Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Persembahan sopan - Siti Nurhaliza
NIATNYA hanyalah mahu menghiburkan peminat. Namun tanpa diduga, persembahan penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza di Kota Bharu, Kelantan pada Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012, dua minggu lalu, mencetuskan kontroversi apabila diselar kerajaan negeri PAS. Sehubungan itu, peluang HIP bertemu Siti pada pelancaran produk terbaru SimplySiti, Bejeweled di Kuala Lumpur, petang semalam membawa persoalan itu kepada penyanyi terkenal ini. Ternyata kontroversi itu menimbulkan sedikit rasa tidak selesa kepada Siti kerana menurutnya, apa yang berlaku di majlis itu tidaklah seteruk disangka.
Majlis malam itu adalah sempena menyambut perayaan Hari Guru dan diadakan dengan penuh sopan. Saya hadir atas jemputan pihak di sana dan majlis itu juga berkonsep ilmiah. Terus terang, sepanjang berada di majlis itu, persembahannya cukup menenangkan jiwa. - Siti Nurhaliza
“Majlis malam itu adalah sempena menyambut perayaan Hari Guru dan diadakan dengan penuh sopan. Saya hadir atas jemputan pihak di sana dan majlis itu juga berkonsep ilmiah. Terus terang, sepanjang berada di majlis itu, persembahannya cukup menenangkan jiwa.
“Tapi saya faham kerana setiap negeri ada peraturannya. Saya menghormati dan akur dengan keputusan pemerintah di sana,” ujar Siti yang tidak menyangka perkara seperti itu akan berlaku.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pihaknya kecewa kerana penganjur tidak peka dengan peraturan yang ditetapkan apabila mengadakan persembahan terbuka membabitkan penonton lelaki dan perempuan.
Berikutan itu, penganjur acara itu dilaporkan diberi amaran keras supaya tidak mengulanginya.
Ditanya apakah dia serik untuk membuat persembahan di Kelantan, Siti berkata, kejadian itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk menghiburkan peminat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Sebagai penghibur, saya tak kisah untuk menghiburkan peminat walau di mana mereka berada. Saya tetap pergi jika mendapat undangan dan persembahan mendapat kelulusan kerajaan negeri,” katanya sambil mengharap isu tidak lagi dipanjangkan.
Rakam album khas dengan komposer Indonesia
Beralih kepada cerita kerjaya seninya, Siti berkata, selain mengumpul bahan untuk album projek khas bersama komposer dari Indonesia, Siti juga baru selesai merakamkan lagu latar drama bersiri Adam & Hawa bersama Hafiz. Kolaborasi itu seakan menggambarkan bahawa lagu duet itu mempunyai persamaan dengan lagu Ombak Rindu yang cukup popular.
“Lagu Ombak Rindu rentaknya sangat perlahan tapi untuk lagu ciptaan Adi 6ixth Sense ini, rentaknya sangat moderate dan memang berbeza langsung dengan lagu Ombak Rindu,” katanya.
Mengenai desas-desus Siti bakal beraksi di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun depan, Siti mengakui menerima tawaran itu.
“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan. Terus terang memang seronok apabila berpeluang membuat persembahan di DFP. Sebelum ini, Siti pernah menjadi penyanyi undangan untuk konsert Tan Sri S M Salim.
“Diakui bukan mudah untuk Siti buat persembahan diiringi orkestra tetapi Siti memang gemarkan cabaran,” katanya.
Sementara itu, peminat yang mahu meniru gaya solekan penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini boleh melayari laman YouTube kerana Siti mengajar cara-cara solekan wajah menggunakan pelbagai warna yang dihasilkan produk kecantikannya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]