Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Jimmy Shanley terus melangkah
BUKAN menghilangkan diri mahupun menyendiri tetapi ayah kepada Zahrah Rania Shanley 14 bulan ini mahu tahun ini menjadi tahun penentu buat dirinya. Menurut Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32, keadaan semasa membuatkan dia memilih untuk meneruskan impian yang lama terpendam. Walaupun kelibatnya kini semakin jarang kelihatan di kaca televisyen namun dia percaya rezekinya masih di dalam industri ini.
Bercerita lebih lanjut akan jadual kehidupannya kini, menurut Jimmy walaupun secara dasarnya pengacaraan tidak lagi menjadi tugas utama namun dia masih lagi sibuk meneruskan perniagaan keluarga. Selain itu bekas pengacara program Trek Selebriti ini sebenarnya sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.
"Saya cuma tak muncul di televisyen sahaja tetapi saya masih sibuk. Selain meneruskan perniagaan keluarga, saya kini sedang melanjutkan pengajian di UiTM selama satu setengah tahun," katanya ketika ditemui menyertai program agihan bubur lambuk di Tol Batu Tiga, Shah Alam baru-baru ini.
Merupakan impian terbesarnya untuk menggenggam segulung ijazah sarjana, menurut Jimmy keputusan yang diambil untuk menyambung pengajian bukan untuk menutup kesedihan yang melanda dirinya.
Tidak menolak untuk mengatakan yang dia sengaja memilih untuk tidak terlalu menonjol dewasa ini, menurut Jimmy, dia hanya mahu agar tahun ini menjadi penamat buat kisah rumah tangganya.
Jimmy sebelum ini memfailkan permohonan nusyuz di mahkamah pada 27 Januari 2011 manakala permohonan kembali taat difailkan pada 3 Januari tahun yang sama. Kini dia dan isterinya sedang bergelut dengan isu hak penjagaan anak tunggal mereka.
"Saya sambung belajar bukan sengaja mahu menyibukkan diri dari memikirkan apa yang terjadi. Cuma impian ini sudah lama saya pendam, dengan waktu yang ada ini saya ambil kesempatan untuk meneruskannya.
"Bagaimanapun saya akui, tahun ini saya memilih untuk mendiamkan diri, semua ini saya lakukan demi untuk tidak terus mengganggu perjalanan kes saya dan isteri di mahkamah," katanya tenang.
Bukan mahu terus menyorokkan apa yang berlaku, bagi Jimmy kisah rumah tangganya kini sudah diketahui umum. Bagaimanapun menjadi tanggungjawabnya untuk tidak membebankan anak tunggalnya dengan kisah yang berlaku di antara dia dan isterinya itu.
"Saya mahu kes ini selesai sebelum anak saya boleh membaca dan faham apa yang berlaku.
"Kalau boleh saya mahu selesaikan tahun ini juga, ini kerana tahun hadapan saya mahu kembali ke dalam industri secara serius," katanya.
Reda
Masih mahu dikenali sebagai suami kepada Nursuhaila Elliani Shuhaimy, 26, menurut Jimmy sehingga saat ini secara jujurnya dia tidak pernah bermimpi mahu merangkul status duda. Bagaimanapun jauh di dalam sudut lelaki ini, dia tetap pasrah dengan setiap keputusan.
"Mungkin terlalu lama kes ini berlangsung ada di antara rakan-rakan saya sudah memanggil saya dengan gelaran duda. Setiap kali itu juga saya terpaksa membetulkan panggilan mereka.
"Bagaimanapun saya tetap pasrah dengan setiap keputusan, apa jua yang telah ditetapkan kelak saya tetap mahu meneruskan kehidupan saya," katanya.
Ditanya sama ada pernah timbul perasaan serik dan menyesal ekoran kegagalan rumahtangganya, bagi Jimmy lumrah kehidupan sesiapa sahaja akan menghadapai waktu sukar. Baginya, ini cuma satu lagi percaturan yang hidup yang memerlukan dia menjadi lebih tabah.
"Saya tidak menyesal berkahwin, saya percaya apa yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin ini mengajar saya untuk tidak melakukan kesilapan yang sama dalam mendapatkan sebuah rumah tangga yang lebih bahagia," katanya.
Sikap optimis lelaki ini terus membuka ruang untuk Hits bertanyakan sama ada dia sudah bersedia untuk bertemu dengan cinta baru hidupnya. Bagi Jimmy buat masa ini bukan itu yang menjadi keutamaannya namun dia tidak menolak untuk mempunyai lebih ramai anak pada masa hadapan.
"Saya masih belum bersedia untuk memikirkan perkara itu. Cumanya memang saya mempunyai impian untuk mempunyai lebih ramai anak pada masa hadapan," katanya.
Melalui penampilan terbarunya kini, nampaknya Jimmy sudah kembali menyimpan rambut panjang dan semakin tegap. Cuma menghuraikan tekaan, Jimmy memberitahu ini bukan persiapan awal untuk dirinya mendapatkan kehidupan 'bujangnya' kembali. Cuma dia lebih selesa dengan penampilannya kini.
"Bukan mahu 'melawa'. Dulu saya potong rambut pendek kerana terikut cakap kawan yang kata saya lebih sesuai dengan rambut pendek. Rupa-rupanya saya lebih selesa dengan rambut panjang.
"Soal buat badan pula memang saya terlalu kurus sebelum ini dan ada kawan yang cadangkan saya ke gim untuk tambah berat badan, itu sahaja," katanya tersenyum.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
