Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mislina diserang


Air tenang jangan disangka tiada buaya. Itu perumpamaan bagi menggambarkan kejadian tidak diduga menimpa seorang pelakon wanita sehingga menyebabkan kecederaan pada muka serta leher akibat diserang dan disamun seorang lelaki di kawasan yang kelihatan aman dan tenteram di ibu kota, semalam.

Difahamkan, mangsa, Mislina Mustafa, 38, cedera akibat terkena serpihan kaca selepas lelaki berusia awal 30-an memecahkan cermin belakang keretanya menggunakan sebatang kayu.
Pelakon wanita itu pernah membintangi beberapa filem yang memecah panggung seperti Mokhsin, Puaka Tebing Biru dan bakal memegang watak Zaiton Sameon dalam filem menceritakan perjalanan hidup penyanyi itu mendakwa dia kini trauma.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di Setapak di sini, Mislina yang juga dipanggil Leena mendakwa diserang seorang lelaki ketika mahu meninggalkan kawasan berkenaan.
Katanya, ketika kejadian dia yang baru masuk ke dalam Perodua Kancil miliknya selepas bersarapan dan melayari Internet di sebuah restoran makanan segera, diserang secara tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi.
Lelaki terbabit menghentak cermin belakang kereta dipercayai menggunakan sebatang kayu sebelum mengambil sebuah komputer riba di tempat duduk belakang dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang siap menunggu di kawasan berhampiran, katanya ketika dihubungi, petang semalam. Menurutnya, kejadian itu terlalu pantas dan mendakwa tidak dapat mengingati wajah suspek walaupun dapat melihat lelaki terbabit dengan jelas.
Lagipun, hentakan kuat itu mengejutkan saya….terdiam seketika dibuatnya.
Ketika itu, apa yang saya fikirkan hanya keselamatan diri dan sanggup menyerahkan segala barang termasuk wang tunai diminta penjenayah asalkan saya tidak diapa-apakan.
Saya bernasib baik kerana suspek hanya mengambil komputer riba sebelum melarikan diri, katanya.

Mislina berkata, dia hairan kerana suspek terlalu berani melakukan perbuatan itu di khalayak ramai.
Apa yang pasti, lelaki terbabit sudah memerhatikan saya dari awal. Jika tidak, mustahil dia tahu saya meletakkan komputer riba pada belakang kereta, katanya.
Mangsa cedera pada muka dan leher akibat terkena percikan kaca dan dirawat sebagai pesakit luar di sebuah klinik berhampiran lokasi kejadian.
Mislina berkata, walaupun trauma dengan kejadian itu, dia tetap bersyukur kerana terselamat.

Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati walaupun berada di kawasan yang disangkakan selamat kerana kejadian jenayah boleh berlaku tidak mengira masa dan lokasi, katanya.
Difahamkan, Mislina kerugian lebih RM2,000 selepas kehilangan komputer riba kesayangannya selain terpaksa menggantikan cermin belakang keretanya.
Berikutan kejadian itu, Mislina membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails