Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya tak jadi saman Linda'


Aktor dan pengacara terkenal, Fahrin Ahmad akur nasihat ramai pihak

JADI atau tidak Fahrin Ahmad nak saman Linda Onn? Dulu beriya-iya buat sidang media, sampai menangis di depan wartawan, nak saman Linda jika dia tak minta maaf, sekarang apa sudah jadi? Adakah Fahrin tak sampai hati menyaman Linda kerana masih ada rasa sayang terhadap wanita yang pernah bertakhta di hatinya itu? Atau mengambil kira saranan banyak pihak termasuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang berharap Fahrin menyelesaikan masalah peribadinya di luar mahkamah?

Justeru, itu adalah antara persoalan yang belum terjawab sama ada Fahrin ingin meneruskan kes saman terhadap Linda atau sebaliknya kerana sudah empat bulan menunggu, tiada sebarang tindakan susulan daripada pelakon dan pengacara berkenaan. “Saya masih membuka jalan damai, tapi nampaknya Linda seolah-olah memaksa saya membawa kes ini ke muka pengadilan. Sekiranya semua usaha menemui jalan buntu, saya terpaksa meneruskannya ke mahkamah. Jika terlalu lama berdiam diri, saya tak mahu dianggap tidak tegas membuat keputusan atau tiada pendirian. Saya harap Linda sedar dan mengkaji implikasinya apabila perkara ini dibawa ke mahkamah,” kata Fahrin kepada B*Pop terbitan 7 Mac lalu.

Kesempatan bertemu Fahrin di Mutiara Damansara, Petang Jaya, hujung minggu lalu berjaya merungkai segala persoalan. Fahrin akhirnya mengakui, selepas menimbang saranan daripada banyak pihak dan kerjaya seninya tidak terjejas gara-gara kenyataan Linda kepada media massa yang dikatakan mempunyai unsur hasutan sehingga boleh menjejaskan nama baik dan reputasinya, dia akur tidak mahu memanjangkan isu berkenaan ke mahkamah.

“Setiap tindakan saya berdasarkan kebijaksanaan dan pertimbangan kritikal keadaan ketika itu. Saya mengadakan sidang media tempoh hari semata-mata kerana kepentingan kerjaya dan rezeki, tiada unsur peribadi. Namun, selepas situasi berkenaan, saya menerima saranan daripada banyak pihak termasuk Seniman supaya menyelesaikannya di luar mahkamah.

Linda tolak selesai luar mahkamah
“Ramai peminat yang mengharapkan supaya saya membuat penyelesaian tanpa membabitkan perundangan. Begitu juga penaja yang memberikan nasihat mereka. Seniman pula sangat bersungguh-sungguh untuk membantu. Dalam masa sama, saya turut memantau keseluruhan keadaan daripada tuduhan yang pernah dibuat terhadap saya.

“Namun, saranan untuk penyelesaian di luar mahkamah tidak disambut baik oleh Linda (Onn). Mungkin dia ada sebab tersendiri. Saya boleh memilih untuk menjadi angkuh dan ego tanpa menimbangkan implikasi buruk yang boleh menimpa seandainya saya terus berpegang kepada keangkuhan dan keegoan.

“Justeru, tagline saya untuk keseluruhan keadaan, mengalah bukan bererti kalah, berundur bukan bererti takut. Mungkin Linda tidak nampak apa yang saya nampak mengenai implikasi yang boleh membabitkan maruah kami saja, sebaliknya keluarga, kerjaya dan kawan-kawan seandainya perkara ini berpanjangan di mahkamah. Ramai pihak yang akan dipanggil untuk memberi keterangan, bagi saya perkara ini terlalu remeh dan menyusahkan hidup orang lain.

“Pada suatu ketika, saya dituduh dan perlu mengadakan sidang media untuk membersihkan nama supaya kerjaya tidak terjejas. Dalam masa sama, saya imbas semula keadaan, kerjaya saya tidak terjejas, penaja tidak menarik diri dan tawaran lakonan tetap ada. Namun, seandainya tuduhan dan hasutan yang pernah dibuat mengakibatkan rezeki saya tertutup, saya terpaksa meneruskan saman sekalipun perlu memperjudikan maruah saya.

'Saya terlalu banyak bersabar'

“Daripada maklum balas daripada banyak pihak, mereka senang dan menghormati tindakan saya iaitu memaafkan keadaan yang pernah berlaku antara saya, Linda dan semua. Bagi saya, apa yang pernah berlaku disebabkan manusia tiada yang sempurna. Justeru, selepas mendalami cadangan daripada banyak pihak, saya membuat keputusan tidak akan memanjangkan perkara ini hingga ke mahkamah.

“Saya sedar, apa saja keputusan yang saya buat, pasti ada pihak yang akan berfikiran negatif. Tetapi, berdasarkan pertimbangan dan pemerhatian, saya berasakan keputusan ini adalah yang terbaik. Saya nampak ramai yang menyokong keputusan ini daripada mempertikaikan tindakan saya sekiranya berlanjutan di mahkamah. Pun begitu, saya tak boleh memuaskan hati semua pihak. Saya membuat keputusan di atas nasihat suara ramai,” katanya panjang lebar.

Fahrin juga mengakui dia terlalu sebak pada sidang media empat bulan lalu kerana tidak faham kenapa pihak yang saling pernah berjasa suatu ketika dulu, tergamak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan masa depan dan rezekinya sedangkan hubungan itu sudah lama berlalu.

“Kenapa sampai hati buat saya begitu sekali? Saya ada keluarga, tapi kenapa sanggup menimbulkan keraguan terhadap penilaian orang terhadap saya sedangkan mereka kenal siapa saya. Justeru, saya berasa amat sedih. Saya ada perasaan kerana itu air mata saya tumpah. Orang yang tidak ada perasaan adalah mereka yang ego. Saya terlalu banyak bersabar,” katanya lagi.

Fahrin harap tiada pihak jadi batu api

Apabila Fahrin tidak jadi memanjangkan perkara ini ke mahkamah, pelbagai persepsi bakal wujud di pihak Linda, antaranya kredibiliti Fahrin sebagai pelajar undang-undang akan tercalar atau dia hanya meraih publisiti semata-mata, sebaliknya saat ini Linda mungkin akan bertambah ego, apa komen Fahrin?

“Apa yang Linda nak rasa, nak kata, itu adalah haknya. Apapun keputusan saya bukan berdasarkan emosi. Perkara pokok di sini bukan menang atau kalah, sebaliknya ini adalah pengorbanan saya kepada keseluruhan keadaan termasuk kedua-dua pihak. Jika dia tak nampak, saya nampak. Saya tak rela mengaibkan orang hanya untuk mempertahankan diri sendiri. Di mahkamah nanti, rela atau tidak cakap pasal orang, kita terpaksa, itu yang saya tak mahu.

“Namun, seandainya perkara sama (tuduhan dan hasutan) diulangi oleh mana-mana pihak sekalipun, bukti yang ada boleh dirujuk kembali dalam jangka masa panjang. Saya harap selepas ini, perkara sama tidak dibangkitkan lagi oleh pihak Linda mahupun rakan media lain. Jangan jadi batu api! Jika ada kenyataan sekalipun, bukannya berbentuk provokasi! Ini janji saya, saya tidak akan berkata apa-apa lagi selepas ini.

“Saya percaya, setiap apa yang pernah berlaku, ada hikmah. Saya harap, perkara seumpama ini akan jadi pengajaran kepada keseluruhan industri supaya artis lebih berhati-hati ketika diminta membuat kenyataan apatah lagi isu yang membabitkan maruah dan periuk nasi orang lain. Dalam agama, kita digalakkan tegur menegur dengan cara yang baik, bukan menjatuhkan atau mengaibkan pihak lain, selain memberi pengajaran bersama,” katanya mengakhiri bicara.

Info Fahrin

NAMA PENUH: Fahrin Ahmad
TARIKH LAHIR: 9 Mei 1979
ASAL: Skudai, Johor
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
FILEM: 2 Hati 1 Jiwa, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Cicakman 2: Planet Hitam, 9 September, Puaka Tebing Biru, Pesona Non Grata, Qaisy & Laily, Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami! (ditayangkan mulai 20 Mei lalu) dan Ombak Rindu (bakal memulakan penggambaran)
DRAMA: Simbiosis, Salina, Banglo Nombor Satu, Villa Cinta Daddy, Dalam Hati Ada Cinta 4, Dalil Cinta dan Laila Asyikin (bakal memulakan penggambaran)
TEATER: Antara...
PENGACARAAN: Nadi KL, XY, Famili Penyayang dan Sehati Berdansa (musim pertama hingga ketiga)
DUTA: Garnier for Men dan Shell


Kronologi hubungan Fahrin-Linda dan Fahrin-Scha Alyahya

1. Gosip cinta antara Fahrin dan Linda semakin kuat diperkatakan sejak awal 2005, namun Linda kerap mengklasifikasikan hubungan mereka sebagai ‘teman tapi mesra’. Namun, kedua-duanya dikatakan pernah ke Makkah menunaikan ibadat umrah bersama.

2. Awal September 2007, desus-desus mendakwa Fahrin dan Linda sudah mengikat tali pertunangan secara diam-diam, namun mereka menafikan perkara itu sekeras-kerasnya.

3. Fahrin dan Linda pernah bergelar pengacara bersama program realiti tarian Astro Ria, Sehati Berdansa pada musim pertama dan kedua. Pun begitu, memasuki musim kedua program berkenaan sekitar Oktober 2008, hubungan Fahrin dan Linda dikatakan melalui fasa perang dingin sehingga gelaran ‘teman tapi mesra’ tidak lagi relevan untuk mereka.

4. Penghujung 2008, Fahrin dikatakan sudah bertemu pengganti Linda apabila mula berkawan rapat dengan bakat baru dalam lakonan, Scha Alyahya. Namun, Fahrin tidak mahu melabel hubungan mereka sebagai ‘teman tapi mesra’ kerana pengalaman lalu banyak memberi pengajaran kepadanya. Dia lebih selesa mentafsir hubungannya bersama Scha sebagai teman rapat.

5. Hubungan cinta Fahrin dan Scha turut dijadikan pelaris untuk program realiti Sehati Berdansa musim ketiga sekitar September 2009, namun belum sempat program berkenaan menemui penonton, Scha membuat pengakuan terbuka, antara dirinya dan Fahrin sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi.

6. Tanggal 25 Januari 2010, Fahrin mengadakan sidang media di Palace of the Golden Horses mengumumkan dia memberi tempoh tujuh hari supaya Linda membuat permohonan maaf sebelum tindakan undang-undang diambil ke atasnya selepas personaliti radio berkenaan membuat kenyataan menerusi akhbar Sinar Harian diikuti The Star terbitan 19 dan 20 Januari 2010 yang dikatakan mempunyai unsur hasutan sehingga boleh menjejaskan nama baik dan reputasi Fahrin.

7. Diwakili peguam bela Tengku Naufal Tengku Mansor daripada Tengku Naufal & Co, Fahrin membuat empat tuntutan ke atas Linda iaitu membuat permohonan maaf secara jelas, penarikan semula kenyataan secara terbuka yang disiarkan dalam akhbar, aku janji tidak mengulangi kenyataan memburukkan Fahrin Ahmad dan tuntutan kos ganti rugi.

8. Pun begitu, Linda terus berdiam diri, sekadar menunggu surat saman daripada Fahrin dan menanti kes berkenaan berakhir di mahkamah. Ramai pihak yang menasihatkan Fahrin supaya menyelesaikan kes yang lebih berbau peribadi itu tanpa membabitkan perundangan, namun Fahrin terus memberi tempoh supaya Linda menjawab tuntutannya. Namun, selepas empat bulan menunggu, tiada surat saman dikeluarkan terhadap Linda.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails