Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bagaikan mati hidup semula - Rosnah



ANTARA sedar atau tidak, tiba-tiba matanya dibuka perlahan-lahan. Apa yang kelihatan hanyalah kepulan putih yang memenuhi setiap ruang di kelilingnya, ketika itu tiada siapa di sisi, kosong dan hanya dia sendirian.

Tatkala itu sayup-sayup terdengar beberapa suara sedang bercakap yang tidak jelas biji butirnya.

Kemudian perlahan-lahan dirasakan jasadnya terbujur kaku tanpa dapat bergerak walau seinci dan tiba-tiba hatinya terdetik.

"Eh...aku dah mati? Betul ke aku sekarang kat alam barzakh?

"Apakah itu suara Mungkar dan Nangkir, dua malaikat yang diutuskan Allah untuk menyoal amal dan kebajikan aku selama di dunia?

"Ya Allah, aku sudah mati rupanya, aku kini di alam barzakh?" Itulah soalan demi soalan yang terdetik di hatinya.

Tiba-tiba hatinya menjadi takut. Dia bagaikan mahu menjerit meminta tolong. Sambil jari jemarinya perlahan-lahan meraba kain yang menyelimuti tubuh kakunya ketika itu.

Perlahan-lahan matanya memerhatikan dan dia semakin hairan kerana bukan kain putih yang sering mengkafankan setiap jenazah yang pergi tetapi kain berwarna hijau!

Ketika itu, matanya terpandang wajah-wajah manusia yang memakai topeng dan bertutup kepala jelas kelihatan.

Doktor! Itulah perkataan pertama yang terkeluar daripada bibirnya. Ketika itu barulah dia sedar yang dia masih hidup dan perlahan-lahan dia menutupkan matanya dan suara serta wajah-wajah itu hilang tiba-tiba.

Beberapa jam kemudian, apabila sedar dia sudah berada di wad hospital. Dia bersyukur kerana masih bernafas untuk meneruskan hidup bersama tiga orang anak kesayangannya Wan Ramada Agus Putra, 20, Wan Shamira Putri Octavia,18, dan Wan Syahira Putri Aprena, 17.

Detik-detik penuh debaran

Begitulah detik-detik penuh debaran yang dilalui oleh aktres Rosnah Mohd. Noor, 51, apabila menceritakan pengalamannya yang terjaga ketika para doktor dan jururawat sedang sibuk melakukan pembedahan ke atas dirinya.

"Sehari sebelum menjalani pembedahan saya memang risau sangat-sangat sehinggakan darah tinggi saya naik.

"Perasaan takut dan sedih saling berbaur. Ketika itu saya hanya ingat antara hidup dan mati dan apa akan jadi pada anak-anak apabila saya tiada di dunia lagi.

"Walaupun saya cuba melenyapkan apa juga perasaan yang ada, namun suntikan bius yang diberikan para doktor tidak dapat membantu menghilangkan rasa takut.

"Disebabkan perasaan takut begitu menebal di jiwa, sebab itu ketika pembedahan sedang berlaku saya terjaga tiba-tiba.

"Meskipun tidak seratus peratus, namun ketika itu saya rasakan yang saya sudah mati! Apalagi disebabkan suntikan bius dan badan tak boleh bergerak, saya ingatkan saya sudah berada di alam barzakh.

"Namun apabila mata terpandang wajah doktor yang bertutup kepala dan para jururawat barulah saya teringat yang saya telah diusung ke bilik pembedahan sebelum itu," cerita Rosnah ketika ditemui di majlis sambutan hari lahirnya yang ke-51 yang diadakan baru-baru ini.

Pada 16 April lalu ketika melakukan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur, doktor mengesahkan Rosnah, ibu tunggal kepada tiga orang anak, menghidap barah payu dara.

Bagaikan disambar halilintar, lidah Rosnah kelu tanpa mampu berkata-kata. Mulutnya terkunci rapi terkejut dengan khabar yang memeranjatkan itu.

Masakan tidak, mengikut salasilah keturunan keluarganya, tiada seorang pun yang pernah menghidapi penyakit pembunuh utama wanita itu waima barah lain sekalipun.

Bagaimana pun, Rosnah yang juga bekas isteri penyanyi dangdut, Iwan, cuba menguatkan semangatnya dan redha dengan ketentuan yang ditakdirkan untuk dirinya.

Rosnah memberitahu, beliau tekad dan tawakal membuat keputusan untuk menjalani pembedahan yang dilakukan pada 21 April lalu meski pun perasaan takut membelenggu dirinya.

Namun, aktres yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita di Festival Filem Malaysia pada tahun 1984 dalam filem Di Ambang Kasih, berbisik pada diri sendiri untuk menerima ujian Ilahi.

"Pada 19 April saya dimasukkan ke wad untuk menunggu hari pembedahan dilakukan. Bermacam-macam perkara bermain di fikiran saya terutama anak-anak sehinggakan pada hari pembedahan, darah saya naik begitu tinggi biarpun tidak menghidapi penyakit itu.

"Ia melibatkan soal hidup dan mati. Dua hari saya tak boleh tidur sehinggakan saya perlu diberikan ubat tidur," ujarnya.

Tahap kerisauan aktres itu semakin memuncak apabila tersedar situasi yang diceritakan di atas itu tadi berlaku ke atas dirinya.

Pembedahan selama dua jam itu berjalan lancar dan setelah hampir enam jam, barulah Rosnah sedar daripada kesan ubat bius yang diberikan kepadanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails