Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jamal rindukan seorang isteri


SAMBUTAN hari lahir yang disambut setahun sekali cukup bermakna bagi sesiapa saja termasuklah insan seni bergelar Raja Pop tanah air, Jamal Abdillah. Pada usianya yang kini mencecah 51 tahun, anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini sama juga seperti insan-insan lain yang inginkan kebahagiaan hidup di samping keluarga tersayang.

Namun, tiga kali gagal dalam hidup berumahtangga merupakan antara perkara penting yang sering menjadi igauan ngeri penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir ini.

Bagi Jamal, kehadiran seorang wanita yang bergelar isteri dalam hidupnya merupakan perkara yang selalu difikirkannya terutamanya saat bersendirian di rumah.

"Apabila balik ke rumah dan duduk seorang diri, saya selalu termenung memikirkan nasib saya dalam rumahtangga. Saya sentiasa mahukan seorang isteri berada di sisi.

"Sebabnya saya yakin kehadiran seorang wanita itu merupakan pendorong kuat di sebalik kejayaan seorang lelaki. Begitu jugalah dengan saya," ungkapnya tanpa berselindung.

Luahan hati bekas juara Bintang RTM 1979 itu dikongsi bersama hampir 50 tetamu pada majlis hari lahirnya yang ke-51 di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis kejutan hari lahir Jamal itu ditaja oleh Menara Kuala Lumpur dan dianjurkan bersama Kelab Peminat Raja Pop. Kelab yang ditubuhkan pada April lalu kini mempunyai ahli lebih 7,000 orang.

Jamal bukan sahaja terkejut dengan majlis yang dianjurkan tanpa pengetahuannya, malah dia turut menanam azam untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Syukur kepada Allah kerana melimpahkan rezeki yang tidak terhingga kepada saya. Bagi saya, hidup ini sememangnya indah dan bahagia. Cuma kita sahaja yang kadang-kadang pilih jalan yang salah.

"Sekarang ini, saya sudah dapat jalan yang sebenar. Malah, lebih penting ia mampu membawa ketenangan dalam jiwa saya. Azam saya mahu menjadi manusia yang reda.

"Pada masa sama, saya sudah boleh terima dugaan dan kenyataan. Saya juga berharap agar dapat menyumbang sesuatu yang lebih berfaedah untuk masyarakat," ujarnya.

Meskipun kisah hidup dan gosip penyanyi 'bersuara jantan' ini banyak dipaparkan melalui media massa, namun dia seakan-akan sudah lali dan mampu menerima hakikat tersebut.

Menurut Jamal yang sudah 31 tahun bergelar penyanyi, segala asam garam dalam dunia hiburan termasuklah publisiti yang disiarkan tentang dirinya banyak melonjakkan namanya selama ini.

"Tanpa wartawan siapalah saya. Hubungan saya dan wartawan selama ini cukup rapat. Mereka banyak mengkritik dan memberi publisiti kepada saya. Tanpa wartawan saya sepi," katanya.

Selain meniup lilin di atas kek tajaan pihak penganjur, Jamal pada malam itu juga sempat menyanyikan tiga buah lagu secara medley dengan iringan petikan gitar komposer Fauzi Marzuki.

Tiga lagu dendangannya itu Sendiri, Kasihnya Ibu dan Kekasih Awal dan Akhir.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails