kedua orang tuanya itu pergi menziarahi beliau pada bila-bila masa sahaja. "Kebetulan adik-beradik saya juga tinggal di sekitar rumah saya di Bandar Seri Putra, ini memudahkan lagi keluarga untuk berjumpa dan berkumpul beramai-ramai," katanya. Jubah jadi tradisi Tidak terkecuali seperti umat Islam lain, Ustaz Don turut menyambut perayaan dengan memperagakan pakaian raya yang baru. Menariknya, menjadi tradisi beliau sekeluarga akan memakai jubah untuk menyambut hari raya dan keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama. "Memang sejak kecil lagi ayah telah mengajar kami memakai jubah apabila tiba hari raya. Dan jubah menjadi pakaian rasmi bagi kami sekeluarga sehingga kini. "Bagi lelaki, kami akan memakai jubah dan berserban putih. Manakala perempuan pula berjubah hitam," jelasnya yang mengatakan jubah adalah pakaian yang paling selesa berbanding pakaian lain. Menurutnya, beliau juga pernah tidak membeli baju raya pada hari raya jika pakaian raya sebelum ini masih elok, selesa dipakai dan indah dipandang. "Tetapi tahun ini kenalah beli baju raya baru kerana hendak digunakan semasa beraya dan juga pakaian semasa akad nikah saya pada awal bulan Syawal nanti," ujarnya ringkas.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails